Monday, November 26, 2012

Pluralisme: Bid’ah dalam akidah

 

 

Pluralisme: Bid’ah dalam akidah

November 27, 2012
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya


Dalam negara pada hari ini perlu diperhatikan bahawasanya bid’ah berlaku dalam beberapa kategori; Bid’ah ada pada akidah, ibadah dan akhlak. Tiga perkara ini adalah asas dan tonggak kepada Islam. Kata Syaikh Abdul Wahhab Khallaf, perkataan Islam itu terbentuk daripada tiga perkara besar ini.

Bid’ah boleh berlaku pada akidah. Contohnya, ideologi pluralisme yang menyamakan semua agama. Orang cerdik yang membawa ideologi pluralisme tidak akan mengatakan semua agama adalah sama, tetapi dia mengatakan nilai-nilai kebaikan dalam semua agama itu jika baik maka kita boleh menerimanya. Ideologi ini tetap ideologi yang salah. Sebagai umat Islam, kita wajib meletakkan kepercayaan, keimanan bahawasanya,
إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإِسْلامُ      
Maksudnya: “Sesungguhnya agama di sisi Allah hanyalah Islam.” (surah Ali ‘Imran, 3: 19)
Kita tidak boleh iktiraf agama lain, tetapi kita perlu hormat penganut agama lain. Kita tidak dibenarkan mencerca agama lain, tetapi kita tidak boleh mengatakan bahawasanya agama selain Islam sama seperti agama kita menuju Tuhan yang satu. Ini tidak dibolehkan sama sekali. Ini adalah pluralisme yang merupakan bid’ah dalam akidah.

Mengikut jumhur (majoriti) ulama, kesemua para Nabi adalah beragama Islam yang satu. Cuma bezanya hanyalah pada pensyariatan. Contoh pada zaman Nabi Musa, harus mandi berbogel seperti yang disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari. Itu pensyariatan yang diharuskan pada zaman Nabi Musa, adapun pada zaman Nabi Muhammad, pensyariatan seperti ini tidak dibolehkan. Walaupun syariat berbeza, tetapi agama dan tauhid tetap sama yakni Islam.

Umar Al-Khatthab pada zaman Nabi pernah membawa kitab Taurat ajaran Nabi Musa. Dia membawa kitab itu dan mengajak Rasulullah SAW sama-sama membacanya. Nabi SAW mengingkari perbuatan Umar itu dengan mengatakan,
لو كان موسى حيا بين أظهركم ما حل له إلا أن يتبعني
“Sekiranya Musa masih hidup di hadapan kalian, tidak halal baginya kecuali mengikuti aku.” (riwayat Ahmad. Ahmad Syakir berkata “Isnadnya hasan”)
Ini kerana Nabi Muhammad SAW telah membawa syariat yang baru dan cukup memadai dengan syariat yang dibawanya. Muhammad SAW adalah penutup sekalian para Nabi dan Rasul.

Kalau perkataan sedemikian diucapkan Nabi SAW kepada Umar yang membawa sebuah kitab yang diturunkan Allah SWT kepada salah seorang Nabi-Nya iaitu Taurat, apatah lagi ajaran yang dibawa oleh agama Budha, Hindu, dan agama lain semuanya. Tentu lebih tidak boleh lagi.
Wallaahua’lam.
Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut;
http://www.youtube.com/watch?v=PK4k8DAjDxI&feature=plcp

No comments:

Post a Comment