Wednesday, November 7, 2012

Kenyataan Nurul Izzah buka ruang untuk melayu murtad



 

Soalan: Boleh ustaz ulas sedikit tentang ucapan seorang YB di dalam sebuah gereja yang mengatakan kebebasan mutlak untuk semua agama termasuk bangsa melayu. Bukankah ini satu kaedah ataupun membuka ruang untuk orang murtad di Malaysia.

Jawapan:
Bismillah,
Sebenarnya kenyataan beliau itu panjang dan apabila diteliti balik beliau ada memetik mufti Al-Azhar dalam isu dan hal ini, di mana beliau sendiri telah menjelaskan tentang pengertian ijtihad di dalam ucapan beliau, beliau menyebut secara jelas mengaitkan ijtihad itu dengan waqi’ iaitu suasana, persekitaran, keadaan semasa. Jadi untuk mengeluarkan sesuatu fakta atau ijtihad perlu ada hubungkaitnya dengan semasa.
Maka beliau juga seharusnya ketika hendak bercakap tentang isu kebebasan beragama dalam negara ini beliau perlu melihat kepada waqi’ atau keadaan semasa dalam negara ini.

Keadaan semasa di negara ini, manifesto Pakatan Rakyat sendiri mempertahankan perlembagaan persekutuan yang termaktub di dalamnya bahawa melayu itu beragama Islam. Namun beliau menyatakan bahawasanya seolah-olah wujud di sana diskriminasi antara melayu dan bukan melayu. Orang bukan melayu diberi kebebasan memilih agama sedangkan melayu tidak.

Saya kira beliau kurang faham dan jahil dalam memahami tafsiran firman Allah SWT ,
لا إكراه في الدين
“Tidak ada paksaan dalam beragama.”
Ayat ini sebenarnya diturunkan kepada non-Muslim. Bukan kepada orang yang beragama Islam atau yang dilahirkan dalam keadaan beragama Islam.

 Tafsiran ayat ini seperti mana yang dijelaskan oleh Ibnu Abbas RA dalam tafsir Ibnu Katsir; seorang lelaki dari kalangan bangsa Anshar mengadu kepada Nabi SAW untuk memaksa kedua-dua anaknya yang beragama Kristian memeluk Islam, maka turun firman Allah “Tidak ada paksaan dalam beragama.”

Jelas ayat ini dikhususkan untuk orang kafir. Kita tidak berhak untuk memaksa mereka berpegang dengan agama kita. Tidak ada hak untuk kita memaksa mereka memeluk Islam.

Tetapi untuk orang Islam pula bagaimana? Mengapa kita tiba-tiba hendak membuka ruang kepada orang Islam untuk keluar daripada agama?

Kenyataan itu membawa implikasi sebegitu. Yang difahami daripada perkataan tersebut adalah membuka ruang kepada orang muslim keluar daripada agama.

Saya kira sahabat-sahabat dari parti Islam perlu bersuara kerana mereka sudah berapa lama memperjuangkan untuk menegakkan hukum Islam, dan jika kita lihat salah satu daripada hukum-hukum had (hudud) adalah hukum hudud bagi orang yang murtad, iaitu bunuh bagi orang Islam yang hendak keluar daripada Islam.

Jadi apa gunanya hukum hudud sekiranya kenyataan ini disebarkan dan dijadikan salah satu daripada manifesto Pakatan Rakyat. Seolah-olah berlaku kontradiksi yang jelas kerana mereka mengeluarkan kenyataan untuk memberikan kebebasan yang sama kepada melayu untuk memilih agama.

Bererti terpulang kepada orang Islam untuk keluar daripada agamanya, tidak lagi terikat kepada undang-undang sebab dia berhak untuk memilih agamanya.

Islam tidak mengajar sedemikian rupa. Siapa memeluk agama Islam maka dia terikat dengan undang-undang Islam.

Namun kita tidak nafikan beliau telah memberikan penjelasan kedua terhadap kenyataan beliau di mana beliau menyatakan bahawasanya orang Islam yang memeluk Islam ada keterikatan dengan syariat Islam. Ini satu kenyataan yang baik, tetapi beliau perlu perbetulkan kenyataannya sebab kenyataan itu sangat jelas kesalahannya di mana beliau mengatakan bahawasanya berlaku diskriminasi antara melayu dan bukan melayu di mana orang melayu tidak bebas beragama dengan mana-mana agama sedangkan bukan melayu bebas beragama dengan mana-mana agama.

Kita sewajarnya bersyukur kepada Allah kerana di situlah merupakan ruang dan peluang untuk memastikan orang melayu terus berpegang dengan agama Islam, dalam konteks negara ini.

Saya tidak bercakap tentang negara lain, tetapi saya bercakap tentang Malaysia yang dulu dikenali sebagai tanah melayu.
Wallaahu A’lam.
Disediakan berdasarkan rakaman berikut:
http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=xBNJ_fyhyw0

November 8, 2012
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

No comments:

Post a Comment