Friday, August 24, 2012

Adakah bila berjumpa/membaca sesuatu hadith sahih maka kita boleh terus mengamalkannya ?


 
 
Soalan :

Adakah bila berjumpa/membaca sesuatu hadith sahih maka kita boleh terus mengamalkannya ?

Jawapan :

Para salafussoleh yang hebat dalam hadith sekalipun apabila berjumpa dengan hadith, mereka tidak terus mengambilnya sebagai hukum atau amalkan.

Antara perkataan mereka :
Abdullah bin Mubarak (seorang ulama' Hadis dari Khurasan) r.h.l. pernah berkata:

"Jika Allah s.w.t. tidak membantu saya dengan perantaraan Abu Hanifah dan Sufian (dua ulama' Fiqh), nescaya aku sama sahaja seperti orang awam (yang tidak memahami Hadis-hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam) ". Kitab "Tibyiidh As-Shohafiyyah" m/s 16

Abdulla bin Wahab r.h.l. (seorang ahli hadis juga sahabat Imam Malik r.h.l.) juga pernah berkata:

"saya telah berjumpa dengan tiga ratus enam puluh ulama', (bagi saya) tanpa Imam Malik dan Imam Laith r.h.l (ulama'-ulama' Fiqh), nescaya saya akan sesat dalam ilmu." Ibn Hibban, muqoddimah Kitab "Al-Majruhin"

Al-Qodhi 'Iyadh r.h.l. meriwayatkan, Ibn Wahab r.h.l. juga pernah berkata:

"Andai Allah s.w.t. tidak menyelamatkan saya dari kesesatan melalui Imam Malik dan Al-Laith r.h.l., nescaya saya akan sesat."
Beliau ditanya: "Mengapa begitu?" Beliau menjawab: " Saya telah menghafal banyak hadis-hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam), sehingga timbul pelbagai persoalan. Kemudian, saya pergi ke Imam Malik dan Al-Laith untuk bertanya mengenainya, maka mereka berkata kepada saya: "Hadis ini kamu amalkan dan ambil ia sebagai hujah, dan hadis yang ini pula kamu tinggalkan (tidak perlu menggunakannya). Kitab "Tartib Al-Madarik" jilid 2 m/s 427

Sufian bin 'Uyainah pernah berkata:

"Hadis itu menyesatkan kecuali kepada Al-Fuqoha' (ulama' ahli Fiqh). Kadangkala, suatu hadis itu tidak boleh dipegang secara zahir sahaja, malah ada ta'wilannya. Kadangkala, sesuatu Hadis itu pula ada maksud yang tersembunyi. Ada juga Hadis yang perlu ditinggalkan dengan sebab-sebab tertentu, yang mana, semua itu hanya diketahui oleh orang yang mahir dan berilmu luas khususnya dalam Fiqh (kefahaman). Imam ibn Abi Zaid Al-Qairawani, "Al-Jami'" m/s 118

Imam Al-Kauthari r.h.l. berkata di dalam kitab Al-Intiqa' karangan Ibn Abdil Bar, telah berkata Abdullah bin Wahab (dari sanad Ibn 'Asakir):

"Jika tiada Imam Malik bin Anas dan Imam Al-Laith Sa'ad, nescaya saya akan binasa. Dulu, saya menyangka setiap yang datang dari Rasulullah (sallallahu'alaihi wasallam) (As-Sunnah dan Al-Hadis), perlu diamalkan".

Maksud kesesatan dalam perkataan beliau ialah: percanggahan dengan maksud Hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam). Kemudian, Imam Al-Kauthari mengulas:

"Kesesatan yang dimaksudkan sepertimana berlaku pada kebanyakan manusia yang jauh dari ilmu Fiqh dan tidak dapat membezakan tentang hadis yang diamalkan dan selainnya. Kitab "Al-Intiqa' fi Fadhail Al-A'immah Ath-Thalathah Al-Fuqoha'" m/s 27-28

Ibn Rusyd r.h.l. pernah ditanya tentang kata-kata:
"
Hadis itu menyesatkan kecuali bagi ahli Fiqh". Beliau ditanya lagi: "Bukankah seorang ahli Fiqh itu juga perlu tahu mengenai Hadis terlebih dahulu.?!" Beliau menjawab: "Kata-kata itu bukanlah dari Rasulullah (sallallahu'alaihi wasallam), ia merupakan kata-kata Ibn 'Uyainah r.h.l. dan ahli-ahli Fiqh yang lain. Maksud kata-kata itu tepat, kerana kadangkala, sesuatu hadis itu diriwayatkan dalam sesuatu keadaaan yang khusus, tetapi maknanya umum, begitu juga sebaliknya. 
Ada juga Hadis yang Nasikh dan Hadis yang Mansukh (tidak digunakan lagi).
 Kadangkala pula, ada hadis yang secara zahirnya seolah-olah menyerupakan Allah dengan makhluk (Tasybih). Ada juga hadis yang maksudnya hanya diketahui oleh para ahli Fiqh sahaja.
 Barangsiapa yang hanya mengumpul hadis tetapi tidak memahaminya tidak dapat membezakan antara hadis yang maksudnya umum atau khusus. 
Oleh kerana itu, ahli Fiqh (Faqih) itu bukanlah orang yang sekadar mengetahui tentang Hadis-hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam) sahaja, bahkan memahaminya secara mendalam. Jika seseorang itu tdak mampu memahami secara mendalam dalam masalah hadis mahupun Fiqh, maka dia bukanlah seorang ahli Fiqh (Faqih), walaupun dia mengumpul banyak Hadis-hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam). Inilah sebenarnya maksud kata-kata Sufian bin 'Uyainah. Abu 'Abbas Al-Wansyarishi "Al-Mi'yar Al-Mu'rab" jilid 12 m/s 314

Oleh itu, sesuatu hadith walaupun ia sahih sekalipun tidak boleh terus diamalkan tanpa petunjuk dari para ulamak yang alim mengenainya. Amat merbahaya bagi orang awam yang jahil dan berani mengeluarkan hukum hanya dengan menggunakan hadith tanpa disiplin ilmu yang tinggi. Ia akan sesat dan menyesatkan orang lain.

WaLlahua'lam
~
Zaim Alias


No comments:

Post a Comment