Soalan:
ASSALAMUALAIKUM, yang berbahagia Ustaz Dr. Fadlan Mohd. Othman. Soalan saya adalah:
1. Adakah kita digalakkan menziarahi kubur pada 1 Syawal seperti yang telah dilakukan oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia dan seolah-olah menjadi budaya masyarakat Melayu?
Ahmad Syukri Naim Mohd. Tahir
Kampar, Perak.
Jawapan:
Berkenaan dengan menziarahi kubur pada 1 Syawal seperti yang dilakukan oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia dan juga serata dunia, maka jawapannya adalah seperti berikut. Asalnya hukum ziarah kubur adalah sunat. Rasulullah SAW telah bersabda,
”Dahulu saya pernah melarang anda semua daripada menziarahi kubur. Sesungguhnya telah diizinkan kepada Muhammad untuk menziarahi kubur ibunya. Maka ziarahlah kubur kerana ia mengingatkan anda semua tentang akhirat” (Hadis Sahih riwayat al-Imam al-Tirmizi. No. 1054).
Sebenarnya menziarahi kubur tidak mempunyai waktu-waktu khusus. Ia boleh dilakukan bila-bila masa sahaja. Sesetengah ulama mengatakan bahawa menziarahi kubur lebih afdal dilakukan pada hari Khamis atau Jumaat, akan tetapi tiada dalil sahih bagi pandangan ini.
Justeru, dapatlah disimpulkan bahawa menziarahi kubur pada hari raya mempunyai dua keadaan. Keadaan pertama ialah jika tujuannya adalah untuk mengingatkan kepada hari Akhirat atau memperingati orang yang telah mati, maka hukumnya adalah dibenarkan. Dibenarkan secara umum untuk lelaki, manakala untuk wanita adalah tidak digalakkan mengikut Jumhur ulama.
Keadaan kedua ialah jika tujuannya adalah untuk menimbulkan dan memperbaharui kesedihan dan mengulangi ucapan takziah maka hukumnya adalah makruh dan tidak digalakkan. Ini adalah kerana hari raya merupakan hari kegembiraan dan keriangan, maka adalah tidak wajar ditimbulkan kesedihan pada hari itu.
Sewajarnya ziarah pada hari raya dilakukan kepada orang yang masih hidup manakala orang yang telah meninggal dunia, maka boleh sahaja di ziarahi pada hari-hari yang lain berdasarkan keumuman hadis yang menggalakkan umat Islam menziarahi kubur bagi tujuan mendapat peringatan tentang kematian dan hari Akhirat.
Pada masa yang sama, sebahagian ulama menekankan bahawa perbuatan menziarahi kubur pada hari raya tidak pernah dilakukan secara khusus dan berterusan oleh Rasulullah SAW mahupun para sahabatnya r.a. Oleh itu, adalah wajar untuk umat Islam mengikuti jejak langkah mereka dalam melakukan amalan ibadah kerana pastinya contoh amalan mereka adalah uswah hasanah yang diredai dan dirahmati oleh Allah Taala.
Wallaahua’lam.
Siaran akhbar Mingguan, Ahad 26 Ogos 2012
http://ilmuanmalaysia.com/2012/08/28/soal-jawab-agama-siri-9-ziarah-kubur-pada-1-syawal/
No comments:
Post a Comment