Thursday, March 7, 2013

PARA TOKOH IKHWANUL MUSLIMIN PEJUANG TASAWUF



Oleh : Abu Farouq

Menurut penilaian dan fatwa para ulama aliran Salaf as-Soleh, Ikhwanul Muslimin adalah sebuah pertubuhan yang dicemari oleh berbagai-bagai fahaman, pemikiran dan pandangan yang menyeleweng, terutamanya fahaman sufiyah atau tasawuf. Fahaman tersebut menjalar ke segenap aktiviti mereka sama ada akhlak, ibadah, dakwah atau politik. Kenyataan yang dianggap keterlaluan ini dan kenyataan yang seterusnya bukanlah hanya petikan pemikiran yang dikutip dari sebuah buku tulisan tokoh Ikhwanul Muslimin, tetapi dari berbagai-bagai buku, tulisan, kenyataan dan fatwa-fatwa mereka yang telah tersebar.

Ikhwanul Muslimin terkenal sebagai sebuah pertubuhan yang mengiktiraf konsep kesufian dan kesatuan agama (wahdatul adyan). Keyakinan wahdatul wujud tidak dapat dipisahkan dari semua tariqat kesufian. Konsep dan perinsip kesufian pula telah dijadikan sebagai dasar perjuangan Ikhwanul Muslimin. Ia diakui sendiri oleh Yusuf al-Qaradhawi, Sa’id Hawa dan para pemimpin Ikhwanul Muslimin yang lain. Hasan al-Banna telah menyuarakan hakikat kenyataan ini, beliau menegaskan:

“Cara merungkai segala kesukaran dalam amal, fikrah dan segala prinsip-prinsipnya yang ditempuh oleh golongan sufi, semuanya itu termasuk uslub (cara atau metodologi) mentarbiyah (mendidik) dan cara berpolitik Ikhwanul Muslimin”.[1]

Hasan al-Banna lebih mengutamakan falsafah, doktrin dan kaedah kesufian dalam mengatur hidup, ibadah dan siyasahnya. Pendoktrinan ini amat bahaya kerana orang-orang awam akan terpengaruh dan berkeyakinan bahawa kata-kata sufi lebih utama dan jelas berbanding firman Allah ‘Azza wa-Jalla dan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Menurut Hasan al-Banna rahimahullah:

“Tidak diragukan lagi bahawa mengambil kaedah-kaedah dari tasawuf apabila mentarbiyah dan membina suluk dalam dakwah, ia akan memberi kesan yang kuat dalam jiwa dan hati. Ini berpunca lantaran kata-kata orang-orang sufi (tasawuf) dalam hal ini lebih jelas dari perkataan manusia yang bukan sufi”.[2]

Si Pemuja sufi Sa’id Hawa semoga Allah merahmatinya telah membuat pengakuan dan menguatkan lagi kenyataan Hasan al-Banna, beliau berkata:

“Bahawasanya Ikhwanul Muslimin pada hakikatnya adalah sufiyah (pertubuhan yang bermanhaj sufi)”.[3]

Abdurrahman al-Banna, saudara kepada Hasan al-Banna telah menceritakan tentang hakikat amalan tasawuf Hasan al-Banna, beliau menjelaskan:

“Kebiasannya setelah solat Isyak, Hasan al-Banna duduk bersama orang-orang (sufi) yang berzikir dari kalangan al-Ikhwan Hasafiyah”.

Beliau menceritakan suasana dan keadaan Hasan al-Banna diketika berzikir berserta para pengikut sufi al-Hasafiyah:

“Tidak kelihatan di dalam masjid, kecuali orang-orang yang berzikir… Malam menjadi hening kecuali bisikan doa berserta kilauan cahaya, seluruh tempat diselimuti cahaya langit, diselimuti cahaya Rabb, longlailah seluruh jasmani, terbanglah arwah, lenyaplah segala sesuatu yang ada dalam wujud, hilang dan terlepas lantaran suara-suara zikir yang sangat manis”.[4]

Inilah ilusi sufi wahdatul wujud serta cara berzikir jama’i orang-orang sufi yang bid’ah, sehingga terasa oleh mereka ketika tenggelam dalam berzikir: “Lenyaplah segala sesuatu yang ada dalam wujud” inilah kemuncak amalan wahdatul wujud dalam tariqat kesufian yang diceburi oleh Hasan al-Banna dan kebanyakan para pengikutnya.

Persoalannya, bagaimana kredibiliti Hasan al-Banna yang dianggap imam, mursyidul am, syahid dan pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin yang disanjung serta ditokohkan sebagai pejuang Islam dan mujaddid, sedangkan beliau bergelumang dengan berbagai-bagai bid’ah, khurafat, tahaiyul, melakukan kesyirikan dan berakidah Asy’ariyah berteras falsafah wahdatul wujud? Mudah-mudahan beliau telah melepaskan semua kebatilan tersebut sebelum menemui ajalnya.

Insya Allah di tulisan ini akan menyusul banyak lagi bukti-bukti dan fakta konkrit yang menunjukkan bahawa terdapat berbagai ibadah-ibadah bid’ah, syirik, khurafat, tahaiyul, lamunan dan amalan kebatinan yang mungkar yang diamalkan oleh tariqat kesufian yang dianut oleh Hasan al-Banna, dianut oleh jamaahnya dan para pengikutnya. Yang jelas antara contoh amalan mereka yang bid’ah ialah merialisasikan amalan-amalan sufi (tasawuf) seperti berzikir beramai, tawaf dan beribadah di kuburan, bertawassul dengan roh orang-orang mati (kuburi) dan menghidupkan berbagai-bagai perayaan bid’ah seperti meyambut hari haul orang yang dikeramatkan dan perayaan maulid para wali di samping perayaan maulid Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam disetiap tahun.

Malangnya setelah kematian Hasan al-Banna hampir semua perbuatan bid’ah yang pernah beliau ceburi telah diteruskan oleh tokoh-tokoh dalam jamaah dan pentaqlid buta yang ghulu kepadanya. Hakikat ini telah digambarkan dan diakui oleh Abdurrahman al-Banna:

“Apabila menjelang anak bulan Rabi’ul Awal, kami berjalan beramai-ramai dalam satu perarakan setiap malam, sehinggalah kemalam 12 Rabi’ul Awal.[5] Kami mendendangkan qasidah puji-pujian untuk Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

هذا الحبيب مع الأصحاب قد حضرا # وسامح الكل فيما قد مضى وجرا

“Kekasih ini (Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam) bersama para sahabat telah tiba (hadir) # Dia mengampunkan segala dosa yang telah berlalu dan yang akan datang”.[6]

Merayakan perayaan maulidur rasul (menyambut hari keputeraan Rasulullah), mengadakan perarakan, menyeru baginda melalui doa, qasidah, syair atau nasyid adalah jelas perbuatan bid’ah, tahaiyul, khurafat dan membawa kepada kesyirikan. Begitu juga amalan kuburi (menyeru orang yang sudah mati) adalah syirik akbar (syirik besar) yang telah dijelaskan hukum kesyirikannya sebagaimana kesepakatan yang telah difatwakan oleh para ulama Salaf as-Soleh.

Persoalannya, bagaimana Hasan al-Banna masih melakukan perbuatan yang dilarang ini (kerana tidak ditemui tulisannya yang menunjukkan beliau telah bertaubat) sehingga ke akhir hayatnya sedangkan beliau dianggap sebagai mujaddid dan imam oleh para pengekornya? Apakah dalam persoalan yang melibatkan akidah kita boleh bertawazun (bertimbang-tara) dan bertawassuth (bertolak-ansur)? Atau oleh kerana beliau adalah seorang yang telah ditokohkan dan dianggap telah membuat banyak kebaikan, maka segala bentuk kebatilan dan kemungkarannya boleh disembunyikan atau dilupakan? Sedangkan dalam perkara yang melibatkan akidah dan yang seberat ini Allah ‘Azza wa-Jalla telah memberi peringatan dengan firmanNya:

وَلاَ تَلْبِسُوْا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوْا الْحَقَّ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ.

“Janganlah kamu campur-adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedangkan kamu mengetahui”.[7]

Apakah Hasan al-Banna yang ditokohkan oleh para pengikutnya sebagai imam, syahid, mursyid dan ketua pergerakan Ikhwanul Muslimin tidak mengetahui persoalan dan hukum tentang perayaan maulid, kuburi dan bid’ah-bid’ah terutamanya yang terdapat di dalam tariqat kesufian? Kalau benar Hasan al-Banna telah bertaubat dari semua perkara yang bid’ah ini dan melarang para pengikut dan penyambung perjuangannya dari melakukannya, tentulah tokoh-tokoh yang menjadi pelanjut dakwahnya setelah kematiannya seperti Sa’id Hawa, Tilmisani, Hasan al-Hudaibi, Mustafa as-Siba’i, Yusuf al-Qaradhawi dan ramai lagi telah bertaubat, meninggalkan dan mengharamkan para pengikutnya dari melakukan perkara-perkara yang telah diharamkan oleh Hasan al-Banna. Tetapi yang jelas adalah sebaliknya. Fikirkanlah kenyataan Yusuf al-Qaradhawi yang menyeru: “Jadikanlah Salafi itu Sufi”.[8]

--------------------------------------------------------------------

[1] . Lihat: Muzakkirat ad-Dakwah wa-Daiyah hlm. 31.
[2] . Ibid hlm. 31.
[3] . Lihat: Jaulat fi Fiqihin hlm. 154.
10. Hasan al-Banna bi Aqlami Talamizatihi wa-Mu’asirihi hlm. 70-71 Jabir Rizqi.
[5] . Lihat: Muzakkirat ad-Dakwah wa-Du’at Hlm. 22-23.
[6] . Lihat: Hasan al-Banna bi Aqlami Talamizatihi Hlm. 71-72.
[7] . al-Baqarah. 2:42.
[8] . Lihat: Majalah an-Nida’. Malaysia.

--------------------------------
video berkait :http://www.youtube.com/watch?v=_tJovm-OcVE

1 comment:

  1. Saya tertarik dgn tulisan anda tentang nasib Melayu Islam di tanah air kita. Namun setelah membaca tulisan anda di atas, saya berbelah pendapat.
    Saya tak mau langsung mengatakan fikiran anda seperti wahabi.
    Hanya saya sarankan anda kenalillah dulu para sufi yg sebenar2 nya dan bukan mereka yg menyeleweng seperti berikut:
    1. yg tak perlu solat 5 waktu kerna sudah ' mengenal diri'
    2. yg zikirnya seperti tarekat ahmadiyah yg sampai 'berjoget2.
    3. tarekat naqsyabandiyah haqqani yg meletakkan makam syeikhnya lebih tinggi dari makam nabi

    sebaliknya kenalilah dulu para sufi yg sebenarnya
    1. tak ada zikir ' joget
    2. syariat dan hakikat harus berjalan sesama tanpa kehilangan salah satu diantaranya
    2. kenali tokoh seperti Tuan Guru Syeikh Abdurrahman Siddiq
    Barulah anda sedar betapa benarnya para sufi yg benar..
    Rugilah kita sebagai hamba jika berfikiran tidak waras seperti wahabi laknatullah. Kajilah sejarah bagaimana Arab Saudi al- wahabi ditubuhkan, barulah anda sedar.
    Tak adil anda menuduh ahli sufi tanpa mengenal pelajarannya.

    ReplyDelete