Wednesday, August 29, 2012

Ancaman Berat Buat Penyebar Hadis Palsu !!!


 
ANCAMAN BERAT BUAT PARA PENYEBAR HADIS PALSU!
Nabi pun diancam oleh Allah jika berdusta atas nama agama? Bagaimana pula dengan pendusta agama dari kalangan para penyebar hadis palsu?

Firman Allah: "Dan kalaulah (Muhammad) mengatakan atas nama Kami sebarang kata-kata rekaan, sudah tentu Kami akan menyentapnya dengan kekuasaan Kami; kemudian sudah tentu Kamiakan memutuskan tali jantungnya." - Surah al-Haqqah, ayat 44-46.

Perhatikan, jika di dalam ayat tersebut Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjanjikan ancaman yang begitu keras ke atas Nabi dan Rasul-Nya yang mulia, Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam apabila baginda memperkatakan ke atas agama-Nya sesuatu yang bersifat dusta, maka bayangkan pula tahap ancaman yang bakal diberikan kepada mereka yang jauh lebih rendah kedudukannya berbanding Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang berbicara secara dusta ke atas nama Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Mendakwahi manusia kepada mengenal dan mempraktikkan hadis-hadis atau al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan salah satu amalan yang terpuji dan mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Malah, dalam banyak hadisnya yang sahih, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri amat memuji dan menjanjikan pahala yang begitu besar kepada mereka yang berusaha menghidupkan semula hadis atau sunnah-sunnahnya di akhir zaman yang penuh dengan pelbagai fitnah kesesatan dan pencemaran agama ini.

Akan tetapi di sebaliknya semua itu, suatu hal yang perlu kita perhatikan di dalam keghairahan mempraktik dan menyebarkan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kepada umat manusia adalah mengenai kedudukan (darjat) bagi setiap hadis yang kita amal dan sebarkan, apakah ianya benar-benar suatu yang diambil secara sah (sahih) daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam atau sebaliknya?

Bukanlah suatu hal yang memeranjatkan kita apabila dikatakan bahawa tidak semua yang kita dengari, kita pelajari, kita amalkan, kita ucapkan dan kita sebar-sebarkan iaitu sesuatu yang sering kita sebut-sebut sebagai "hadis" atau "sunnah" selama ini adalah bersumberkan daripada baginda shallallahu ‘alaihi wasallam.
 

No comments:

Post a Comment