Jika diteliti hadis-hadis Rasulullah shallallahu ’alaihi wasallam dan atsar para sahabat radhiallahu ’anhum, akan ditemui sejumlah hadis atau riwayat yang menjelaskan bahawa ada di kalangan para sahabat Nabi yang melakukan ibadah tertentu di mana ianya bukanlah suatu yang berasal daripada sunnah baginda shallallahu ‘alaihi wasallam.
Walau bagaimanapun baginda shallallahu ‘alaihi wasallam tidak melarang ibadah-ibadah tersebut, bahkan mengiktirafnya sebagai satu amalan yang terpuji dan dianjurkan di sisi ajaran Islam. Berdasarkan kepada hadis atau riwayat-riwayat tersebut, sebahagian pihak berhujah bahawa diperbolehkan bagi sesiapa jua untuk mewujudkan amalan baru di dalam Islam. Ini meskipun amalan-amalan tersebut bukanlah suatu yang berasal dariapda sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Antara amalan-amalan para sahabat yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
Pertama: Azan.
Pada dasarnya azan yang biasa kita dengari setiap kali masuknya waktu solat-solat fardu bukanlah berasal daripada amalan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Akan tetapi ia sebenarnya merupakan mimpi salah seorang sahabat baginda yang bernama Abdullah bin Zaid bin ‘Abd Rabbih radhiallahu ’anhu.
Setelah mendapat mimpi tersebut, sahabat tadi mencadangkan kepada baginda shallallahu ‘alaihi wasallam agar menjadikan azan sebagai salah satu kaedah bagi menunjukkan masuknya waktu bagi umat Islam mengerjakan solat-solat fardu yang diperintahkan ke atas mereka.
Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam – dengan bimbingan wahyu Allah Subhanahu wa Ta’ala- telah menerima baik cadangan tersebut. Dengan penerimaan ini, maka menjadilah azan salah satu syi’ar di dalam ajaran Islam sehingga ke saat ini. Kisah ini diriwayatkan oleh Abu Daud di dalam kitabnya Sunan Abu Daud, hadis no. 420, bersumberkan daripada Abu ‘Umair bin Anas radhiallahu’anhu.
Kedua: Solat sunat wudhuk.
Disebutkan di dalam sebuah hadis bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya kepada Bilal radhiallahu ’anhu tentang amalan yang dia lakukan sehingga dengan amalan itu baginda mendengar bunyi terompahnya di dalam Syurga, maka Bilal radhiallahu ‘anhu menjawab dengan katanya:[1]
مَا عَمِلْتُ عَمَلاً أَرْجَى عِنْدِي أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طَهُوْرًا فِيْ سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ إِلاَّ صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُوْرِ مَا كُتِبَ لِيْ أَنْ أُصَلِّيَ.
Aku tidak melakukan sesuatu amalan yang paling aku harapkan, hanya sahaja setiap kali aku bersuci (berwuduk), sama ada pada waktu malam atau siang hari, aku sering mengerjakan solat setelah berwuduk.
Sebagaimana yang dimaklumi solat sunat selepas wuduk, atau lebih tepat dikenali sebagai solat sunat wuduk, bukanlah berasal daripada amalan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Sebaliknya ia berasal daripada amalan sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam di atas iaitu Bilal bin Rabbah radhiallahu ‘anhu. Meskipun demikian Allah dan Rasul-Nya tidak mengingkari amalan tersebut.
Ketiga: Bacaan bangkit daripada rukuk.
Pernah suatu ketika apabila baginda bangkit daripada rukuk dalam satu solat bersama para sahabat, baginda terdengar salah seorang daripada mereka membaca: Rabbana lakal hamdu hamdan katsiran thoyyiban mubarokan fihi.
Sebaik sahaja selesai solat, baginda bertanya siapakah di kalangan mereka yang membaca doa berkenaan dan sahabat yang membaca tadi membuat pengakuan. Lalu baginda pun mengkhabarkan kepadanya bahawa dengan doa berikut, baginda melihat seramai tiga puluh orang malaikat saling berebutan untuk mencatatnya. Sila rujuk Shahih al-Bukhari, no. 799 bagi melihat riwayat yang dimaksudkan.
Sebagaimana hadis sebelum ini, hadis ini juga menjadi bukti kukuh bahawa terdapat di kalangan para sahabat yang mengamalkan sesuatu ‘perkara baru’ dalam urusan ibadah apa yang tidak diajar dan disunnahkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Bagaimana pun baginda tidak mengingkarinya.
Keempat: Solat Tarawih secara berjemaah.
Selain daripada tiga riwayat sebelum ini, para pelaku bid’ah juga menjadikan kisah berikut sebagai dalil diperbolehkan mewujudkan perkara baru di dalam urusan ibadah. Perhatikan riwayat berikut:[2]
عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدٍ الْقَارِيِّ أَنَّهُ قَالَ خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلَاتِهِ الرَّهْطُ فَقَالَ عُمَرُ إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلَاءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلَاةِ قَارِئِهِمْ قَالَ عُمَرُ نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ.
Dari 'Abdurrahman bin 'Abdul Qariy bahawa dia berkata: "Aku keluar bersama 'Umar bin al-Khaththab radhiallahu 'anhu pada malam Ramadhan menuju masjid, ternyata orang-orang solat berkelompok-kelompok secara terpisah-pisah. Ada yang solat sendiri dan ada seorang yang solat diikuti oleh makmum yang jumlahnya kurang daripada sepuluh orang. Maka 'Umar berkata: "Aku fikir seandainya mereka semuanya solat berjama'ah dengan dipimpin seorang imam itu lebih baik". Kemudian ‘Umar memantapkan keinginannya itu lalu mengumpulkan mereka dalam satu jama'ah yang dipimpin oleh Ubbay bin Ka'ab. Kemudian aku keluar lagi bersamanya pada malam yang lain dan ternyata orang-orang shalat dalam satu jama'ah dengan dipimpin seorang imam, lalu 'Umar berkata: "Sebaik-baiknya bid'ah adalah ini.” [3]
Demikian beberapa hadis atau riwayat yang masyhur dijadikan sebagai dalil oleh para pelaku bid’ah bagi menjustifikasikan perbuatan mereka mengada-adakan sesuatu yang baru (bid’ah) di dalam urusan agama. Walau bagaimanapun hujah ini dilihat sangat lemah dan ia dapat dijawab semudah berikut:
Bantahan Pertama:
Para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, khususnya para Khulafa’ al-Rasyidin, adalah termasuk dalam keumuman hadis baginda yang memerintahkan agar kita umat Islam sentiasa berpegang teguh kepada sunnah-sunnah mereka selain daripada sunnah baginda shallallahu ’alaihi wasallam. Berikut hadis yang dimaksudkan:[4]
فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيرًا، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ، تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ.
Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa’ al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham.
Justeru apa yang dilakukan oleh para sahabat dalam riwayat-riwayat yang disebutkan sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai bid’ah akan tetapi ia merupakan sunnah di sisi syarak. Lebih-lebih lagi ia mendapat perkenan dan pengiktirafan secara langsung daripada baginda shallallahu ‘alaihi wasallam tanpa sebarang tegahan atau pun larangan.[5]
Seandainya amalan-amalan tersebut adalah suatu yang bercanggah dengan ajaran Islam, tentulah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam akan segera menegurnya sebagaimana yang dilakukan oleh baginda dalam beberapa riwayat yang akan dikemukakan sebentar lagi.
Adapun selain mereka, khususnya generasi yang hidup selepas kewafatan baginda shallallahu ‘alaihi wasallam, tidaklah termasuk di dalam perbincangan hadis ini. Justeru, apa jua amalan yang wujud selepas kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, meskipun ia kelihatan baik dan tidak terdapat sebarang dalil khusus yang menjelaskan larangannya, ia tetap tidak boleh dianggap sebagai sunnah, tetapi adalah bid’ah yang tercela di sisi agama.
Bantahan Kedua:
Perlu diketahui bahawa tidak semua amalan ‘baru’ dalam urusan ibadah yang diada-adakan oleh para sahabat radhiallahu ‘anhum mendapat pujian dan pengiktirafan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasul-Nya, Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Terdapat sebahagian daripada amalan-amalan tersebut yang mendapat teguran dan bantahan yang tegas daripada baginda shallalahu a’alaihi wasallam. Perhatikan riwayat-riwayat berikut:
Hadis #1:
Dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa tiga orang sahabat telah datang ke rumah para isteri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bagi bertanyakan tentang ibadah baginda shallallahu ‘alaihi wasallam.
Setelah mendapat penjelasan daripada para isteri baginda shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai sifat ibadahnya, ketiga-tiga sahabat tadi terfikir bahawa adalah perlu untuk mereka melipat-gandakan ibadah mereka mengatasi ibadah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Ini kerana - menurut andaian mereka - jika baginda sebagai insan yang maksum lagi diampuni segala dosa-dosanya yang telah lalu dan yang akan datang beribadah dengan kadar dan kualiti sebagaimana yang dijelaskan oleh para isterinya, maka sudah tentulah mereka sebagai manusia yang tidak maksum perlu melaksanakan ibadah yang jauh lebih banyak daripada baginda shallallahu ‘alaihi wasallam.
Bagi tujuan tersebut, ketiga-tiga sahabat tersebut memasang azam masing-masing di mana salah seorang daripada mereka bercadang untuk melakukan puasa sepanjang tahun, manakala dua orang yang lain pula berazam untuk mengerjakan solat sepanjang malam dan hidup membujang seumur hidup.
Walau bagaimanapun keazaman mereka ini telah mendapat bantahan yang tegas daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabdanya:[6]
أَمَا وَاللهِ إِنيِّ لأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لَكِنِّي أَصُوْمُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي.
Ketahuilah! Demi Allah, sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut dan paling bertaqwa kepada Allah di antara kamu tetapi (kadangkala) aku (juga) berpuasa dan (kadangkala) tidak, aku bersolat (malam) tetapi aku juga tidur dan aku juga berkahwin dengan wanita-wanita. Sesiapa yang berpaling daripada sunnahku maka dia bukan dari (umat) aku!
Hadis #2:
Di bawah ini pula akan dinukilkan sebuah riwayat berkenaan larangan baginda ke atas beberapa orang sahabat yang memanggilnya dengan gelaran Sayyidina:
عَنْ مُطَرِّفٍ قَالَ: قَالَ أَبِي انْطَلَقْتُ فِي وَفْدِ بَنِي عَامِرٍ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْنَا: أَنْتَ سَيِّدُنَا! فَقَالَ: السَّيِّدُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى! قُلْنَا: وَأَفْضَلُنَا فَضْلاً وَأَعْظَمُنَا طَوْلاً. فَقَالَ: قُولُوا بِقَوْلِكُمْ أَوْ بَعْضِ قَوْلِكُمْ وَلاَ يَسْتَجْرِيَنَّكُمْ الشَّيْطَانُ.
Dari Mutarrrif bin Abdullah radhiallahu ‘anhu berkata bahawa ayahnya pernah bersama satu rombongan daripada Bani Amir pergi untuk berjumpa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Apabila mereka tiba, mereka berkata kepada Rasulullah: ‘Anta Sayyidina’ (Engkau Tuan kami). (Mendengarkan yang demikian). Rasulullah menjawab: ‘Tuan kamu ialah Allah Tabaraka wa Ta’ala!” Mereka (Bani Amir) berkata lagi: ‘Engkau adalah yang paling mulia kemuliaannya, dan yang paling besar kemuliaannya’. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: ‘Berkatalah kamu dengan perkataan itu, akan tetapi janganlah sampai syaitan menjadikan kamu sebagai wakilnya!.’
Hadis #3:
Al-Barra’ bin ‘Azib radhiallahu ‘anhu menceritakan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:[7]
إِذَا أَخَذْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلَاةِ ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الْأَيْمَنِ ثُمَّ قُلْ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْلَمْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ وَاجْعَلْهُنَّ مِنْ آخِرِ كَلَامِكَ فَإِنْ مُتَّ مِنْ لَيْلَتِكَ مُتَّ وَأَنْتَ عَلَى الْفِطْرَةِ قَالَ فَرَدَّدْتُهُنَّ لِأَسْتَذْكِرَهُنَّ فَقُلْتُ آمَنْتُ بِرَسُولِكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ قَالَ قُلْ آمَنْتُ بِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ.
Apabila kamu hendak tidur, maka berwudhulah sebagaimana kamu berwudhu untuk shalat. Setelah itu berbaringlah dengan miring ke kanan, lalu berdoalah: “Ya Allah ya Tuhanku, aku pasrahkan wajahku kepada-Mu, aku serahkan urusanku kepada-Mu dan aku serahkan punggungku kepada-Mu dengan berharap-harap cemas kerana tidak ada tempat berlindung dan tempat yang aman dari adzab-Mu kecuali dengan berlindung kepada-Mu. Aku beriman kepada kitab-Mu yang telah Engkau turunkan dan aku beriman kepada Nabi-Mu yang telah Engkau utus.”
Jadikan bacaan tersebut sebagai penutup ucapanmu menjelang tidur. Apabila kamu meninggal dunia pada malam itu, maka kamu meninggal dalam kesucian diri (fitrah)." al-Barra' berkata: “Saya mengulang-ulangi bacaan tersebut agar (ia dapat saya) hafal dan (ketika) saya ucapkan: Saya beriman kepada Rasul-Mu yang telah Engkau utus.' Lalu Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam berkata: 'Ucapkanlah: Saya beriman kepada Nabi-Mu yang telah Engkau utus."
Dalam hadis di atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengajarkan kepada salah seorang sahabatnya, al-Barra’ bin ‘Azib radhiallahu ‘anhu tentang doa yang perlu dia lafazkan ketika hendak tidur. Ketika menghafal doa tersebut di hadapan Nabi, al-Barra’ didapati telah mengubah salah satu lafaz daripada doa yang baginda ajarkan kepadanya. Lafaz tersebut ialah ‘Nabi-Mu’ yang diubah oleh al-Barra’ kepada lafaz ‘Rasul-Mu’. Walaupun pengubahan lafaz ini kelihatan baik, namun baginda tetap melarangnya berbuat demikian dan memerintahkan agar dia mengekalkan sahaja lafaz asal sebagaimana yang diajarkan oleh baginda kepadanya.
Hadis #4:
Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhu berkata:[8]
بَيْنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ إِذَا هُوَ بِرَجُلٍ قَائِمٍ فَسَأَلَ عَنْهُ فَقَالُوا أَبُو إِسْرَائِيلَ نَذَرَ أَنْ يَقُومَ وَلَا يَقْعُدَ وَلَا يَسْتَظِلَّ وَلَا يَتَكَلَّمَ وَيَصُومَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُرْهُ فَلْيَتَكَلَّمْ وَلْيَسْتَظِلَّ وَلْيَقْعُدْ وَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ
Semasa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menyampaikan khutbah, baginda melihat seorang lelaki berdiri di bawah cahaya matahari lalu baginda bertanya tentangnya. Para sahabat berkata: Dia ialah Abu Israil. Dia bernazar untuk berdiri dan tidak duduk, tidak berteduh, tidak bercakap dan akan berpuasa. Baginda berkata: “Beritahu kepadanya agar (hendaklah dia) bercakap, berteduh, duduk dan biarkan dia terus berpuasa.”
Hadis #5:
Bersumberkan daripada Abul Malih radhiallahu ‘anhu bahawa seorang lelaki telah berkata:[9]
كُنْتُ رَدِيفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَثَرَتْ دَابَّةٌ فَقُلْتُ تَعِسَ الشَّيْطَانُ فَقَالَ لَا تَقُلْ تَعِسَ الشَّيْطَانُ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَعَاظَمَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الْبَيْتِ وَيَقُولُ بِقُوَّتِي وَلَكِنْ قُلْ بِسْمِ اللَّهِ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَصَاغَرَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الذُّبَابِ
Aku membonceng di belakang Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, maka ketika haiwan tunggangan baginda lambat saat berjalan aku berkata: “Celakalah Syaitan ini.”Baginda lalu bersabda: Janganah engkau berkata: “Celakalah Syaitan ini” kerana jika engkau berkata seperti itu ia (Syaitan) akan semakin besar hingga seperti rumah dan berkata: “Demi kekuatanku.” Tetapi hendaklah engkau katakan 'Bismillah” (dengan menyebut nama Allah). Jika engkau ucapkan itu maka syaitan akan semakin kecil hingga (menjadi) seperti lalat.
Memadai dikemukakan beberapa hadis di atas bagi menunjukkan bahawa terdapat sebahagian amalan para sahabat yang tidak mendapat perkenan baginda untuk diangkat menjadi ibadah yang diiktiraf di dalam ajaran Islam.
Hakikat bahawa pada sebahagian amalan sahabat ada yang diterima oleh Rasulullah manakala sebahagian yang lain mendapat tegahan dan larangan daripada baginda menunjukkan kepada kita bahawa penentuan sama ada diterima atau ditolaknya sesuatu ibadah itu adalah tertakluk sepenuhnya kepada ketentuan yang datang daripada Allah melalui lisan Rasul-Nya.
Pasti saja, penentuan ini pula tidak mungkin boleh berlaku melainkan jika baginda shallallahu ‘alaihi wasallam hadir dan menyaksikan sesuatu amalan yang disandarkan ke atas ajaran agama sebagaimana baginda menyaksikan dan menentukan kedudukan amalan para sahabatnya. Memandangkan Rasulullah sudah wafat dan tidak berkesempatan lagi untuk menyaksikan sekaligus menentukan kedudukan bid’ah yang diciptakan oleh sebahagian pihak di zaman ini, maka apakah lagi faedah untuk kita mengada-adakan bid’ah di dalam urusan agama?
Penjelasan tambahan.
Apa yang menarik untuk diperhatikan adalah, usaha mengingkari amalan-amalan bid’ah yang bercanggah dengan sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak hanya khusus dilakukan oleh baginda ketika masih hayatnya tetapi juga oleh para sahabat baginda setelah kewafatannya.
Semua ini menjadi bukti betapa kukuhnya kefahaman para sahabat terhadap pengertian bid’ah yang dicela di sisi agama, sehingga dengan kefahaman itu mereka mengambil peranan baginda untuk mengingkari apa jua amalan baru yang bermunculan selepas kewafatannya. Perhatikan riwayat-riwayat berikut:
Riwayat #1: [10]
عَنْ نَافِعٍ أَنَّ رَجُلًا عَطَسَ إِلَى جَنْبِ ابْنِ عُمَرَ فَقَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالسَّلاَ مُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ قَالَ ابْنُ عُمَرَ وَأَنَا أَقُولُ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالسَّلاَ مُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ وَلَيْسَ هَكَذَا عَلَّمَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَّمَنَا أَنْ نَقُولَ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ.
Daripada Nafi’ beliau meriwayatkan bahawa pada suatu ketika seorang lelaki telah bersin di sisi Ibnu 'Umar radhiallahu 'anhu lalu lelaki tersebut berkata: "Alhamdulillah wassalam 'ala Rasulillah." (Mendengarkan yang demikian) berkatalah Ibnu 'Umar: "(Adakah) saya mengucapkan "Alhamdulillah wassalam 'ala Rasulillah?.” Bukanlah ucapan seperti ini (yang diajar oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kepada kami tetapi) Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengajarkan kepada kami ucapan ini: "Alhamdulillah 'ala kulli haal.”
Riwayat #2:
عن سعيد المسيب: أنه رأى رجلا يصلى بعد طلوع الفجر أكثر من ركعتين، يكثر فيها الر كوع والسجود، فنهاه، فقال: يا ابا محمد! يعذبني اﷲ على الصاة؟ قال: لا! ولكن يعذبك غلى خلاف السنة.
Daripada Said Ibnu al-Musayyib radhiallahu ‘anhu bahawasanya dia telah melihat seorang lelaki solat setelah terbit fajar lebih daripada dua rakaat. Lelaki itu memperbanyakkan rukuk dan sujud dalam solatnya itu. Lalu beliau pun melarang lelaki itu berbuat sedemikian. Maka lelaki itupun berkata kepadanya: “Wahai Abu Muhammad! Adakah Allah mengazabku di atas solat yang aku kerjakan ini?.” Beliau menjawab: “Tidak, akan tetapi Allah mengazabmu kerana perlakuanmu ini menyelisih sunnah (cara Nabi shalallahu‘alaihi wasallam).”
Riwayat #3:
Daripada ‘Amr bin Salamah radhiallahu ’anhu, dia berkata:
كنا نجلس على باب عبد الله بن مسعود قبل صلاة الغداة. فإذا خرج مشينا معه إلى المسجد. فجاءنا أبو موس الأشعري فقال: أخرج إليكم أبو عبد الرحمن. بعد قلنا: لا. فجلس معنا حتى خرج. فلما خرج قمنا إليه جميعا فقال له أبو موس: ياأبا عبد الرحمن إني رأيت في المسجد آنفا أمرا أنكرته ولم أر والحمد لله إلا خيراز قال: فماهو. إن عشت فستراه قال رأيت في المسجد قوما حلقا جلوسا ينتظرون الصلاة في كل حلقة رجل وفي أيديهم حصى فيقول كبروا مائة فيكبرون مائة فيقول هللوا مائة فيهللون مائة ويقول سبحون مائة فيسبحون مائة. قال: فماذا قلت لهم؟ قال: ما قلت لهم شيئا انتظار رأيك وانتظار أمرك. قال: أفلا أمرتهم أن يعدوا سيئاتهم وضمنت لهم أن لا يضيع من حسناتهم؟ ثم مضى ومضينا معه حتى أتى حلقة من تلك الحلق فوقف عليهم فقال: ما هذا الذي أراكم تصنعون؟ قالوا: ياأبا عبد الرحمن حصى نعد به التكبير والتهليل والتسبيح. قال: فعدوا سيئاتكم فأنا ضامن أن لا يضيع من حسناتكم شيء ويحكم يا أمة محمد ما أسرع هلكتكم هؤلاء صحابة نبيكم صلى الله عليه وسلم متوافرون وهذه ثيابه لم تبل وآنيته لم تكسر والذي نفسي بيده إنكم لعلى ملة هي أهدى من ملة محمد أو مفتتحو باب ضلالة. قالوا: والله يا يا أبا عبد الرحمن ماأردنا إلا الخير. قال: وكم من مريد للخير لن يصيبه.
Suatu ketika kami duduk di pintu ‘Abdullah bin Mas’ud sebelum solat Subuh. Apabila dia keluar, kami akan berjalan bersamanya ke masjid. Tiba-tiba datang kepada kami Abu Musa al-Asy’ari, lalu bertanya: “Apakah Abu ‘Abdul Rahman (‘Abdullah bin Mas’ud) telah keluar kepada kamu.” Kami jawab: “Tidak.” Maka dia duduk bersama kami sehingga ‘Abdullah bin Mas’ud keluar.
Apabila dia keluar, kami semua bangun kepadanya. Lalu Abu Musa al-Asy’ari berkata kepadanya: “Wahai Abu ‘Abdul Rahman[11], aku telah melihat di masjid tadi satu perkara yang aku tidak bersetuju, tetapi aku tidak lihat - Alhamdulillah - melainkan ia baik[12].”
Dia (‘Abdullah bin Mas’ud) bertanya: “Apakah ia?.” Kata Abu Musa: “Jika umur kamu panjang engkau akan melihatnya. Aku melihat satu puak, mereka duduk di dalam lingkungan (bulatan/halaqah) menunggu waktu solat. Bagi setiap lingkungan ada seorang lelaki (yang bertindak sebagai ketua dalam lingkungan mereka), sementara di tangan mereka yang lain ada anak-anak batu.
Apabila lelaki (ketua dalam lingkungan) itu berkata: “Takbir (Allahu Akbar) 100 kali”, maka mereka (yang lain) pun bertakbir 100 kali. Apabila dia berkata “Tahlil (La ilaha ilallah) 100 kali”, maka mereka pun bertahlil 100 kali. Apabila dia berkata: “Tasbih (Subhanallah) 100 kali”, maka mereka pun bertasbih 100 kali.”
Tanya ‘Abdullah bin Mas’ud: “Apa yang telah engkau katakan kepada mereka?.” Jawabnya (Abu Musa): “Aku tidak kata kepada mereka apa-apa kerana menanti pandangan dan perintahmu.” Kata ‘Abdullah bin Mas’ud: “Mengapa engkau tidak menyuruh mereka mengira dosa mereka dan engkau jaminkan bahawa pahala mereka tidak akan hilang sedikit pun?.”
Lalu dia (‘Abdullah bin Mas’ud) berjalan dan kami pun berjalan bersamanya. Sehinggalah dia (’Abdullah bin Mas’ud) tiba kepada salah satu daripada lingkungan berkenaan. Dia (‘Abdullah bin Mas’ud) berdiri lantas berkata: “Apa yang aku lihat kamu sedang lakukan ini?”
Jawab mereka (yang sedang berzikir dalam halaqah): “Wahai Abu ‘Abdul Rahman[13]! Anak-anak batu yang dengannya kami menghitung Takbir, Tahlil dan Tasbih.”
Jawabnya (‘Abdullah bin Mas’ud): “Hitunglah dosa-dosa kamu, aku jamin pahala-pahala kamu tidak hilang sedikit pun. Celaka kamu wahai umat Muhammad! Alangkah cepat kemusnahan kamu. Para sahabat Nabi masih ramai lagi, baju baginda belum lagi buruk dan bekas makanan dan minuman baginda pun belum lagi pecah. Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya, apakah kamu berada di atas agama yang lebih mendapat petunjuk dari agama (yang dibawa oleh) Muhammad atau sebenarnya kamu semua pembuka pintu kesesatan?.”
Jawab mereka: “Demi Allah wahai Abu ‘Abdul Rahman, kami hanya bertujuan baik.” Jawabnya (‘Abdullah bin Mas’ud): “Betapa ramai yang bertujuan baik, tetapi tidak mendapatinya.”
Nota kaki
[1] Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, no. 1149.
[2] Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, no.1871.
[3] Mengerjakan solat terawih secara berjemaah bukanlah perkara yang bid’ah di dalam agama. Ini kerana telah masyhur riwayat yang menjelaskan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah mengerjakan solat terawih bersama-sama dengan para sahabatnya di bulan Ramadan (Shahih Muslim, no. 761 dan Shahih Sunan al-Nasa’i, no. 1604). Justeru itu perkataan Amirul Mukminin ‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anhu dalam riwayat di atas hendaklah difahami dalam konteks pengertian bahasa (etimologi) dan bukannya menurut takrifan syarak (terminologi). Wallahua’lam.
[4] Hadis riwayat Abu Daud, no. 4607, at-Tirmidzi, no. 2676 dan al-Hakim 1/95. Disahihkan oleh al-Hakim dan disepakati oleh adz-Dzahabi. Lihat komentar Syeikh al-Albani dalam Irwa’ al-Ghalil, no. 2455.
[5] Inilah yang disebutkan oleh para ulama sebagai sunnah takririyyah, iaitu apa-apa perkataan dan perbuatan para Sahabat yang tidak dilakukan mahupun dianjurkan oleh Nabi shallallahu ’alaihi wasallam akan tetapi baginda tidak melarangnya. Diamnya baginda terhadap perbuatan tersebut menunjukkan ia adalah suatu yang dibolehkan. Sekiranya perbuatan tersebut salah di sisi ajaran Islam, pastilah Rasulullah akan segera menegahnya.
[6] Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, no. 5063 dan Muslim dalam Shahih Muslim, no. 1401.
[7] Hadis riwayat Muslim dalam Shahih Muslim, no. 4884.
[8] Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, no. 6210.
[9] Hadis riwayat Abu Daud dalam Sunan Abu Daud, no. 4330 dan dinilai sahih oleh Syeikh al-Albani. Lihat Shahih Sunan Abu Daud, no. 4982.
[10] Hadis riwayat at-Tirmidzi dalam Sunan al-Tirmizi, no. 2662 dan al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. 7691.
[11] Iaitu gelaran bagi ‘Abdullah bin Mas’ud radhiallahu ‘anhu.
[12] Maksud beliau, perkara tersebut kelihatan baik walaupun dia tidak menyetujuinya.
[13] Iaitu gelaran bagi ‘Abdullah bin Mas’ud radhiallahu ’anhu.
~
by Mohd Hairi Nonchi on Tuesday, May 1, 2012
Oleh: Mohd Hairi Nonchi (Cikgu Arie)
No comments:
Post a Comment