Dakwaan Kerajaan sering berlaku tidak adil
Ustaz Fathul Bari Mat JahyaSoalan: Pas mengajak kepada keadilan sejagat, dalam segala aspek pengurusan, pentadbiran. Tetapi rakyat melihat kerajaan yang ada sekarang sering berlaku tidak adil kepada rakyat. Di mana keadilan yang kerajaan boleh beri kepada rakyat?
Jawapan:
Erti adil pada hari ini subjektif. Kita boleh kata seseorang itu tidak adil, kerajaan tidak adil, kerajaan makan duit rakyat, kerajaan rasuah. Namun janganlah kerana masalah individu kita menghukum keseluruhan. Itulah sebenarnya yang tidak adil. Allah Subhanahu wa Ta’ala menyebut di dalam Al-Quran,
وَلا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ على أَلاَّ تَعْدِلُوْا اِعْدِلُوْا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى
“Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah Al-Maaidah, 5: 8)Bahkan jika diteliti, hadis-hadis Nabi sallallahu’alaihi wasallam sangat banyak di dalam isu yang membabitkan keadilan. Bahkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengatakan bahawa Baginda akan menghukum anaknya sendiri kalau anaknya mencuri sebagaimana sabda Baginda,
لو أن فاطمة بنت محمد سرقت لقطعت يدها
“Kalau Fathimah binti Muhammad mencuri aku akan potong tangannya.”Tetapi pada hari ini kita melihat perkara yang berlaku adalah sebaliknya. Apabila kesalahan itu terkena pada Umno, mereka menyerang habis-habisan. Tetapi apabila kesalahan itu terkena pada pihak mereka, mereka sunyi sepi.
Saya berikan satu contoh. Pada tahun lalu, ada seorang pemimpin tertinggi kita yang menghadiri majlis Ponggal. Mereka sms saya, tweet saya, menulis di Facebook bertanya di mana suara saya, kenapa tidak bersuara, pemimpin menghadiri majlis Ponggal, pemimpin memakai kalungan bunga, dan sebagainya.
Tidak sampai seminggu, tersebar pula gambar menunjukkan pemimpin mereka bukan setakat pakai bunga, tetapi sampai memakai ‘nandek’ di dahi.
Pada ketika itu, tidak ada seorang di kalangan mereka yang mengkritik, marah, atau bertanyakan soalan yang sama kepada saya lagi. Ini yang saya katakan tidak adil di dalam kita menghukum.
Sebab itu saya katakan bahawa isu tidak adil ini sangat subjektif. Jangan kerana seorang membawa masalah, kita menghukum semua.
Dasarnya jelas; kerajaan berusaha melakukan keadilan kepada semua masyarakat. Bahkan BR1M diberikan oleh Kerajaan kepada rakyat tanpa mengira parti politik, tanpa mengira kecenderungan. Ini di antara contoh yang boleh kita lihat sendiri.
Jadi kita meminta supaya melihat kepada isunya sebelum menghukum orang itu tidak adil. Kalau sekadar melaungkan kerajaan tidak adil, pilihanraya tidak adil, kalau benar tidak adil, bagaimana Selangor pembangkang boleh menang?
Jika pilihanraya tidak adil bagaimana pembangkang boleh memerintah Kelantan selama lebih 20 tahun? Bagaimana pembangkang boleh menang di Pulau Pinang dan Kedah? Ini perkara yang perlu kita fikirkan dengan adil.
Wallahu a’lam.
Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:
About these ads
No comments:
Post a Comment