Tuesday, April 24, 2012

Korupsi Hadis Untuk Menghalalkan Mengumpat Pemerintah?!

Korupsi Hadis Untuk Menghalalkan Mengumpat Pemerintah?!

(Jawaban Terhadap Syubhat Yang Ditimbulkan Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin )






Baru-baru ini penulis diberikan sebuah artikel melalui e-mail bertajuk “Fakta Benar Perlukan Kesimpulan Betul” tulisan Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin. Artikel tersebut turut tersiar dalam salah sebuah akhbar perdana, Sinar Harian bertarikh 22/07/2011.
Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyatakan dalam artikel tersebut:
Lebih hodoh lagi, sang wira ini telah mengharamkan mengkritik kerajaan secara terbuka. Dia gagal membeza antara mengkritik urusan peribadi pemerintah dan mengkritik tindakan pemerintah yang membabitkan kepentingan awam. Jika fatwa ini digunapakai, maka setiap tokoh agama, atau politik yang ditanya pendapat mereka oleh media tentu tiada ruang bersuara yang berbeza dengan kerajaan.
Misalnya, ada kerajaan yang ingin melanjutkan pusat hiburan sehingga pukul 3 pagi. Saya percaya, jika tokoh ulama ini ditanya oleh awam, atau media, atau jika dia menjadi ahli Parlimen pasti dia akan berkata: “Saya tidak boleh mengkritik atau membantah ulul amri di khalayak ramai kerana itu haram”. Maka mandullah negara, rosaklah rakyat. Sedangkan para sahabat seperti Salman al-Farisi bangun membantah tindakan Amirul Mukminin ‘Umar al-Khattab dalam majlis terbuka. Demikian juga sahabat yang lain. Betapa banyak riwayat para sahabah dan ulama salaf bangun memberikan kritikan terhadap keputusan para penguasa di depan khalayak ramai.” (Akhbar Sinar Harian bertarikh 22/07/2011)
Itu generasi salaf. Itu khalifah di zaman salaf. Bagaimana pula dikatakan mazhab salaf melarang sama sekali menegur pemerintah di khalayak rakyat?! Ya, adapun soal maksiat peribadi, seperti akhlak buruk pemerintah, atau keluarga mereka yang tidak membabitkan kepentingan negara, maka di situ kita dilarang mendedahkan atau menceritakan keaiban orang lain di khalayak ramai. Islam menyuruh kita menutup aib orang, apatah lagi mereka yang mempunyai peranan yang besar seperti itu. Di sini Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang ingin menasihati orang yang memiliki kuasa, janganlah dia menampakkannya secara terang-terangan. Sebaliknya hendaklah dia mengambil tangannya (orang yang memiliki kuasa) dan bersendirian dengannya (menasihatinya dengan tidak didedahkan aib secara terbuka). Jika dia terima maka dia berjaya, jika tidak dia (orang yang menasihati) telah menunaikan kewajipannya”. (Riwayat Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunnah 507. Sanadnya sahih seperti yang dinyatakan oleh al-Albani)
Apa yang dibuat oleh sesetengah pihak dengan menceritakan aib peribadi pemimpin di khalayak ramai adalah menyanggahi syarak. Namun, itu bukan alasan untuk kita mengharamkan mengkritik pemimpin dalam perkara yang membabitkan soal kemaslahatan umum rakyat. Fatwa mengharamkan mengkritik kerajaan secara terbuka adalah sikap mengampu yang berlebih. Maka, amatlah penting untuk membuat kesimpulan yang betul atas fakta yang dilihat. Jangan, lain fakta, lain kesimpulannya. Fahami teks dan konteks, nas dan realiti.” (Akhbar Sinar Harian bertarikh 22/07/2011)
Dapat difahami dari teks tersebut, Dr. Mohd. Asri menjelaskan kepada kita bahawa dibolehkan menegur dan mengkritik pemerintah (atau kerajaan) secara terbuka dalam hal-hal yang melibatkan kemaslahatan negara. Sebaliknya hadis-hadis berkaitan perintah menegur pemerintah secara tertutup adalah merujuk kepada persoalan individu lagi peribadi.
Malah sebenarnya, dengan dalil-dalil tersebut beliau bukan sekadar menghalalkan mengkritik pemerintah secara terbuka, tetapi juga berusaha menghalalkan perbuatan mengumpat atau melakukan ghibah terhadap pemerintah. Ini dapat dilihat dalam banyak tulisan-tulisan dan pendapat-pendapat beliau yang lain.
Persoalannya benarkah begitu hakikat prinsip yang difahami oleh para salaf ahli sunnah wal-jama’ah? Maka, berikut adalah pencerahannya.
1 – Jawabannya sudah tentu tidak benar. Kerana telah jelas dalam banyak nash-nash hadis bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama-sama para sahabatnya telah menyampaikan kepada kita asal hukum menegur pemerintah itu adalah secara tertutup (tidak dicanang atau dihebohkan).
Selain sebagai komitmen mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya serta dalam rangka mengikuti sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, di antara hikmah garis panduan menegur pemerintah tersebut adalah supaya teguran akan lebih mudah diterima, aib lebih terjaga, mengelakkan tercabarnya ego, dan menolak fitnah yang lebih besar lagi.
Allah dan Rasul-Nya telah memerintahkan kepada kita melakukan amar ma’ruf nahi mungkar, dalam masa yang sama Allah dan Rasul-Nya juga tidak terlupa untuk memberitahu bagaimana tatacara amar ma’ruf nahi mungkar perlu dilaksanakan. Terutamanya berkaitan amar ma’ruf nahi mungkar terhadap para pemerintah sebagaimana disentuh oleh Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.
Kita juga akan melihat sejauh mana kebenaran dakwaan Dr. Mohd. Asri bahawa mereka yang melarang mengkritik pemerintah secara terbuka adalah mengampu!
Kita juga akan melihat siapa sebenarnya yang salah dalam mengambil nash dan menggunakan nash tidak pada tempatnya!
Perlu difahami baik-baik, sepatutnya kita tidak boleh hanya mengambil satu dua nash dan mengabaikan sekian banyak nash-nash lainnya. Kemudian memahaminya secara literal dan mengabaikan sekian banyak syarahan ulama berkenaan dengannya. Tidak semudah itu untuk kita membuat kesimpulan dalam hal ini.
Lebih lancang pula, sehingga menuduh orang lain sebagai mengampu dan cuba menjadi wira jadi-jadian?! (Rujuk Artikel penuh Dr. Mohd. Asri)
2 – Saya menganggap perkataan Dr. Mohd. Asri tersebut sebagai penuh prasangka, keterlaluan, dan melampau.
Lebih-lebih lagi apabila menuduh dengan kepastian bahawa mereka yang melarang menegur dan mengkritik pemerintah secara terbuka akan menyebabkan mandulnya negara.
Sebaliknya apa yang dapat kita lihat hari ini hasil kritikan dan teguran terbuka tanpa berpandukan kaedah yang benar lebih merosakkan dan memburukkan kestabilan perjalanan politik negara. Tindak-balas hasil teguran dan kritikan terbuka di sana sini selama lebih 50 tahun negara kita merdeka hanya melahirkan masyarakat berfikiran suka membangkang dan memprotes. Melahirkan golongan pembangkang yang amat memalukan negara. Hampir semua perkara mahu dikritik, sehingga rahsia-rahsia yang sepatutnya tidak didedahkan pun mereka bongkarkan ke serata ceruk negara dan dunia. Kebencian terhadap pemerintah tampak semakin parah. Hubungan rakyat dengan pemerintah menjadi renggang dan hilang adab. Bukankah ini kelak akan membantutkan lagi maslahah dan pembinaan negara.
Malah perpecahan di kalangan umat Islam sendiri berlaku dengan begitu parah akibat dari sikap mengkritik, mengumpat, dan mencanangkan aib atau kesalahan pemerintah di mimbar-mimbar terbuka.
3 – Apakah landasan fakta Dr. Mohd. Asri apabila secara serampangan menuduh dengan kata:
“Saya percaya, jika tokoh ulama ini ditanya oleh awam, atau media, atau jika dia menjadi ahli Parlimen pasti dia akan berkata: “Saya tidak boleh mengkritik atau membantah ulul amri di khalayak ramai kerana itu haram”. Maka mandullah negara, rosaklah rakyat.”
Ya, umat Islam memang dibebankan dengan tanggungjawab amar ma’ruf nahi mungkar sesama umat Islam termasuk kepada pemerintah dan rakyat. Tetapi setiap tanggungjawab tersebut bukan hanya datang semata-mata dengan perintah, sebaliknya ia datang dengan kaedah dan tatacara.
Selain melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar, apakah menjadi tugas kita untuk memastikan setiap amar ma’ruf nahi mungkar yang dilaksanakan itu wajib berjaya dan meraih hasilnya? Bukankah lebih baik kita mengharapkan kejayaan daripda Allah lantaran amar ma’ruf nahi mungkar itu sendiri kita laksanakan demi mencari wajah Allah. Bukan mencari redhanya makhluk. Dan bukan pula untuk diiklankan mahupun dimediakan. Sepatutnya menjadi tugas kita menjelaskan kepada para krew media supaya tidak menjadikan kesalahan pemerintah mahupun kesalahan individu-individu lainnya sebagai isu sensasi yang dipublisitikan!
Selain itu, di mana pula letaknya ketentuan dan hidayah Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam setiap usaha yang kita laksanakan? Maka, pohonkanlah kepada Allah dengan sabar. Usah tergesa-gesa… Simpankanlah jiwa yang suka memberontak itu.
Kemudiannya, adakah teguran dan nasihat terbuka yang berlangsung selama lebih 50 tahun selama ini terutamanya dari kalangan kumpulan pembangkang telah memberikan hasil yang baik dan memberikan kredit terhadap pembinaan aqidah mahupun agama? Atau sebaliknya kini telah mula menunjukkan bibit-bibit pemberontakan, pertembungan, dan kebencian sesama sendiri? Kebaikan lebih besar atau mudharat yang lebih besar?
Oleh kerana itulah agama ini menganjurkan nasihat itu dilaksanakan dengan adab dan tatacaranya. Setiap apa yang ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala itu pasti memiliki alasan di sisi-Nya. Usah semberono.
Barangkali juga orang yang diberikan nasihat itu memiliki kekangan-kekangan tertentu yang sukar untuk dia hadapi. Itulah pentingnya nasihat dilaksanakan secara berhadapan dan perbincangan. Lebih-lebih lagi dia adalah seorang pemimpin masyarakat. Lebih perlu diperhatikan lagi adalah apabila ketetapan cara itu Allah dan Rasul-Nya yang menetapkan. Apakah kita mahu menukar dengan sesuatu yang lain yang kita sendiri menganggapnya bagus dan baik, sedangkan Islam berlepas diri dari segala bentuk andaian-andaian “baik” tersebut.
Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (691H-751H) berkata, “Nasihat adalah sifat ihsan yang lahir dari perasaan belas-kasihan semata-mata kerana Allah, dan bersedia untuk menanggung sebarang akibatnya, seperti cacian yang buruk daripada orang yang dinasihati setelah dilakukan dengan lemah lembut. Jika nasihat untuk meyakinkannya tidak diterima, maka orang yang memberi nasihat tersebut tidak dikira melampaui batas dan dia akan menerima balasan atas usahanya tersebut daripada Allah, di samping merahsiakan (menutup aib) orang yang dinasihatinya dan sentiasa mendoakannya (dengan kebaikan).” (Dr. Khalid al-Anbari, Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an wa as-Sunnah wa Aqaul Salaf al-A’immah, m/s. 208)
Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah mengingatkan kepada kita semua:
“Dan (Rasulullah) juga memerintahkan supaya melaksanakan amar ma’ruf serta nahi mungkar kepada mereka (pemerintah) dan kepada selain mereka dengan cara yang disyari’atkan, termasuk dalam perkara ini adalah menyampaikan risalah Allah kepada mereka.
Ianya hendaklah tidak ditinggalkan kerana sebab takut, kedekut dan malu (atau segan) kepada mereka, serta tidak demi menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit, tidak pula dilaksanakan supaya dapat meraih kuasa ke atas mereka atau umat Islam secara umum, bukan pula kerana hasad (atau dengki), sombong, dan riya’ kepada mereka dan masyarakat awam (umat Islam secara umumnya).
Dan kemungkaran tidaklah dihilangkan dengan kemungkaran yang lebih mungkar. Iaitu seperti dalam bentuk keluar memberontak ke atas mereka dengan kekerasan (atau senjata), dan fitnah-fitnah yang menimbulkan perselisihan sebagaimana ia telah diketahui dari prinsip dasar ahlus sunnah wal-jama’ah dan sebagaimana perkara tersebut ditunjukkan oleh nash-nash nabawiyah kerana perbuatan tersebut menimbulkan keburukan yang lebih besar berbanding keburukan kerana kezaliman mereka…” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 35/20-21)
4 – Baiklah, berikut adalah di antara hadis-hadis yang dimaksudkan bahawa agama Islam melarang mengkritik pemerintah secara terbuka sama ada bagi urusan peribadi ataupun urusan umum:
[Hadis Pertama] Hadis yang sama digunakan oleh Dr. Mohd. Asri, iaitu hadis daripada ‘Iyadh B. Ghunm:
فَقَالَ عِيَاضُ بْنُ غَنْمٍ يَا هِشَامُ بْنَ حَكِيمٍ قَدْ سَمِعْنَا مَا سَمِعْتَ وَرَأَيْنَا مَا رَأَيْتَ أَوَلَمْ تَسْمَعْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ أَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِسُلْطَانٍ بِأَمْرٍ فَلَا يُبْدِ لَهُ عَلَانِيَةً وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ فَيَخْلُوَ بِهِ فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ وَإِلَّا كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ لَهُ
وَإِنَّكَ يَا هِشَامُ لَأَنْتَ الْجَرِيءُ، إِذْ تَجْتَرِئُ عَلَى سُلْطَانِ اللهِ، فَهَلَّا خَشِيتَ أَنْ يَقْتُلَكَ السُّلْطَانُ، فَتَكُونَ قَتِيلَ سُلْطَانِ اللهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى
Berkata ‘Iyadh B. Ghunm, “Wahai Hisyam bin Hakim, kami telah mendengar apa yang engkau dengar dan kami melihat apa yang engkau lihat, adakah engkau tidak (belum) mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang mahu menasihati sultan (pemimpin) di dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia memegang tangan pemerintah tersebut dan ajaklah (nasihatilah) dia secara rahsia. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat) maka itulah yang diharapkan. Sekiranya dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) telah melaksanakan tanggungjawabnya.”
Dan bahawasanya engkau wahai Hisyam, adalah orang yang lancang ketika berhadapan dengan pemimpin Allah, tetapi tidakkah engkau takut sekiranya pemimpin itu membunuhmu lalu engkau menjadi mayat yang dibunuh oleh penguasa Allah Tabaraka wa Ta’ala?” (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 24/48-49, no. 14792. Ibnu Abi ‘Ashim, 3/102, no. 910. Dinilai sahih oleh al-Albani, Dzilal al-Jannah, no. 1096. Begitu juga dalam Mu’aamalatul Hukkam fii Dhau’il Kitabi wa as-Sunnah, Syaikh ‘Abdus Salam B. Barjas turut menjelaskan kesahihan hadis ini dengan membawakan beberapa jalan periwayatan dan penguat serta turut menukilkan pensahihan oleh al-Haitsami – katanya, “Yang sahih adalah pada hujung hadis Hisyam.” Kemudian katanya lagi, “Perawinya tsiqah dan sanadnya bersambung.” (Majma’ az-Zawa’id, 5/412-413) Syaikh ‘Abdus Salam Barjas menyatakan, hadis ini sahih dan bukannya hasan mahupun dhaif. Manakala Syu’aib al-Arnauth menyatakan, lafaz tersebut “Hasan lighairihi.”)
Dalam Kitab Dzilal al-Jannah (Takhrij as-Sunnah Ibn Abi ‘Ashim), hadis ini diletakkan di dalam bab:
باب كيف نصيحة الرعية للولاة
Bab: Bagaimana rakyat menasihati penguasa. (Ini adalah bab sebagaimana dalam as-Sunnah oleh Ibnu Abi ‘Ashim)
Syu’aib al-Arnauth menyebutkan perkataan as-Sindi setelah mengulas status hadis tersebut:
أي نصيحة السلطان ينبغي أن تكونَ في السِّرِّ
“Maksudnya, menasihati sultan (pemimpin) perlu dilaksanakan dalam keadaan tertutup (sirr).” (Tahqiq Musnad Ahmad, 24/50)
Kemudian Syu’aib al-Arnauth menyatakan:
قوله: “فتكون قتيل سلطان”، أي: لسوء أدب منك في نصحه، وإلا فكون الإنسان قتيل السلطان للأمر بالمعروف خير لا شر، والله تعالى أعلم
Perkataan beliau (milik ‘Iyadh B. Ghunm), “lalu engkau menjadi mayat yang dibunuh oleh penguasa…” Maksudnya, ia adalah disebabkan adab yang buruk (tercela) daripada engkau ketika memberikan nasihat. Melainkan apabila seseorang telah menyampaikan (nasihat) dengan ma’ruf (cara yang baik) dan bukan dengan cara yang buruk, tetapi tetap dibunuh oleh pemerintah. Wallahu Ta’ala A’lam.” (Tahqiq Musnad Ahmad, 24/50)
Wallahu a’lam, setakat bacaan dan penelitian penulis, tidak ditemui ulasan mana-mana ulama salaf (dari kalangan ahlus sunnah-wal-jama’ah) menyatakan bahawa kaedah teguran (secara rahsia) yang ditunjukkan hadis ini hanya merujuk kepada kesalahan peribadi pemerintah semata-mata dan tidak terpakai untuk kesalahan pemerintah yang melibatkan kemaslahatan umum (atau negara).
Berikut penulis bawakan penjelasan Imam asy-Syaukani rahimahullah:
ولكنه ينبغي لمن ظهر له غلط الإمام في بعض المسائل أن يناصحه ولا يظهر الشناعة عليه على رؤوس الأشهاد بل كما ورد في الحديث أنه يأخذ بيده ويخلو به ويبذل له النصيحة ولا يذل سلطان الله وقد قدمنا في أول كتاب السير هذا أنه لا يجوز الخروج على الأئمة وإن بغوا في الظلم أي مبلغ ما أقاموا الصلاة ولم يظهر منهم الكفر البواح والأحاديث الواردة في هذا المعنى متواترة ولكن على المأموم أن يطيع الإمام في طاعة الله ويعصيه في معصية الله فإنه لا طاعة لمخلوق في معصية الخالق
“Akan tetapi, sesiapa yang mengetahui kesalahan seseorang imam (pemimpin) di dalam sebahagian urusan, hendaklah menasihati tanpa memalukannya di hadapan khalayak umum. Caranya adalah sebagaimana yang diriwayatkan melalui sebuah hadis:
“Hendaklah ia memegang tangan penguasa tersebut dan mengajak berduaan dengannya, mencurahkan nasihat kepadanya, dan tidak menghinakan sultan (pemerintah) Allah.”
Telah kami paparkan di awal buku as-Siyar bahawa tidak boleh memberontak kepada imam-imam (pemerintah) umat Islam walaupun mereka melakukan kezaliman apa pun selagi mereka masih tetap menegakkan solat dan tidak menzahirkan kekufuran yang nyata dari diri mereka. Hadis-hadis yang diriwayatkan dengan makna seperti ini adalah mutawatir. Namun wajib bagi orang yang dipimpin untuk mentaati pemerintah dalam ketaatan kepada Allah dan mengingkarinya apabila ia mengajak (memerintahkan) melakukan maksiat kepada Allah. Kerana tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam urusan maksiat kepada al-Khaliq.” (asy-Syaukani, as-Sailul Jarrar al-Mutadafiq ‘Ala Hada’iqil Azhar, 1/965 – Maktabah Syamilah)
‘Umar radhiyallahu ‘anhu pernah berkata kepada rakyatnya:
أيتها الرعية إن لنا عليكم حقا النصيحة بالغيب، والمعاونة على الخير
“Wahai seluruh rakyat, bahawasanya kami memiliki hak ke atas kamu, iaitu diberi nasihat secara diam-diam, dan galakkan supaya melaksanakan kebaikan…” (Atsar Riwayat Hannad as-Sari, az-Zuhd, 2/602 – Mu’aamalatul Hukkam fii Dhau’il Kitabi wa as-Sunnah)
Untuk penjelasan panjang lebar lagi, sila rujuk artikel khusus milik penulis berjudul “Bagaimana Ahlus Sunnah wal-Jama’ah Menasihati Pemerintah.”
[Hadis kedua] Hadis Daripada Usamah B. Zaid:
عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ قَالَ قِيلَ لَهُ أَلَا تَدْخُلُ عَلَى عُثْمَانَ فَتُكَلِّمَهُ فَقَالَ أَتَرَوْنَ أَنِّي لَا أُكَلِّمُهُ إِلَّا أُسْمِعُكُمْ وَاللَّهِ لَقَدْ كَلَّمْتُهُ فِيمَا بَيْنِي وَبَيْنَهُ مَا دُونَ أَنْ أَفْتَتِحَ أَمْرًا لَا أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ أَوَّلَ مَنْ فَتَحَهُ
Daripada Usamah bin Zaid radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata – Seseorang berkata kepadanya, “Adakah engkau tidak menemui ‘Utsman dan menasihatinya?” Maka Usamah menjawab:
“Adakah engkau menganggap bahawa aku tidak menasihatinya melainkan aku perlu memperdengarkannya (memberitahu) kepadamu? Demi Allah, aku telah menasihatinya dengan empat mata (antara aku dengannya). Aku tidak akan membuka perkara (fitnah) di mana aku tidak menyukai sekiranya aku adalah orang pertama yang membukanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 11/46, no. 3027. Muslim, 14/261, no. 5305. Lafaz ini dari Shahih Muslim)
Badruddin al-‘Aini al-Hanafi rahimahullah (Wafat: 855H) menjelaskan perkataan Usamah B. Zaid radhiyallahu ‘anhuma:
“Demi Allah, aku telah menasihatinya dengan empat mata (antara aku dengannya).”
Maknanya, “Aku menasihati penguasa secara senyap-senyap (rahsia), sehingga aku tidak membuka sebuah pintu dari pintu-pintu fitnah.” Kesimpulannya, aku (Usamah) menasihatinya demi meraih kemaslahatan dan adab, bukan untuk menghasut supaya fitnah (pergolakkan) muncul, kerana cara mencegah kemungkaran para pemerintah dengan terang-terangan memiliki unsur-unsur penentangan terhadapnya. Kerana pada cara tersebut terdapat pencemaran nama baik para pemimpin yang membuka ruang kepada rosaknya kalimat (perpaduan umat Islam) dan berpecah-belahnya al-jama’ah (kesatuan).” (al-‘Aini, Umdatul Qari Syarah Shahih al-Bukhari, 23/33)
Imam Abu al-‘Abbas al-Qurthubi rahimahullah (datuk dan guru kepada pemilik tafsir al-Qurthubi) menjelaskan:
يعني أنه كان يجتنب كلامه بحضرة الناس، ويكلمه إذا خلا به، وهكذا يجب أن يعاتب الكبراء والرؤساء، يعظمون في الملأ، إبقاء لحرمتهم، وينصحون في الخلاء أداء لما يجب من نصحهم
وقوله: “لقد كلمته فيما بيني وبينه” يعني أنه كلمه مشافهة، كلام لطيف؛ لأنه أتقى ما يكون عن المجاهرة بالإنكار والقيام على الأئمة، لعظيم ما يطرأ بسبب ذلك من الفتن والمفاسد
(Dari hadis Usamah tadi) “Maksudnya adalah beliau menghindarkan diri dari memperkatakan kemungkaran pemimpin di hadapan orang ramai dan apabila tiada orang barulah dia membuka bicara menegur pemimpin tersebut (secara rahsia). Dan menegur kesalahan pemimpin ini adalah kewajiban tetapi hendaklah memuliakan mereka di hadapan umum (dengan cara yang ma’ruf) bagi menghomati mereka. Dan menasihati mereka adalah kewajiban yang perlu dilaksanakan.
Dan perkataan, “Sesungguhnya aku telah menasihatinya dengan empat mata (antara aku dengannya),” maksudnya adalah bahawa Usamah radhiyallahu ‘anhu menasihati pemimpin secara lisan dengan perkataan yang lembut disebabkan bimbang akan membawa fitnah dan kerosakan yang besar sekiranya teguran atau nasihat tersebut dilakukan secara terbuka.” (al-Qurthubi, al-Mufham Lima Usykila min Talkhish Kitab Muslim, 21/143-144)
Untuk penjelasan panjang lebar lagi, sila rujuk (klik) artikel khusus milik penulis berjudul “Bagaimana Ahlus Sunnah wal-Jama’ah Menasihati Pemerintah.”
[Hadis Ketiga] Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
خَمْسٌ مَنْ فَعَلَ وَاحِدَةً مِنْهُنَّ كَانَ ضَامِنًا عَلَى الله، عَزَّ وَجَلَّ، : مَنْ عَادَ مَرِيضًا، أَوْ خَرَجَ مَعَ جِنَازَةٍ، أَوْ خَرَجَ غَازِيًا، أَوْ دَخَلَ عَلَى إِمَامٍ يُرِيدُ تَعْزِيرَهُ وَتَوْقِيرَهُ، أَوْ قَعَدَ فِي بَيْتِهِ فَسَلِمَ النَّاسُ مِنْهُ وَسَلِمَ مِنَ النَّاسِ
“Ada lima perkara yang sesiapa melakukan salah satu di antaranya maka ia mendapat jaminan daripada Allah ‘Azza wa Jalla. Iaitu: Orang yang menjenguk orang sakit, atau orang yang menghantarkan jenazah, atau orang yang pergi berperang, atau orang yang menemui pemimpinnya dengan tujuan untuk memuliakannya dan menghormatinya, atau mengunjungi rumahnya sehingga manusia selamat dari keburukannya dan ia pun selamat dari keburukan mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad, 36/412, no. 22093. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth. Al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bazzar, dan ath-Thabrani dalam al-Kabir dan al-Ausath. Para perawi Ahmad adalah perawi kitab Shahih, manakala Ibnu Lahi’ah hadisnya hasan kerana ada kelemahan padanya.” Manakala al-Albani menilai hadis ini sahih, begitu juga sebagaimana kata ‘Abdus Salam Barjas dalam Mu’aamalatul Hukkam)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berikut, “… mengunjungi rumahnya sehingga manusia selamat dari keburukannya dan ia pun selamat dari keburukan mereka” juga menunjukkan maksud supaya memberi nasihat kepada para pemimpin secara tertutup dan bukan dihebohkan secara terbuka di khalayak umum.
Perkataan Rasulullah, “sehingga manusia selamat dari keburukannya…” ini menunjukkan bahawa nasihat tersebut merujuk nasihat berkaitan kemaslahatan umum, untuk masyarakat, dan negara. Bukan semata-mata persoalan isu peribadi dan individu.
Adakah perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam supaya menasihati pemerintah secara tertutup ini membawa maksud mengampu sebagaimana kata Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin?
Untuk penjelasan panjang lebar lagi, sila rujuk (klik) artikel khusus milik penulis berjudul “Bagaimana Ahlus Sunnah wal-Jama’ah Menasihati Pemerintah.”
[Hadis Keempat] Fatwa Sahabat, ‘Abdullah B. Abi Aufa radhiyallahu ‘anhu:
عَنْ سَعِيدُ بْنُ جُمْهَانَ قَالَ لَقِيتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي أَوْفَى وَهُوَ مَحْجُوبُ الْبَصَرِ فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ قَالَ لِي مَنْ أَنْتَ فَقُلْتُ أَنَا سَعِيدُ بْنُ جُمْهَانَ قَالَ فَمَا فَعَلَ وَالِدُكَ قَالَ قُلْتُ قَتَلَتْهُ الْأَزَارِقَةُ قَالَ لَعَنَ اللَّهُ الْأَزَارِقَةَ لَعَنَ اللَّهُ الْأَزَارِقَةَ حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُمْ كِلَابُ النَّارِ قَالَ قُلْتُ الْأَزَارِقَةُ وَحْدَهُمْ أَمْ الْخَوَارِجُ كُلُّهَا قَالَ بَلَى الْخَوَارِجُ كُلُّهَا قَالَ قُلْتُ فَإِنَّ السُّلْطَانَ يَظْلِمُ النَّاسَ وَيَفْعَلُ بِهِمْ قَالَ فَتَنَاوَلَ يَدِي فَغَمَزَهَا بِيَدِهِ غَمْزَةً شَدِيدَةً ثُمَّ قَالَ وَيْحَكَ يَا ابْنَ جُمْهَانَ عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ إِنْ كَانَ السُّلْطَانُ يَسْمَعُ مِنْكَ فَأْتِهِ فِي بَيْتِهِ فَأَخْبِرْهُ بِمَا تَعْلَمُ فَإِنْ قَبِلَ مِنْكَ وَإِلَّا فَدَعْهُ فَإِنَّكَ لَسْتَ بِأَعْلَمَ مِنْهُ
Daripada Sa’id B. Jumhan, beliau berkata, “Aku menemui ‘Abdullah B. Abi Aufa, ketika itu beliau tidak dapat melihat (buta). Kemudian aku mengucapkan salam kepadanya.
Beliau bertanya, “Siapakah engkau?” Aku menjawab, “Aku adalah Sa’id B. Jumhan.”
Beliau bertanya lagi, “Apakah yang dilakukan oleh ayahmu?” Aku menjawab, “Beliau telah dibunuh oleh (kaum) al-Azariqah.” Beliau pun berkata, “Semoga Allah melaknat kelompok al-Azariqah. Semoga Allah melaknat kelompok al-Azariqah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menceritakan kepada kami, bahawa mereka adalah anjing-anjing neraka.”
Aku bertanya, “Adakah hanya kelompok al-Azariqah sahaja, atau merujuk kepada semua kaum Khawarij?” Beliau menjawab, “Ya, benar. Semua kaum Khawarij.”
Aku pun berkata (cuba menjelaskan), “Sesungguhnya para pemimpin sedang menzalimi rakyat dan berbuat tidak adil kepada mereka.” Akhirnya Abdullah bin Abi Aufa memegang tanganku dan menggenggamnya dengan sangat erat, lalu beliau berkata, “Duhai celaka kamu wahai Ibnu Jumhan. Hendaklah kamu sentiasa bersama as-Sawadul A’dzam, hendaklah kamu sentiasa bersama as-Sawadul A’dzam. Sekiranya engkau mahu pemerintah tersebut mendengar nasihatmu, maka datangilah rumahnya dan beritahulah kepadanya apa-apa yang engkau ketahui sehingga ia menerimanya. Jika tidak, maka tinggalkanlah, kerana kamu tidak lebih tahu daripada dia.” (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 32/157, no. 19415. Lihat tahqiq Syu’aib al-Arnauth. Dalam Majmu’ az-Zawa’id, 5/414, no. 9163 – al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh Ahmad dan ath-Thabrani, dan para perawi Ahmad adalah perawi tsiqah.” Dinilai hasan oleh al-Albani, Dzilal al-Jannah, 2/143, no. 905 dan Abdus Salam Barjas dalam Mu’aamalatul Hukkam)
Hadis ini menunjukkan suatu peristiwa atau zaman di era para sahabat. Di mana pada ketika itu kezaliman pemerintah begitu berleluasa sehingga munculnya ramai golongan pemberontak dan manusia yang terbunuh.
Tetapi apa perintah yang dikeluarkan oleh sahabat Nabi bernama ‘Abdullah B. Abi Aufa tersebut?
Begitu jelas sekali bahawa beliau telah memerintahkan dengan perintah berikut:
“Sekiranya engkau mahu pemerintah tersebut mendengar nasihatmu, maka datangilah rumahnya dan beritahulah kepadanya apa-apa yang engkau ketahui sehingga ia menerimanya. Jika tidak, maka tinggalkanlah, kerana kamu tidak lebih tahu daripada dia.”
Bukankah hadis ini juga turut menjelaskan perintah (atau kaedah yang benar) dalam menasihati pemerintah berkaitan urusan kemaslahatan umum (masyarakat) adalah secara tertutup? Hadis ini sedikitpun tidak merujuk nasihat bagi urusan peribadi Sa’id B. Jumhan, sebaliknya berkaitan masalah masyarakat secara umum ketika itu.
Untuk penjelasan panjang lebar lagi, sila rujuk (klik) artikel khusus milik penulis berjudul “Bagaimana Ahlus Sunnah wal-Jama’ah Menasihati Pemerintah.”
5 – Saya percaya bahawa tidak ada manusia yang suka dirinya dikritik secara terbuka, termasuk Dr. Asri Zainul Abidin sendiri. Oleh itu, apatah lagi seorang pemimpin yang dirinya menjadi perhatian ramai dan memegang kredibiliti tersendiri sebagai seorang pemimpin. Sudah tentu egonya lebih tinggi berbanding manusia lain secara umum.
6 – Hadis-hadis dalam hal ini sedikit pun tidak dihadkan atau dikhususkan kepada mana-mana zaman tertentu sama ada zaman Khulafa’ur Rashidin, kerajaan Bani Umayyah, Kerajaan Bani Abbasiyah atau selainnya termasuk kerajaan Malaysia hari ini. Bahkan hadis-hadis ini bersifat umum untuk setiap zaman selagi mana ada pemimpin Islam yang menegakkan solat.
Sebuah Penjelasan Bolehkah Mengkritik Pemerintah Secara Terbuka?
Rentetan dari tuduhan Dr. Mohd. Asri tersebut, benarkah para ulama salaf (ahlus sunnah wal-jama’ah) melarang sama sekali teguran terhadap pemerintah dilakukan secara terbuka? Jadi berikut penulis utarakan beberapa dalil berkaitan menegur pemerintah yang dianggap oleh sebahagian pihak termasuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin tentang bolehnya mengkritik pemerintah secara terbuka.
Dalil-dalil ini sering sekali digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagai dalil bolehnya mengkritik serta mencanang kesalahan para pemimpin secara terbuka lagi bebas tanpa melihat perincian dan pendetailannya. Maka di sini penulis berusaha menjelaskan perinciannya bagi mengelakkan beberapa bentuk salah faham akibat syubhat yang dimainkan golongan tidak bertanggungjawab tersebut.
[Dalil Pertama] Hadis Abu Sa’id al-Khudri Menegur Khalifah Marwan B. al-Hakam:
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ فَيَبْدَأُ بِالصَّلَاةِ فَإِذَا صَلَّى صَلَاتَهُ وَسَلَّمَ قَامَ فَأَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ وَهُمْ جُلُوسٌ فِي مُصَلَّاهُمْ فَإِنْ كَانَ لَهُ حَاجَةٌ بِبَعْثٍ ذَكَرَهُ لِلنَّاسِ أَوْ كَانَتْ لَهُ حَاجَةٌ بِغَيْرِ ذَلِكَ أَمَرَهُمْ بِهَا وَكَانَ يَقُولُ تَصَدَّقُوا تَصَدَّقُوا تَصَدَّقُوا وَكَانَ أَكْثَرَ مَنْ يَتَصَدَّقُ النِّسَاءُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ. فَلَمْ يَزَلْ كَذَلِكَ حَتَّى كَانَ مَرْوَانُ بْنُ الْحَكَمِ فَخَرَجْتُ مُخَاصِرًا مَرْوَانَ حَتَّى أَتَيْنَا الْمُصَلَّى فَإِذَا كَثِيرُ بْنُ الصَّلْتِ قَدْ بَنَى مِنْبَرًا مِنْ طِينٍ وَلَبِنٍ فَإِذَا مَرْوَانُ يُنَازِعُنِي يَدَهُ كَأَنَّهُ يَجُرُّنِي نَحْوَ الْمِنْبَرِ وَأَنَا أَجُرُّهُ نَحْوَ الصَّلَاةِ فَلَمَّا رَأَيْتُ ذَلِكَ مِنْهُ قُلْتُ أَيْنَ الِابْتِدَاءُ بِالصَّلَاةِ فَقَالَ لَا يَا أَبَا سَعِيدٍ قَدْ تُرِكَ مَا تَعْلَمُ قُلْتُ كَلَّا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا تَأْتُونَ بِخَيْرٍ مِمَّا أَعْلَمُ ثَلَاثَ مِرَارٍ ثُمَّ انْصَرَفَ
Daripada Abu Sa’id al-Khudri, (beliau menjelaskan), “Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam keluar pada hari ‘Iedul Adha dan ‘Iedul Fitri, lalu beliau memulakannya dengan solat. Ketika beliau telah menyelesaikan solatnya dan mengucapkan salam, beliau bangkit berdiri dan menghadap kepada manusia (orang ramai yang hadir) sementara orang ramai tersebut dalam keadaan duduk di tempat solat masing-masing. Sekiranya beliau memiliki keperluan untuk mengirim (pasukan), maka beliau mengingatkan orang ramai tentang itu, atau sekiranya beliau memiliki keperluan lain, maka beliau memerintahkan mereka untuk melakukannya. Beliau bersabda, “Bersedekahlah kamu, bersedekahlah kamu semua.” Orang yang paling banyak bersedekah adalah kaum wanita, kemudian beliau berganjak dari tempatnya. Perbuatan seperti ini sentiasa dilakukan sehingga pada zaman pemerintahan Marwan B. Al-Hakam. Aku keluar sambil memegang tangan Marwan sehinggalah sampai ke Mushalla (tempat solat). Di sana nampaknya Katsir B. Ash-Shalt telah membuat mimbar dari tanah liat dan batu bata. Tiba-tiba Marwan menarik tangannya sambil seakan-akan ia menarikku sama ke arah mimbar. Manakala aku pula menariknya untuk melaksanakan solat. Ketika aku melihat situasi ini berlaku, aku pun mengatakan,
“Kenapa tidak dimulakan dengan perlaksanaan solat terlebih dahulu?” Maka beliau pun menjawab, “Tidak, wahai Abu Sa’id. Sesungguhnya perbuatan tersebut telah ditinggalkan tanpa pengetahuanmu.” Aku katakan, “Sekali-kali bukan demikian sepatutnya. Demi jiwaku yang berada di Tangan-Nya, kamu tidak melakukan kebaikan dari apa yang telah aku ketahui.” Beliau mengucapkan tiga kali, kemudian pergi.” (Hadis Riwayat Muslim, 4/403, Bab Solat al-‘Iedain, no. 1472. Syarah Shahih Muslim, 6/178)
Penjelasan Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkenaan teguran Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu kepada Marwan B. Al-Hakam tersebut:
فيه أن الخطبة للعيد بعد الصلاة وفيه الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر وان كان المنكر عليه واليا وفيه أن الانكار عليه يكون باليد لمن أمكنه ولا يجزئ عن اليد اللسان مع امكان اليد
1. (Dapat difahami bahawa) Khutbah hari raya dilaksanakan setelah solat.
2. Amar ma’ruf nahi mungkar perlu dilaksanakan walaupun yang ditegah adalah seorang pemimpin.
3. Mencegah kemungkaran adalah dengan tangan bagi sesiapa yang mampu, dan dengan lisan sekiranya tidak dapat dengan tangan sebagai pengganti sekiranya seseorang mampu melaksanakannya. (Syarah Shahih Muslim, 6/177-178)
Di antara syarat-syarat mampu (secara ringkas) adalah:
1. Memiliki ilmu dan kelayakan (autoriti).
2. Terdapat maslahah.
3. Tidak menimbulkan mudharat yang lebih besar berbanding yang sedia ada.
4. Berdasarkan pertimbangan masa dan tempat yang sesuai sebagaimana garis panduan dalam memberikan sebuah teguran dan nasihat.
Kemudian beliau (an-Nawawi rahimahullah) menyatakan:
قوله لا تأتون بخير مما أعلم هو كما قال لأن الذي يعلم هو طريق النبي صلى الله عليه و سلم وكيف يكون غيره خيرا منه قوله ثم انصرف قال القاضي عن جهة المنبر إلى جهة الصلاة وليس معناه أنه انصرف من المصلى وترك الصلاة معه بل في رواية البخاري أنه صلى معه وكلمه في ذلك بعد الصلاة وهذا يدل على صحة الصلاة بعد الخطبة ولولا صحتها كذلك لما صلاها معه واتفق أصحابنا على أنه لو قدمها على الصلاة صحت ولكنه يكون تاركا للسنة مفوتا للفضيلة
Perkataan Abu Sa’id al-Khudri, “kamu tidak melakukan kebaikan dari apa yang telah aku ketahui.” Inilah yang beliau nyatakan dan ketahui berdasarkan apa yang dilaksanakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Jadi, bagaimana mungkin ada cara lain lagi yang lebih baik (daripada cara Nabi)?
Perkataan beliau, “Kemudian beliau pun pergi,” al-Qadhi berkata, “(Maksudnya) beliau pergi dari arah mimbar untuk melaksanakan solat (mengambil tempat), bukan pergi dari tempat solat tersebut sehingga tidak solat bersamanya (bersama Marwan B. Al-Hakam). Malah, dalam riwayat al-Bukhari disebutkan bahawasanya Abu Sa’id tetap solat bersama Marwan, dan kemudiannya berbicara berkaitan persoalan tersebut setelah solat. Ini menunjukkan sahnya solat setelah khutbah. Sekiranya tidak sah, nescaya Abu Sa’id tidak solat bersamanya. Sahabat-sahabat kami sepakat bahawa sekiranya khutbah didahulukan ke atas solat, maka tetap sah, tetapi perbuatan tersebut (mendahulukan khutbah sebelum solat ‘Ied), ianya termasuk meninggalkan sunnah dan tidak memiliki keutamaan (hilang fadhilat)…” (Syarah Shahih Muslim, 6/178)
Setelah meneliti Syarah an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkaitan hadis Abu Sa’id al-Khudri dan tindakannya tersebut – Sama ada ia boleh digunakan sebagai dalil untuk menegur pemerintah secara terbuka atau tidak. Maka, berikut perincian dan pencerahannya secara ringkas:
1 – Hadis tersebut adalah berkaitan teguran yang dilakukan ketika ibadah solat yang hendak dilakukan. Di mana pada ketika itu, berlaku kesalahan apabila khutbah ‘Ied didahulukan sebelum solat. Dalam soal praktik ibadah, memang dibenarkan tegur secara langsung, supaya praktik ibadah sentiasa berada dalam keadaan sempurna. Sebagaimana biasa juga tentang persoalan tersalah menghadap kiblat, tersalah bacaan dalam solat, atau kesalahan-kesalahan lainnya berkaitan solat (atau praktik ibadah), ia boleh ditegur secara langsung pada waktu tersebut bagi memperbaiki keadaan.
2 – Apa yang dapat kita lihat adalah, Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu telah melaksanakan teguran secara langsung dan berdepan. Beliau menjelaskan dengan hujjah yang jelas berdasarkan apa yang beliau ketahui dari Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
3 – Walau bagaimanapun, dapat kita perhatikan bahawa nasihat Abu Sa’id al-Khudri tersebut tidak diterima oleh Marwan B. Al-Hakam. Dan beliau tetap meneruskan khutbahnya sebelum solat dengan alasan supaya lebih ramai yg akan mendengar khutbahnya.
4 – Walaupun demikian, apa tindakan Abu Sa’id al-Khudri seterusnya? Yang jelas, Abu Sa’id tidak memberontak atau menjadikan suasana tegang sehingga mencanangkan keburukan tersebut. Abu Sa’id bertindak meninggalkan mimbar (dari tempat dia ditarik tersebut), dan kembali mengambil tempat sambil menunggu untuk solat. Lebih manis, Abu Sa’id tetap melaksanakan solat bersama-sama Marwan B. Al-Hakam tersebut.
5 – Apa yang dilakukan oleh Abu Sa’id seterusnya adalah beliau menunggu sehingga tamatnya solat ‘Ied, kemudian beliau pergi menemui Marwan B. Al-Hakam secara berduaan dan beliau mengadakan perbincangan dan nasihat secara langsung.
6 – Bahkan sebenarnya hadis ini menunjukkan hujjah menegur pemimpin adalah secara tertutup dan bukan terbuka di khalayak ramai, apatah lagi mencanangkannya.
Tujuan dan hikmah dalam soal ini antaranya adalah dalam rangka menjaga ‘aib dan kredibiliti seseorang pemimpin, di samping agar sesebuah nasihat itu lebih mudah diterima, meraih maslahah, dan mengelakkan pelbagai mudharat lainnya yang lebih besar.
Sila buat rujukan pada Syarah Shahih Muslim, 6/478 berkaitan hadis tersebut dalam bab Solat ‘Iedain dan juga dalam bab Amar Ma’ruf Nahi Mungkar Sebahagian Dari Iman.
[Dalil Kedua] Hadis Khalifah ‘Umar al-Khaththab ditegur Dalam Isu Penetapan Mahar.
Sebahagian pihak dan kelompok pergerakan dakwah politik tertentu menggunakan antaranya hadis berikut ini untuk menghalalkan tindakan mereka mengkritik dan mencela pemerintah secara terbuka di media-media dan pentas-pentas ceramah. Oleh itu, berikut adalah perinciannya.
Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah menyebutkan riwayat yang dimaksudkan tersebut dalam tafsirnya:
عن مسروق، قال: ركب عمر بن الخطاب منبر رسول الله ثم قال: أيها الناس، ما إكثاركم في صُدُق النساء وقد كان رسول الله صلى الله عليه وسلم وأصحابه وإنما الصدقات فيما بينهم أربعمائة درهم فما دون ذلك. ولو كان الإكثار في ذلك تقوى عند الله أو كرامة لم تسبقوهم إليها. فَلا أعرفَنَّ ما زاد رجل في صداق امرأة على أربعمائة درهم.
قال: ثم نزل فاعترضته امرأة من قريش فقالت: يا أمير المؤمنين، نَهَيْتَ الناس أن يزيدوا النساء صداقهم على أربعمائة درهم؟ قال: نعم. فقالت: أما سمعت ما أنزل الله في القرآن؟ قال: وأي ذلك؟ فقالت: أما سمعت الله يقول: وَآتَيْتُمْ إِحْدَاهُنَّ قِنْطَارًا [فَلا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا أَتَأْخُذُونَهُ بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا
قال: فقال: اللهم غَفْرًا، كُلُّ الناس أفقه من عمر. ثم رجع فركب المنبر فقال: إني كنت نهيتكم أن تزيدوا النساء في صداقهن على أربعمائة درهم، فمن شاء أن يعطي من ماله ما أحب.
قال أبو يعلى: وأظنه قال: فمن طابت نفسه فليفعل.
Diriwayatkan daripada Masruq, beliau berkata, “‘Umar B. al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu menaiki mimbar Rasulullah lalu berkata (berkhutbah), “Wahai sekalian manusia, mengapa kamu terlalu meninggikan mahar wanita. Sesungguhnya dahulu Rasulullah dan para sahabat, jumlah mahar di antara mereka hanyalah empat ratus dirham dan kurang dari itu. Jika meninggikan mahar adalah tanda ketaqwaan kepada Allah atau sebuah kemuliaan, tentulah kamu tidak akan mampu mendahului mereka dalam perkara tersebut. Jangan sampai aku ketahui ada orang yang meninggikan mahar lebih dari empat ratus dirham.”
Masruq berkata, “Kemudian beliau pun turun dari mimbar. Beliau (‘Umar) kemudiannya ditahan oleh seorang wanita Quraisy dan berkata kepadanya, “Wahai Amirul Mukminin, engkau telah melarang manusia menetapkan mahar bagi wanita lebih dari empat ratus dirham.”
‘Umar menjawab, “Ya!” Wanita tersebut pun berkata lagi, “Tidakkah engkau mendengar Allah berfirman dalam kitab-Nya, “... Sedang kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali daripadanya walaupun sedikit. Adakah kamu akan mengambilnya kembali dengan jalan tuduhan yang dusta dan dengan (menanggung) dosa yang nyata?” (an-Nisaa’, 4: 20)
‘Umar pun berkata, “Ya Allah, berilah keampunan kepadaku. Semua orang lebih faqih (memahami) daripada ‘Umar.”
Kemudian beliau pun kembali menaiki mimbar dan berkata, “Sesungguhnya tadi aku telah melarang kamu menetapkan mahar wanita lebih dari empat ratus dirham. (Tetapi) sekarang, siapapun boleh memberikan hartanya berdasarkan yang ia suka (sebagai mahar).”
Abu Ya’la berkata, “Aku kira ia mengatakan, “Sesiapa yang dengan rela hatinya, maka silalah untuk memberi mahar berdasarkan kesanggupannya (kehendaknya).” (Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, 2/244. Ibnu Katsir menyatakan, sanadnya baik dan kuat. Dinilai dhaif oleh al-Haitsami, Majma’ az-Zawa’id, 4/521. Juga dinilai dhaif oleh al-Albani dalam al-Irwa’ al-Ghalil kerana bertentangan dengan apa yang diriwayatkan dalam kitab-kitab Sunan)
Setelah diteliti, hadis ini dapat difahami sebagaimana berikut:
1 - Tindakan wanita tersebut bukan untuk membangkang. Sebaliknya adalah untuk mendapatkan lebih penjelasan kerana fakta yang baru diterimanya tersebut bertentangan dengan apa yang ia fahami. Ibarat seorang murid bertanya kepada seorang guru.
2 - Begitu juga mungkin seperti ketika dalam kelas matematik, mungkin guru kita tersilap, maka kita pun bangun dan bertanya sehingga kesalahan itu disedari oleh guru lalu segera memperbetulkannya. Bangunnya si pelajar tersebut bukanlah untuk melucutkan jawatan guru atau mengkritiknya. Sebaliknya adalah mencari kepastian apabila ilmu yang difahami sebelum itu bertentangan dengan ilmu yang sedang dipelajari.
3 - Pertanyaan oleh wanita Quraisy tersebut dilakukan setelah ‘Umar turun dari mimbar khutbah. Dilakukan pula secara berhadapan dan langsung. Bukan ketika di atas mimbar sehingga menampakkan kepada orang ramai.
4 - Wanita Quraisy tersebut tidak juga bertindak mencanang kesilapan ‘Umar tersebut.
5 – Selain itu, menggunakan hadis ini sebagai hujjah akan mengarahkan kita kepada beberapa sisi kritis:
[1] Pertamanya, hadis ini diperselisihkan status kesahihannya sehingga kita perlu mengutamakan hadis-hadis yang telah pasti kesahihannya.
[2] Sekiranya hadis ini sahih, ia secara terang telah menjelaskan bahawa adab “menegur pemimpin” itu wajib dilakukan secara langsung dan berhadapan sehingga mata bertemu mata.
[3] Sekiranya hadis ini sahih, dengan jelas telah menunjukkan bahawa wanita itu bukan bertujuan membantah dan membangkang, apatah lagi mempertikaikan kedudukan ‘Umar (selaku khalifah), sebaliknya sekadar bertanya meminta penjelasan lanjut tentang ijtihad khalifah ‘Umar.
Dari itu, telah jelaslah bahawa hadis ini sedikit pun tidak dapat dikaitkan untuk menghalalkan perbuatan menegur pemerintah secara terbuka dari sisi manapun. Apatah lagi untuk menghalalkan perbuatan tercela seperti mengumpat, membuka ‘aib, mengkritik, dan mencaci-maki pemerintah sama ada secara langsung di hadapannya atau di belakangnya (tanpa pengetahuan pemerintah tersebut) seperti di pentas-pentas pidato, akhbar, media-media massa, dan sebagainya. Wallahu a’lam.
[Dalil Ketiga] Mu’awiyah Ditegur Ketika Berkhutbah:
Dalil yang dimaksudkan ini adalah dalil yang sama dibawa oleh Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dalam artikel yang sama. (Rujuk Akhbar Sinar Harian bertarikh 22/07/2011)
Berikut adalah dalil yang dimaksudkan:
وعن أبي قبيل عن معاوية بن أبي سفيان أنه صعد المنبر يوم الجمعة فقال عند خطبته:
إنما المال مالنا والفيء فيئنا فمن شئنا أعطيناه ومن شئنا منعناه فلم يجبه أحد فلما كان في الجمعة الثانية قال مثل ذلك فلم يجبه أحد فلما كان في الجمعة الثالثة قال مثل مقالته فقام إليه رجل ممن حضر المسجد فقال : كلا إنما المال مالنا والفيء فيئنا فمن حال بيننا وبينه حاكمناه إلى الله بأسيافنا فنزل معاوية فأرسل إلى الرجل فأدخله فقال القوم: هلك الرجل ثم دخل الناس فوجدوا الرجل معه على السرير فقال معاوية للناس:
إن هذا أحياني أحياه الله سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم يقول:
سيكون بعدي أمراء يقولون ولا يرد عليهم يتقاحمون في النار كما تتقاحم القردة
وإني تكلمت أول جمعة فلم يرد علي أحد فخشيت أن أكون منهم ثم تكلمت في الجمعة الثانية فلم يرد أحد فقلت في نفسي: إني من القوم ثم تكلمت في الجمعة الثالثة فقام هذا الرجل فرد علي فأحياني أحياه الله
Daripada Abu Qobail, daripada Mu’awiyah bahawasanya beliau (Muawiyah B. Abi Sufyan) menaiki mimbar pada hari Jumaat, dia berkata dalam khutbahnya:
“Harta ini (harta kerajaan) adalah harta kami, dan harta fa’i (harta rampasan perang) juga harta kami. Kami beri kepada sesiapa yang kami mahu, dan kami tidak berikan kepada sesiapa yang kami mahu.”
Tiada seorang pun yang menjawabnya (atau membantah beliau).
Apabila tiba jumaat yang kedua, dia mengucapkan perkara yang sama. Tiada siapa pun yang tampil menjawabnya. Pada jumaat yang ketiga dia berkata perkara yang sama, lalu seorang lelaki yang hadir dalam masjid itu pun bangun dan berkata:
“Sama sekali tidak! Sesungguhnya harta tersebut adalah harta kami (rakyat) dan fa’i ini adalah fa’i kami (rakyat). Sesiapa yang menghalang kami dari harta tersebut, kami akan berhukum dengan hukum Allah menggunakan pedang-pedang kami.”
Lalu Mu’awiyah radhiyallahu ‘anhu pun turun dari mimbar dan mengutus seseorang untuk memanggil lelaki itu.
Orang ramai berkata, “Habislah dia.”
Kemudian orang ramai masuk dan mendapati dia sedang duduk bersama Mu’awiyah di atas tempat duduknya (tempat tidur). Mu’awiyah berkata kepada orang ramai:
“Dia ini telah menghidupkanku, semoga Allah menghidupkannya. Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Akan ada pemimpin-pemimpin selepasku (yang melakukan kesalahan), mereka itu bercakap tiada siapa pun yang menjawab (menegur) mereka. Mereka itu terjun ke dalam neraka seperti kera terjun.”
(Kata Muawiyah lagi):
“Aku bercakap pada jumaat pertama, tiada siapa pun menjawabku, maka aku takut aku termasuk dalam kalangan mereka. Kemudian pada jumaat yang kedua, tiada siapapun menjawabku, maka aku pun berkata, “Aku termasuk dalam kalangan mereka (pemimpin yang dimaksudkan Rasulullah).” Aku bercakap pada jumaat ketiga, lelaki ini bangun menjawabku. Dia telah menghidupkanku (menyelamatkan aku), semoga Allah menghidupkannya.” (Diriwayatkan oleh ath-Thabrani, al-Mu’jam al-Kabir, 19/393, no. 925. al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh ath-Thabrani dalam al-Kabir, al-Ausath, dan Abu Ya’la. Para perawinya tsiqah.” Majma’ az-Zawa’id, 5/425, no. 9199. Dinilai hasan oleh al-Albani, as-Silsilah ash-Shahihah, 4/398, no. 1790)
Setelah diteliti, hadis ini dapat difahami bahawa:
1 – Mu’awiyah B. Abi Sufyan radhiyallahu ‘anhu sebenarnya bertujuan menguji rakyatnya dalam rangka memastikan dirinya bukan termasuk dalam kalangan pemimpin yang dimaksudkan oleh hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berikut, “Akan ada pemimpin-pemimpin selepasku (yang melakukan kesalahan), mereka itu bercakap tiada siapa pun yang menjawab (menegur) mereka. Mereka itu terjun ke dalam neraka seperti kera terjun.”
Ini dapat difahami apabila Mu’awiyah menyatakan kerisauannya dengan katanya, “Aku bercakap pada jumaat pertama, tiada siapa pun menjawabku, maka aku takut aku termasuk dalam kalangan mereka.”
Oleh sebab itulah Mu’awiyah membuat pengumuman bahawa harta mal (kerajaan) dan harta fa’i (rampasan perang) adalah milik beliau dengan tujuan mahu melihat sama ada akan ada orang yang menegurnya atau tidak.
Inilah sebab utama berlakunya kisah sebagaimana riwayat tersebut. Iaitu bertujuan memastikan dirinya bukan dari kalangan pemimpin yang dimaksudkan oleh hadis Nabi tersebut.
2 – Dalam masa yang sama, Mu’awiyah tidak membiarkan orang yang menegur beliau tersebut dengan begitu sahaja terus mengkritik (atau menegur) di khalayak ramai. Sebaliknya beliau turun dari mimbar dan mengutuskan orang lain agar memanggil si penegur tersebut bertemu dengannya.
Ini menunjukkan adanya perbincangan secara tertutup berlangsung di antara mereka berdua (di antara Mu’awiyah dengan orang yang menegurnya).
3 – Mu’awiyah menjelaskan rasa lega dan gembiranya apabila beliau bukanlah pemimpin yang termasuk dalam hadis Nabi yang dimaksudkan. Ini kerana masih ada orang yang sanggup menegur beliau apabila melakukan kesalahan. Sebab itulah beliau (Mu’awiyah) mengatakan:
“Aku bercakap pada jumaat ketiga, lelaki ini bangun menjawabku. Dia telah menghidupkanku (menyelamatkan aku), semoga Allah menghidupkannya.”
4 – Konteks hadis ini dan cara memahaminya sebenarnya tidak jauh bezanya dengan dua hadis yang dibentangkan sebelumnya. Sekaligus bukanlah dalil yang valid digunakan bagi mengkritik pemerintah secara terbuka di serata ceruk dan tempat.
Sebaliknya, apa yang dapat difahami adalah bolehnya menegur pemerintah secara berdepan dan langsung sebaik mengetahui pemerintah tersebut sedang melakukan kesalahan. Tujuan dan bentuk teguran seperti ini adalah bagi mengelakkan fakta dan kesalahan yang sedang berlaku dari diikuti atau disalah-fahami oleh orang ramai yang hadir ketika itu. Maka dibolehkan untuk memperbaiki atau membetulkan keadaan secara langsung (atau serta-merta) supaya kesalahan yang sedang berlaku tidak berpanjangan atau dianggap sebagai suatu kebenaran.
Ini boleh disamakan keadaannya dalam sebuah pengajian atau kelas apabila seorang guru yang sedang mengajar di hadapan tiba-tiba melakukan kesilapan dan ianya disedari oleh sebahagian pelajarnya. Maka pelajar yang mengetahui pada masa itu berhak untuk bangun atau segera menegurnya dengan baik supaya kesalahan yang dilakukan oleh guru tersebut tidak diikuti oleh para pelajar lain lalu menganggapnya sebagai suatu kebenaran atau ilmu.
Maka, tindakan pelajar yang segera menegur itu adalah benar. Atau sekiranya guru tersebut telah keluar dan teguran tidak sempat dibuat ketika dalam kelas, maka para pelajar perlu menemui guru tersebut dan memohon penjelasan. Ini sebagaimana hadis seorang wanita menegur ‘Umar al-Khaththab di atas tadi.
Sebaliknya sekiranya guru tersebut telah beredar keluar baru para pelajar tersebut kecoh, memburuk-burukkan guru, atau melakukan umpatan sesama sendiri berkaitan kesalahan guru tadi, maka itu adalah tindakan yang salah atau kurang tepat. Lebih biadap lagi apabila para pelajar tadi mencanangkan kesalahan guru tersebut ke serata tempat tanpa sedikitpun mengambil inisiatif membetulkan keadaan dengan berbincang menemui guru tersebut.
5 – Bahkan dalam hal ini jika kita melihat kisah Mu’awiyah radhiyallahu ‘anhu sendiri sebagai khalifah di zamannya, kita akan mendapati bahawa beliau sendiri pernah bertindak menahan dan menghukum bunuh seorang bernama Hujr B. Adi al-Kindi dengan sebab Hujr telah mencerca, membangkitkan provokasi, dan menunjukkan sikap kepembangkangan secara terbuka kepada gabernor Mu’awiyah di Kuffah yang sedang berkhutbah. Sedangkan Hujr B. Adi al-Kindi adalah termasuk daripada kalangan sahabat (sahabat kecil), dan sebahagian ulama menyatakan beliau adalah tabi’in.
Tindakan Mu’awiyah tersebut tidak mendapat bantahan daripada kalangan sahabat yang lain, sebaliknya ia termasuk sebahagian kebenaran dan menjadi hak bagi seseorang pemimpin untuk mengelakkan fitnah dan huru-hara (bibit-bibit pemberontakan). (Rujuk penjelasannya dalam al-Awashim min al-Qowashin oleh Imam al-Qadhi Abu Bakr Ibnu al-Arabi. Tahqiq: Muhibbudin al-Khatib, Mahmud al-Istanbuli, dan al-Maktab as-Salafi)
Kesimpulan:
Maka dari sini telah kita fahami beberapa bentuk perincian terhadap beberapa dalil yang sering digunakan oleh golongan tertentu sebagai syubhat menghalalkan teguran dan kritikan terhadap pemerintah secara terbuka di atas. Bahkan sebahagian besar dari mereka menggunakannya sebagai dalil untuk mengumpat dan mencanang kesalahan pemerintah sekaligus berhasrat pemerintah sedia ada dapat dijatuhkan melalui provokasi-provokasi yang mereka canangkan.
Maka setelah hasil penelitian dan perincian tersebut dibuat, dapat kita ambil kefahaman bahawa:
1 – Asal hukum menegur pemerintah adalah secara tertutup.
2 – Dibolehkan menegur atau memperbetulkan kesalahan pemerintah secara terbuka pada keadaan yang benar-benar kritikal dan memaksa sebagaimana dijelaskan agar maslahah dapat ditegakkan. Iaitu dilakukan secara berdepan di ketika kita sedar bahawa pemerintah sedang melakukan kesalahan dan pada ketika itu kita berada bersama-sama dengan mereka. Maka pada ketika itu, kita dibolehkan menegur pemerintah tersebut serta-merta secara langsung agar kesalahan dapat diperbetulkan dan tidak berlarutan.
3 – Sekiranya kesalahan tidak dapat diperbetulkan dan pemerintah tetap terus dengan pendiriannya (yang salah tersebut), maka dakwah secara hikmah dan teguran secara tertutup tetap perlu diteruskan demi mencari maslahah dan redha Allah Subhanahu wa Ta’ala. Keadaan ini pun dikembalikan kepada kaedah dan hukum asal menegur pemerintah iaitu dilakukan secara tertutup agar jauh dari fitnah.
Sahabat Nabi, ‘Abdullah B. Abi Aufa radhiyallahu ‘anhu berkata kepada Sa’id B. Jumhan di ketika rakyat dizalimi oleh pemerintah (pada zamannya), “Sekiranya engkau mahu pemerintah tersebut mendengar nasihatmu, maka datangilah rumahnya dan beritahulah kepadanya apa-apa yang engkau ketahui sehingga ia menerimanya. Jika tidak, maka tinggalkanlah, kerana kamu tidak lebih tahu daripada dia.” (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 32/157, no. 19415. Dinilai hasan oleh al-Albani, Dzilal al-Jannah, 2/143, no. 905)
Perlu ditegaskan di sini bahawa prinsip-prinsip yang ditegaskan ini adalah prinsip-prinsip yang digariskan dan dibina oleh para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah sejak zaman berzaman. Sebuah prinsip yang konsisten berdasarkan dalil-dalil yang autentik dan tafsiran yang jelas oleh para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah generasi sahabat, tabi’in, tabi’ut tabi’in serta para ulama setelah mereka yang meniti di atas manhaj mereka dengan baik sehinggalah ke zaman ini. Bukan tafsiran yang dibina semata-mata dengan ideologi liberal, mazhab zahiri (literal), bertujuan mengampu, mahupun semata-mata dengan akal (ra’yi) dan hawa nafsu yang meninggalkan prinsip-prinsip salaf.
Untuk penjelasan panjang lebar lagi, sila rujuk artikel khusus milik penulis berjudul “Bagaimana Ahlus Sunnah wal-Jama’ah Menasihati Pemerintah.”
Wallahu a’lam…

No comments:

Post a Comment