Friday, April 27, 2012

Mencari arah siasah Malaysia




PILIHAN RAYA umum kian dilaporkan bakal diadakan bila-bila masa sahaja. Para ahli politik dan media massa kerap mengupas hala tuju negara. Kalau kita semua berada di dalam dilema mengenai hala tuju negara, adalah penting agar rakyat Malaysia terus berada di hala tuju yang jelas. Di dalam masyarakat yang berbilang kaum yang kerap perbezaannya dilaungkan, berada di hala tuju yang jelas adalah amat penting. Untuk itu, ia hendaklah diisi dengan perkara-perkara asas - merangkumi kehendak dan aspirasi rakyat dan komunitinya. Landasan yang jelas di dalam negara ini hendaklah melangkaui semua jenis etnik dan memahami keadaan negara Malaysia secara keseluruhannya. Ada empat hala tuju negara yang memenuhi aspirasi ini:

  • Perlembagaan Negara;
  • Rukun Negara;
  • Wawasan 2020; dan
  • Gagasan 1Malaysia. Keempat-empat ini teramat penting untuk semua rakyat Malaysia tidak mengira etnik ataupun agama. Keempat-empat perkara ini merupakan kekuatan asas dalam pembinaan negara. Perlembagaan negara adalah perkara paling utama antara keempat-empat hala tuju ini. Ia mengiktirafkan akar umbi kemelayuan negara ini melalui peletakan sistem raja berperlembagaan sebagai tunjang utama negara dan perakuan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama rasminya. Pada masa yang sama, hak bahasa lain dan agama etnik minoriti tidak diketepikan dan dianggap sebahagian keunikan masyarakat Malaysia. Begitu juga, lima matlamat di dalam Rukun Negara - masyarakat yang bersatu, demokratik, adil, liberal dan progresif - yang berpandukan lima prinsip: kepercayaan pada Tuhan, kesetiaan pada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan - mudah dihayati oleh rakyat kebanyakan. Wawasan 2020 dari banyak segi merupakan tambahan kepada Rukun Negara dan mengandungi beberapa cabaran baru seperti masyarakat yang mantap kerohaniannya, masyarakat yang penyayang dan masyarakat yang mempunyai moral yang tinggi dan beretika sebagai sebahagian daripada sembilan perkara cabarannya. Sekali lagi, ia melangkaui perbezaan budaya dan bangsa. Konsep 1Malaysia juga merupakan satu bentuk idea baru yang inklusif yang dapat diterima oleh masyarakat Malaysia keseluruhannya. Bagaimanakah kesemua empat hala tuju negara ini membentuk masyarakat Malaysia sejak negara kita mencapai kemerdekaan 54 tahun dahulu? Penilaian yang objektif menunjukkan kerajaan cuba mengikuti kesemua empat hala tuju ini, walaupun ia masih boleh diperbaiki. Keseimbangan kaum yang terdapat di dalam Perlembagaan telah memberi satu penanda aras kepada kejayaan kepimpinan Barisan Nasional (BN) dalam mencapai keamanan dalam perhubungan etnik. Namun, ia boleh dipertingkat dengan penekanan pada konsep dan amalan kewarganegaraan yang sama. Pencapaian kerajaan dalam mengurangkan kemiskinan tegar daripada 49.3 peratus pada tahun 1970 sehingga kepada 3.8 peratus pada 2010 amat membanggakan dari perspektif keadilan dalam Rukun Negara, namun jurang perbezaan antara kelas atasan dengan kelas bawah semakin ketara sejak kebelakangan ini. Tambahan pula, matlamat-matlamat Rukun Negara jarang diberi keutamaan dalam sukatan pelajaran mahupun dalam media - perkara yang saya sudah nyatakan sejak 25 tahun lepas. Umum mengetahui bahawa Wawasan 2020 adalah satu inspirasi untuk mencapai status 'masyarakat maju' melalui pendapatan per kapita yang tinggi. Namun, mencapai masyarakat beretika tinggi adalah sama penting dalam Wawasan 2020. Konsep 1Malaysia mungkin akan memperkukuhkan perasaan cintakan negara, namun ia masih belum menangani cabaran bersifat perkauman yang muncul daripada golongan-golongan tertentu. Jika ini rekod kerajaan BN, bagaimanakah pula pandangan pembangkang terhadap hala tuju negara ini? Pihak pembangkang jarang melihat Perlembagaan, Rukun Negara, Wawasan 2020 atau gagasan 1Malaysia sebagai perkara asas dalam membentuk perpaduan negara atau membangunkan negara. Pembangkang hanya mencari kesalahan pihak kerajaan jika kerajaan gagal mengotakan janji mereka kepada rakyat berdasarkan prinsip dan nilai empat hala tuju negara tadi. Tidaklah sukar untuk memahami kenapa Parti Islam SeMalaysia (PAS) tidak berasa komited terhadap hala tuju negara. Mereka hanya komited terhadap negara Islam seperti mana ditafsirkan partinya. Pun matlamat ini kurang disenangi oleh 40 peratus bukan Muslim di negara ini, walau apa jua definisi negara Islam yang diberikan oleh pimpinan parti itu. Lagipun, pengertian dan pentafsiran PAS tentang negara Islam khususnya tentang pelaksanaan syariah, hak minoriti bukan Islam, peranan wanita dalam masyarakat dan sebagainya mungkin tidak dipersetujui oleh sebahagian masyarakat Islam sendiri. Dalam erti kata lain, matlamat dan hala tuju PAS tidak dapat diterima oleh semua segmen rakyat. Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak kurang bezanya. Konsep 'Malaysian Malaysia' akan dilihat oleh masyarakat Melayu sebagai percubaan mengubah sejarah dan identiti negara ini. Sebahagian pendirian parti itu termasuk mahu meletakkan pelajaran dalam bahasa Cina setaraf pendidikan dalam bahasa kebangsaan menguatkan lagi persepsi ini. PKR pula lagi mengelirukan. Ia banyak bergantung pada individu tertentu di dalam parti itu. Dengan gabungan ketiga-tiga parti tersebut yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR), tujuan mereka untuk ke Putrajaya adalah sedikit pelik kerana mereka tidak langsung mempunyai ciri asas persamaan dalam ideologi mereka. Apakah yang menyebabkan mereka bersama apabila DAP terang- terangan menentang idea PAS tentang negara Islam? Apakah daya tarikan antara PAS dengan DAP yang berbeza ini? Ataupun adakah kuasa 'nafsu untuk berkuasa' yang menjadi tarikan untuk dua parti politik ini?

    Oleh
    Dr Chandra Muzaffar
    Nota: Penulis seorang akademik dan intelek terkemuka Malaysia dan pernah menjadi timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat. Makalah ini sedutan tulisannya di 'Mingguan Malaysia' Ahad lalu.


  • No comments:

    Post a Comment