Sunday, November 25, 2012

15 FAKTA IMAM SYAFIE LAYAK DIGELAR WAHHABI




P/S: Diizinkan untuk menyebarluaskan nota ini. Lebih baik difotocopy dan diedarkan kepada orang ramai, khususnya mereka yang terpengaruh dengan fitnah ke atas pendukung sunnah yang dimomokkan dengan gelaran 'Wahhabi'.

Berikut ialah 14 amalan atau ciri-ciri yang sering dikaitkan dengan mereka yang ditohmah dan dilabel dengan gelaran Wahhabi. Mari kita lihat ciri-ciri yang dimaksudkan dan para ulamak bermazhab Syafie yang turut serta memiliki ciri-ciri tersebut.

Pertama: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak melakukan qunut solat subuh secara terus-menerus. Maka Imam Taqiyuddin as-Subki asy-Syafie dan Syeikh Abu Hasan al-Karajji asy-Syafie juga ialah Wahhabi kerana mereka meninggalkan qunut subuh atas alasan kelemahan hadisnya. – Lihat al-Bidayah wa an-Nihayah, Ma’na Qaul al-Imam al-Muththalibi Idza Shahhal Hadits Fahuwa Madzahbi (Majmu’atur Rasa-ilil Muniriyyah) dan Thabaqat asy-Syafi’iyyah al-Kubra.

Kedua: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak melaksanakan solat sunat qabliyyah dua rakaat (sebelum) solat Jumaat. Maka al-Hafizh al-'Iraqi asy-Syafie  dan Imam Abu Syamah asy-Syafie serta al-Imam Abi al-Thayyib Muhammad Syams al-Haq al-‘Azhim al-Abadi juga ialah Wahhabi kerana mereka  melemahkan pandangan yang mensabitkan solat sunat dua rakaat sebelum Jumaat. – Lihat al-Ba’its al-Inkar al-Bida’ wa al-Hawadits, Tharh al-Tsarib dan ‘Awn al-Ma’bud Syarah Sunan Abu Daud.

Ketiga: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak bersetuju dengan azan dua kali Jumaat. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie yang cenderung kepada Sunnah Nabi, iaitu azan Jumaat hanya sekali di zamannya. – Lihat kitab al-Umm.

Keempat: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang membenci kenduri arwah. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie dan para imam bermazhab Syafie selainnya seperti Syeikh Mustafa Khin asy-Syafie, Syeikh Mustafa al-Bugha asy-Syafie, Syeikh ‘Ali al-Syarbaji asy-Syafie, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari asy-Syafie, Syeikh Daud al-Fatani asy-Syafie, Syeikh Zainul Abidin Muhammad al-Fatani dan ramai lagi. Ini kerana mereka semua amat membenci amalan kenduri arwah. – Lihat kitab al-Umm, kitab I’anatu ath-Thalibin, Kashfu al-Litham, Sabil al-Muhtadin, Bughyatul Tullab  dan kitab al-Fiqh al-Manhaj ‘Ala Madzhab al-Imam asy-Syafie.

Kelima: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak bermazhab dan menentang taqlid buta dalam beragama (ikut membuta tuli). Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie kerana tidak bermazhab kepada mazhab-mazhab yang muncul sebelumnya, antaranya ialah Imam Malik (mazhab Maliki), iaitu gurunya sendiri. Juga Wahhabilah Imam asy-Syafie kerana menetang keras amalan bertaqlid buta dalam beragama. – lihat kitab Manaqib asy-Syafie, Siyar A’lam al-Nubala’, Hilyatul Auliya’ dan Tarikh Dimasyqi.
 
Keenam: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang menunaikan zakat dengan makanan ruji seperti gandung, tamar, beras dan seumpama. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie kerana memfatwakan zakat fitrah hendaklah menggunakan makanan ruji, bukan wang sebagaimana amalan umat Islam di Malaysia - termasuk mereka yang mengaku bermazhab Syafie. – Lihat Kitab al-Umm.

Ketujuh: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak membaca lafaz ‘Sayyidina’ ketika berselawat ke atas Nabi. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie yang tidak pernah menulis di dalam mana-mana kitabnya, baik kitab al-Umm mahupun kitab al-Risalah. Demikian juga Wahhabilah al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani asy-Syafie yang turut menyinggung permasalahan ini di dalam kitabnya yang terkenal, Fath al-Bari (syarah kepada al-Bukhari).

Kelapan: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak mengkhususkan bacaan surah Yasin pada malam Jumaat tetapi menggalakkan surah al-Kahfi. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie yang memfatwakan disukai membaca surah al-Kahfi di malam Jumaat atas alasan ia menepati Sunnah Nabi. Tambahan pula tidak ditemui dalam mana-mana kenyataannya atau pun para ulamak selainnya tentang galakkan membaca surah Yasin pada setiap malam Jumaat.– Lihat kitab al-Umm.

Kesembilan: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang enggan berdoa dan berzikir dengan suara yang kuat dan dilakukan secara beramai-ramai selepas solat berjemaah. Jika demikian Wahhabilah Imam asy-Syafie dan para ulamak bermazhab Syafie seperti Imam al-Nawawi,  Ibn Hajar al-Haitsami,  Syeikh Zainuddin ‘Abd al-‘Aziz asy-Syafie, al-Imam al-Baihaqi asy-Syafie  dan selainnya. Ini kerana mereka tidak pernah mengajarkan demikian dalam kitab-kitab mereka. Sebaliknya hanya membolehkan berzikir berjemaah (baca: bukan doa) dalam konteks mengajar makmum sahaja, bukan selalu. – Lihat kitab al-Umm, at-Tahqiq, Minhaj ath-Thalibin, Tuhfat al-Muhtaj bi Syarah al-Minhaj, Fath al-Bari, Fath al-Mu’in dan Sunan al-Kubra al-Baihaqi.

Kesepuluh: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak melafazkan niat sebelum solat. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie yang tidak pernah mengajarkan amalan demikian. Demikian juga Wahhabilah al-Qadhi Abu al-Rabi’ Sulaiman bin ‘Umar asy-Syafie kerana menyatakan amalan melafazkan niat sebelum solat itu bukan berasal daripada Sunnah Nabi yang sahih. – Lihat kitab al-Qaul al-Mubin Fi Akhtha’ al-Mushallin.

Kesebelas: Orang kata bahawa Wahhabi ialah mereka yang menafikan sampainya pahala bacaan al-Qur’an yang dihadiahkan kepada si mati. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie, Syeikh al-Haitsami asy-Syafie dan selainnya yang berpendapat tidak sampai pahala bacaan al-Qur’an yang dikirimkan kepada si mati. – Lihat Tafsir Ibn Katsir, al-Majmu’ Syarah Muhadzdzab dan al-Fatwa al-Kubra al-Fiqhiyyah.

Kedua belas: Orang kata bahawa Wahhabi ialah mereka yang melarang mengkapur dan membina binaan di atas kubur. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie dan Imam al-Munawi yang menjelaskan kebencian Imam asy-Syafie kepada amalan membangun dan mengkapur kuburan sebagaimana yang mendarah daging dalam tradisi umat Islam yang mengaku bermazhab Syafie. – Lihat kitab al-Umm, Syarah Shahih Muslim dan Faidh al-Qadir.

Ketiga belas:  Orang kata bahawa Wahhabi ialah mereka yang menetapkan sifat al-Istiwa’ Allah di atas ‘Arasy di atas langit, sifat turun (al-Nuzul) dan sebagainya tanpa takwil. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie yang menetapkan kedua-dua sifat itu dan selainnya tanpa sebarang pentakwilan ke atasnya. Demikian juga al-Imam adz-Dzahabi asy-Syafie yang turut menetapkan sifat-sifat Allah. – Lihat kitab Tafsir Ibn Katsir dan al-‘Uluw Li al-‘Aliyyil ‘Azhim.

Keempat belas: Orang kata bahawa Wahhabi ialah mereka yang tidak belajar dan berakidah dengan sifat 20. Maka demikian Wahhabilah Imam asy-Syafie kerana tidak pernah mempelajari, apatah lagi mengajarkan sifat 20 itu. Tidak ada satu jua bukti beliau berpegang kepada kaedah pengajian sifat 20 dalam mana-mana kitabnya. - Lihat kitab al-Umm dan al-Risalah.

Kelima belas: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak menyapu muka selepas berdoa. Jika demikian maka Wahhabilah Imam al-Nawawi asy-Syafie yang menafikan kesunnahan menyapu muka selepas doa. Demikian juga Imam al-'Izz 'Abd as-Salam asy-Syafie yang menyatakan adalah bodoh orang-orang yang menyapu muka selepas berdoa. - Dinyatakan di dalam 'Irwa' al-Ghalil dan Shahih al-Adzkar wa Dha'ifuhu.
 
Dan banyak lagi jika hendak diperincikan. Rupanya Wahhabi ialah mereka yang menyelisihi kebiasaan masyarakat dan berpegang teguh kepada al-Qur'an serta as-Sunnah sahihah!    

by Mohd Hairi Nonchi on Thursday, November 22, 2012 at 2:12pm ·
Oleh: Mohd Hairi Nonchi @ Cikgu Arie
                          

4 comments:

  1. Saya wahabi!!! Tuduhlah saya wahabi .. lebih rela dr ikut puak2 bida'ah ni

    ReplyDelete
  2. Saya wahabi!!! Tuduhlah saya wahabi .. lebih rela dr ikut puak2 bida'ah ni

    ReplyDelete
  3. tergamak kau kata imam syafi'e dan ulama' mazhab syafi'e itu wahabi. sedarlah sikit kau tu siapa. kau tu bukannya ulama yang setaraf dengan imam syafi'e. kalau betullah apa yang kau cakapkan tu aku takkan percaya kerana mazhab syafi'e adalah salah satu mazhab sunni dan kalaulah imam ni wahabi, takkanlah mazhab lain memuji ketokohan imam syafi'e. imam hanbali jadi tokoh hadis sebab dia berguru ngan imam syafi'e.

    ReplyDelete
  4. tergamak kau kata imam syafi'e dan ulama' mazhab syafi'e itu wahabi. sedarlah sikit kau tu siapa. kau tu bukannya ulama yang setaraf dengan imam syafi'e. kalau betullah apa yang kau cakapkan tu aku takkan percaya kerana mazhab syafi'e adalah salah satu mazhab sunni dan kalaulah imam ni wahabi, takkanlah mazhab lain memuji ketokohan imam syafi'e. imam hanbali jadi tokoh hadis sebab dia berguru ngan imam syafi'e.

    ReplyDelete