Saturday, June 30, 2012

Hukum Imam Tidak Membimbing Berdoa Selepas Solat.

Hukum Imam Tidak Membimbing Berdoa Selepas Solat.

Soalan:

Apakah benar berdoa secara berjemaah selepas solat fardhu itu bukan dari amalan Nabi, para Sahabat dan para imam mazhab yang empat?

Jawapan:


Setakat yang difahami, perselisihan yang berlaku di kalangan para ulamak hanyalah berkisar kepada amalan berzikir secara berjemaah (beramai-ramai) selepas solat-solat fardu. Pandangan terkuat, berzikir secara berjemaah itu adalah boleh dengan syarat:


1 - Dilakukan sekali-sekala khususnya dalam rangka mengajari makmum tentang kaedah berzikir selepas solat. Ia tidak tetap dilakukan sebagaimana amalan sebahagian besar umat Islam hari ini.


2 - Ia tidak mengganggu jemaah lain yang masih / sedang melakukan ibadah solat. Setahu saya, tiada khilaf di kalangan para ulamak akan haramnya mengeraskan bacaan zikir sehingga mendatangkan gangguan kepada orang yang sedang beribadah.


3 - Lafaz dan bilangan (kaifiyat / tatacara) berzikir itu hendaklah sabit secara sahih daripada Sunnah Nabi, bukannya kaifiyyat yang direka-reka tanpa sebarang dalil yang mendukunginya.


Adapun berdoa secara beramai-ramai dengan bimbingan imam dan tetap melakukannya setiap kali selesai solat, tidak diketahui adanya dalil atau fatwa para ulamak mazhab yang membolehkannya. Setakat ini tidak ada. al-Imam al-Nawawi rahimahullah menjelaskan di dalam kitabnya al-Majmu’ Syarah Muhadzdzab jilid 3, ms. 484-488:


وأما ما اعتاده الناس أو كثير منهم من تخصيص دعاء الأمام بصلاتي الصبح و العصر فلا أصل له


"Adapun yang biasa dilakukan oleh kebanyakan manusia dengan menugaskan imam untuk khusus (membimbing) doa pada solat Subuh dan Asar, maka hal itu tidak ada dasarnya (di dalam agama)."


Ketika Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah (728H) ditanya tentang golongan yang membantah imam kerana tidak berdoa selepas solat, beliau menjawab sebagaimana yang tersebut di dalam kitabnya Majmu’ al-Fatwa al-Kubra:


"Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah berdoa bersama makmum selepas solat fardhu seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang selesai menunaikan solat subuh dan asar. Hal itu baik. Sesiapa yang mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie menyukainya, maka tanggapan itu salah. Kenyataan dalam kitab-kitabnya menafikan hal itu. al-Imam Ahmad dan yang lain tidak menyukai perbuatan itu." - al-Majmu’ al-Fatwa al-Kubra 1/215.
~Mohd Hairi Nonchi 

No comments:

Post a Comment