Friday, March 28, 2014

Penjelasan mengenai UCAPAN takziah berkaitan tragedi MH370




PENJELASAN MENGENAI UCAPAN TAKZIAH BERKAITAN TRAGEDI MH370

Rentetan daripada pengumuman Perdana Menteri Malaysia pada 24 Mac 2014 dalam satu sidang media khas bahawa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH 370 yang hilang daripada radar sejak 8 Mac 2014 disahkan berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi, disusuli dengan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 25 Mac 2014 yang memutuskan bahawa semua penumpang dan anak kapal pesawat tersebut dikategorikan sebagai Mafqud yang secara zahir dan kebarangkalian kuatnya telah dianggap terkorban, maka timbul persoalan tentang pandangan Islam berkenaan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat.

Persoalan ini timbul kerana walaupun mangsa-mangsa yang berstatus mafqud yang kebarangkalian kuatnya telah tiada berdasarkan kepada pengamatan pakar-pakar yang terlibat dalam misi pencarian, tetapi status kematian mereka perlu disabit dan disahkan oleh mahkamah, sebagaimana keputusan Muzakarah.
Jadi, apakah hukum mengucapkan takziah kepada ahli keluarga para penumpang dan anak kapal MH 370?

Merujuk kepada pengertian takziah yang berasal daripada perkataan Bahasa Arab, ia member maksud memujuk supaya sabar dan menggembirakan. Dari sudut fiqah, takziah ialah ucapan-ucapan yang ditujukan kepada orang yang ditimpa musibah bagi memujuk mereka supaya bersabar. Ia boleh diucapkan dalam bentuk doa seperti, “Mudah-mudahan Allah menggandakan pahala kamu dengan ujian ini”, atau “Mudah-mudahan Allah mengurniakan kesabaran kepada kamu dalam menghadapi musibah ini”, dan lain-lain.

Walaupun perkataan takziah begitu sinonim dengan kematian, dan di dalam kitab-kitab fiqah juga banyak dibicarakan dalam bab hukum-hakam jenazah, tetapi sebenarnya ucapan takziah tidak khusus kepada musibah kematian. Malah ia digalakkan untuk diucapkan kepada mereka yang ditimpa apa sahaja musibah selain daripada kematian.

Ini berdasarkan kepada sabda Nabi Sallallahu Alahi Wasallam yang bermaksud: “Tidaklah seseorang mukmin mengucapkan takziah kepada saudaranya dengan suatu musibah, kecuali Allah akan memakaikannya dengan pakaian kemuliaan pada hari akhirat”. (Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, 1:511, no: 1602).

Al-Munawi menjelaskan maksud hadis dengan mengatakan, “Pada hadis tersebut, member takziah adalah sunat muakkadah (sunat yang sangat dituntut), dan ia tidak khusus pada kematiansahaja, kerana hadis tersebut menyebut musibah secara mutlaq”.(Al-Munawi, Faydh al-Qadir, 5:495).

Seorang ulama mazhab Syafie, Al-Ramli menyebut, “Keumuman perkataan mereka tentang sunat takziah kerana musibah, meliputi takziah kerana kehilangan harta”.(Al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj, 3:13).

Dengan melihat kepada lafaz hadis yang umum tentang takziah terhadap orang yang ditimpa musibah beserta tafsiran ulama mengenainya, dan melihat kepada maksud dan objektif daripada pensyariatan ucapan takziah iaitu untuk memujuk mereka supaya sabar dan tabah menghadapi musibah, maka disimpulkan bahawa ucapan takziah untuk selain musibah kematian juga adalah digalakkan.

Justeru,adalah digalakkan dan dengan cara berhikmah untuk mengucapkan takziah kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 di atas musibah yang menimpa. Mudah-mudahan dengan berkongsi kesedihan dengan mereka dan menunjukkan rasa cakna dan prihatin kita terhadap mereka, akan terubat rasa sedih daripada tragedi tersebut.

Wallahu A’lam.



 Dato' Hj Othman Bin Mustapha's status.
------------------------------------------------------------
KEPUTUSAN MUZAKARAH KHAS
JAWATANKUASA FATWA MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL UGAMA ISLAM MALAYSIA MENGENAI TRAGEDI MH370

Tarikh: 25 Mac 2014
Masa: 6.00 Petang
Tempat: Dewan Syura JAKIM

1.Setelah mendengar dan meneliti tiga (3) kertas kerja yang telah disediakan mengenai penentuan hukum syarak dalam tragedi MH370, dan setelah berbincang serta meneliti semua pandangan ulama’ serta pandangan ahli-ahli pakar pelbagai bidang sejak daripada tragedi ini berlaku pada 8 Mac 2014 hinggalah kepada pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia pada 24 Mac 2014 bahawa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 disahkan berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi di kawasan barat Perth Australia, Muzakarah menegaskan bahawa pensabitan kematian seseorang mempunyai kesan dan implikasi yang besar dari perspektif syarak. Justeru dalam Islam terdapat kaedah-kaedah yang telah digariskan bagi menangani permasalahan mereka yang tidak diketahui samada masih hidup atau sudah mati, dan dalam Fiqh kes seperti ini dikenali sebagai Mafqud (orang yang hilang).

2.Muzakarah menjelaskan bahawa berdasarkan pandangan as-Syafie “Mafqud ialah orang yang tidak didengari khabarnya, dan barangkali kemungkinan besarnya dia telah mati”. (Al-Syafie, Al-Umm, 6:182). Para ulama memperincikan bahawa mafqud dibahagikan kepada dua bahagian dan hukum kedua-duanya adalah berbeza. Pertama: Mafqud yang secara zahir dan kebarangkalian kuatnya dianggap telah terkorban. Mafqud bahagian ini ialah orang yang hilang dalam suatu bencana kebinasaan. (Ibn Qudamah, Al-Mughni, 6:389). Kedua: Mafqud yang secara zahir dia masih hidup. Contohnya seseorang yang keluar dari rumahnya untuk berniaga atau melancong tetapi tidak kembali pulang ke rumahnya.

3.Daripada contoh mafqud yang dibawakan oleh Ibn Qudamah, Muzakarah berpandangan bahawa dalam kes pesawat MH370 yang berakhir dalam lautan yang amat luas dan dalam, mayat-mayat dan bangkai pesawat menghadapi kesukaran untuk ditemui, dan pandangan pakar mengatakan bahawa survival manusia untuk hidup adalah tipis, maka kes ini bolehlah dikategorikan sebagai Mafqud yang secara zahir dan kebarangkalian kuatnya dia dianggap telah terkorban.

4.Muzakarah juga menjelaskan bahawa mengenai kadar tempoh mafqud sebelum diputuskan status kematiannya, tidak terdapat nas yang jelas daripada dalil-dalil Quran dan Sunnah berkenaan penetapan tempoh-tempoh tertentu secara tetap. Kebanyakan pendapat yang dinukilkan adalah bersumberkan kepada pendapat-pendapat para sahabat dan pendapat-pendapat tersebut bukan dalam bentuk kesepakatan yang boleh dinilai sebagai hujah ijmak, kerana wujud perselisihan dalam kalangan sahabat dan tabi’en. Namun keperluan kepada tempoh pencarian bagi mafqud adalah disepakati oleh para ulama’.

Muzakarah juga berpendapat bahawa perbezaan yang ketara dari segi uruf dan masa perlu diambilkira dalam penentuan tempoh mafqud ini kerana ia memberi kesan dalam pengsabitan hukum-hakam seterusnya.

5.Dalam hal ini, Muzakarah memutuskan bahawa dalam tragedi MH370 ini, keperluan menetapkan tempoh mafqud adalah terletak kepada pertimbangan ulil amri berdasarkan kepada ijtihadnya selaras dengan pandangan majoriti ulama, termasuk mazhab Syafie, mazhab Maliki, mazhab Hanafi dan satu riwayat mazhab Hanbali. (Nihayah al-Muhtaj, 6:28; Hasyiyah al-Dusuki, 4:434; Hasyiyah Ibn Abidin, 3:332; Al-Kasysyaf, 4:391).

Justeru, berasaskan kepada Kaedah Fiqhiyyah iaitu ‘Menghilangkan Kemudaratan’, lima(5) prinsip Maqasid Syariyyah iaitu menjaga agama, nyawa, harta, keturunan dan akal serta berasaskan kepada Siyasah Syariyyah dalam menjaga kemaslahahatan keluarga dan pihak-pihak yang terlibat serta bersesuaian dengan uruf dan waqi’, Muzakarah memutuskan bahawa keadaan mafqud dalam tragedi ini tidak memerlukan kadar tempoh tertentu kerana usaha-usaha pencarian yang telah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh walaupun dalam keadaan lautan yang amat mencabar serta qarinah-qarinah yang boleh diambilkira sebelum dan selepas pengumuman Kerajaan bahawa pesawat MH370 berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi, telah melalui tempoh munasabah bagi mafqud yang boleh diputuskan oleh Ulil Amri.

6.Sehubungan itu berdasarkan semua keterangan dan hujah-hujah yang dinyatakan tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa semua penumpang pesawat MH 370 adalah dikategorikan sebagai “Mafqud yang secara zahir dan kebarangkalian kuatnya telah dianggap terkorban”.

Oleh itu, memandangkan usaha-usaha mencari telah dijalankan dalam tempoh yang munasabah bagi mafqud dengan penggunaan pelbagai aset dan alat komunikasi berteknologi tinggi serta kewujudan qarinah-qarinah yang boleh diambilkira, maka Muzakarah berpendapat bahawa penumpang pesawat MH370 tersebut boleh dianggap telah terkorban. Walau bagaimanapun pengesahan atau pensabitan kematian hendaklah diputuskan oleh Mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Muzakarah juga berpandangan bahawa memandangkan pihak berkuasa masih terus mencari kesan daripada tragedi tersebut termasuk mayat atau cebisan mayat penumpang yang terkorban, maka Solat Jenazah Ghaib tidak perlu dilaksanakan lagi.

7.Muzakarah juga memutuskan bahawa jika dalam usaha pencarian kesan daripada tragedi tersebut, pihak berkuasa berjaya menemui mayat atau cebisan mayat, maka wajiblah diuruskan mayat tersebut seperti yang ditetapkan oleh Islam.

Oleh kerana penumpang MH370 ini terdiri daripada berbagai agama dan jika tidak dapat dibezakan antara Islam dan bukan Islam, maka untuk menguruskan mayat orang Islam dalam keadaan bercampur ini, hendaklah diuruskan kesemua mayat yang dijumpai tersebut mengikut Islam dan sewaktu Solat Jenazah hendaklah diniatkan hanya untuk orang Islam sahaja.

Jika yang ditemui itu hanya cebisan-cebisan atau sebahagian anggota kecil sahaja, maka hendaklah dikumpulkan semuanya dan diuruskan mengikut Islam dan ketika Solat Jenazah hendaklah diniatkan untuk orang-orang Islam sahaja.

8.Mengenai hal-hal berkaitan pengagihan harta pusaka, pembubaran status perkahwinan mangsa, atau hukum-hukum lain yang bersangkutan daripada tragedi ini, Muzakarah menegaskan bahawa ianya hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan berasaskan peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan setelah pengesahan atau pensabitan kematian diputuskan oleh mahkamah.

9.Muzakarah juga berpandangan bahawa dalam menghadapi suasana tragedi ini, pelaksanaan ibadah-ibadah seperti Solat Hajat, bacaan Yasin dan sebagainya bolehlah diteruskan oleh umat Islam.

10.Muzakarah juga memutuskan bahawa orang-orang Islam yang disabitkan kematiannya dalam tragedi MH370 ini adalah tergolong sebagai Syahid Akhirat berasaskan kepada hadis Nabi s.a.w. yang menyebutkan bahawa mati kerana tenggelam termasuk dalam salah satu kategori Syahid Akhirat.

Disediakan oleh:
DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
Setiausaha
Jawatankuasa Fatwa
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia

Disahkan oleh:
PROF. EMERITUS TAN SRI DATO’ DR. ABDUL SHUKOR BIN HJ. HUSIN
Pengerusi
Jawatankuasa Fatwa
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia
 

No comments:

Post a Comment