Ini
adalah salah buku yang memiliki perbahasan tuntas tentang dua buah
kelompok sesat yang lahir dalam sejarah Islam. Iaitu kelompok Khawarij
dan Syi'ah. Pada fasa pertama buku ini, penulis berusaha keras dengan
sumber-sumber yang autentik dan kredibel menjelaskan sekitar latar
belakang, sejarah, bahaya, dan karektor-karektor utama dua kelompok
sesat ini terbesar ini.
Antaranya,
penulis bahaskan dan bentangkan sejarah dan perkembangan kemunculan
firqah al-Khawarij ini yang merupakan antara kelompok sesat ahli bid'ah
yang paling pertama dan awal sekali muncul dalam sejarah perkembangan
Islam. Dari firqah Khawarij inilah kemudian munculnya firqah-firqah
lainnya termasuk Syi'ah yang turut sama penulis bahaskan dalam buku ini.
Antara lain yang penulis
bahaskan dalam skop khawarij adalah tentang hadis-hadis khusus dan umum
tentang khawarij. Di mana Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam sendiri
telah mengisyatakan akan munculnya kelompok atau firqah sesat ini.
Kemudian penulis bahaskan sekitar kemunculan khawarij secara
terang-terangan di zaman 'Ali dan perdebatan 'Abdullah Ibn 'Abbas dengan
kelompok tersebut.
Penulis
juga turut mengemukakan dialog-dialog yang berlaku di antara khalifah
'Ali B. Abu Thalib dengan kelompok khawarij di masanya sehingga
tercetusnya peperangan, pemberontakan, dan huru-hara. Kemudian
dijelaskan pula sikap umat Islam, para ulama (para sahabat), dan
khalifah 'Ali sendiri terhadap mereka pada ketika itu.
Kemudian,
penulis jelaskan pula sifat-sifat dan karektor-karektor utama kelompok
khawarij yang antaranya suka berlebih-lebihan dalam agama, ekstreme,
jahil terhadap agama, memandai-mandai membuat tafsiran terhadap
al-Qur'an, mengabaikan tafsiran para sahabat Nabi terhadap al-Qur'an,
meninggalkan ketaatan terhadap pemerintah, mengkafirkan pelaku dosa,
memerangi dan menghalalkan darah kaum muslimin terutamanya darah
pemerintah, suka membuat provokasi dan kekacauan, bermudah-mudah dalam
menyesatkan umat Islam, berburuk sangka, bersikap keras terhadap umat
Islam dan bersikap lunak terhadap para penyembah berhala.
Semua
ini penulis bahaskan bersama-sama dengan dalil dan bukti-bukti sejarah.
Kemudian penulis kemukakan bantahan-bantahan ilmiyah terhadapnya. [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]
Setelah
itu, penulis kupas dan bongkar pula gerakan-gerakan khawarij yang
berlaku di zaman moden. Yang mana mereka ini terbahagi kepada banyak
kumpulan tetapi dengan ideologi dan fahaman yang saling tidak tumpah
dengan karektor nenek-moyang mereka. Maka, ikutilah perbahasan demi
perbahasan yang penuh mendebarkan lagi mengejutkan tentang sikap sebenar
khawarij ini. Kerana pemikrian mereka memang sedang banyak tersebar di
sekeliling kita pada hari ini.
Sepintas lalu tentang khawarij dan salah satu karektor utamanya
Mengusik
kehormatan dan kredibiliti pemerintah dengan cara memaki-hamun,
mencela, menyebarkan aibnya, dan mengkritik mereka secara terbuka adalah
satu bentuk kesalahan yang amat besar di sisi Islam. Bahkan ia termasuk
benih-benih pemberontakkan terhadap pemerintah yang menjadi sebab
rosaknya agama, tergugatnya keamanan, dan menghilangnya kemaslahatan
dunia sekaligus.
Perbuatan
mengecam dan memburuk-burukkan pemerintah adalah satu bentuk bid’ah
yang sengaja diada-adakan dalam perlaksanaan amar ma’ruf nahi mungkar.
Ia mula dicipta oleh seorang tokoh Yahudi bernama ‘Abdullah B. Saba’
yang berpura-pura memeluk Islam ketika zaman pemerintahan Khalifah
‘Utsman B. ‘Affan radhiyallahu ‘anhu. Disebabkan fitnah yang direka dan
disebarkan oleh ‘Abdullah B. Saba’ inilah akhirnya sejarah Islam menjadi
kacau-bilau sehingga terbunuhnya ‘Utsman dan ‘Ali.
Ideologi
yang beliau cetuskan tersebut kemudian tersebar hingga meracuni dan
memperdaya sebahagian kelompok umat Islam ketika itu. Keadaan ini
mengakibatkan munculnya firqah-firqah sesat seperti Khawarij dan syi’ah,
seterusnya dari Khawarij lahir pula Murji’ah, Qadariyah, dan
Muktazilah.
Lebih
awal dari itu, pemikiran mencela pemimpin secara terbuka ini juga telah
wujud sejak hayat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lagi. Bahkan
celaan tersebut diungkapkan terus kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wa Sallam tanpa segan-silu di hadapan umum. Orang yang mencela
Rasulullah tersebut dikenali sebagai Dzul Khuwaishirah sebagaimana kata
Imam Ibnul Jauzi rahimahullah.
Beliau
menuntut serta menggertak Rasulullah supaya berlaku adil dan bertaqwa
kepada Allah kerana pada anggapannya Rasulullah telah berlaku khianat
dalam suatu proses pembahagian harta ghanimah ketika itu.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada ketika itu pun marah dengan celaannya lalu mengatakan:
“Celakalah
engkau, siapa lagi yang dapat berlaku adil jika aku dikatakan tidak
adil? Benar-benar celaka dan rugi jika aku tidak dapat berlaku adil.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 3610)
Kemudian orang tersebut pun berlalu pergi.
Dalam riwayat yang lain setelah orang ini pergi, Rasulullah pun bersabda (kepada para sahabatnya yang hadir ketika itu):
“Sesungguhnya
daripada orang ini akan muncul sekumpulan manusia yang hebat membaca
al-Qur’an tetapi bacaannya tidak melepasi kerongkongan. Mereka terlepas
dari batas-batas Islam sebagaimana anak panah menembusi tubuh buruannya.
Mereka membunuh ahlul Islam dan membiarkan hidup ahlul Autsan
(penyembah berhala). Jika aku sempat menemui mereka, nescaya akan aku
perangi (bunuh) mereka sebagaimana dibunuhnya kaum ‘Aad.” (Hadis Riwayat
al-Bukhari, no. 7432)
Ketika
membahaskan hadis-hadis ini dan yang berkaitan, Imam Ibnul Jauzi
rahimahullah (Wafat: 597H) pun mengatakan, “Dzul Khuwaishirah adalah
tokoh khawarij yang pertama sekali muncul dalam sejarah Islam. Ia
menganggap dirinya dalam kebenaran berdasarkan sangkaannya semata-mata.
Dia
tidak memahami bahawa pendapat Rasulullah-lah yang perlu diutamakan dan
didahulukan berbanding segala pandangan yang lain. Kemudian daripada
Dzul Khuwaishirah ini lahir pula kelompok yang memisahkan diri dari
ketaatan terhadap pemerintahan ‘Ali radhiyallahu ‘anhu.” (Talbis Iblis,
m/s. 81-82 – Maktabah Syamilah)
Fitnah-fitnah
pemisahan dari ketaatan terhadap pemerintahan ‘Ali tersebut pun
akhirnya mengobarkan api kebencian dan pemberontakan. Termasuk di
dalamnya adalah fitnah perang Jamal dan Siffin yang mengakibatkan para
sahabat bertembung sesama sendiri akibat diapi-apikan oleh kelompok
ketiga berideologikan khawarij.
Pada
sela-sela masa seterusnya muncullah tokoh-tokoh khawarij lainnya
mewarisi ideologi dua tokoh utama mereka ini (Dzul Khuwaishirah dan
‘Abdullah B. Saba’). Antaranya adalah seperti ‘Abdullah B. Muljam yang
telah membunuh ‘Ali radhiyallahu ‘anhu ketika sedang keluar untuk solat
Subuh dengan pedang yang disapu racun. Manakala sekutu ‘Abdullah B.
Muljam iaitu al-Barak B. ‘Abdullah dan Amr B. Bakar at-Tamimi yang
merancang membunuh Mu’awiyah B. Abu Sufyan dan Amr B. Al-‘Ash. ‘Abdullah
B. Muljam adalah seorang yang kuat beribadah dan hebat bacaan
al-Qur’annya, namun sayang manhaj berfikirnya menyimpang dari
methodologi para sahabat dalam memahami nash-nash agama.
Di
zaman al-Hasan B. ‘Ali radhiyallahu ‘anhuma, ketika beliau hendak
melaksanakan perdamaian dan menyerahkan pemerintahan kepada Mu’awiyah B.
Abu Sufyan, muncul pula tokoh bernama al-Jarrah B. Sinan. Beliau tampil
mencela al-Hasan dan Ayahnya ‘Ali radhiyallahu ‘anhu. Tanpa
teragak-agak, al-Hasan pun membunuhnya.
Setelah
fasa pemerintahan ‘Ali hingga Mu’awiyah B. Abu Sufyan, muncul pula nama
Mirdas B. Udayyah dan Nafi’ B. Al-Azraq. Mirdas B. Udayyah adalah tokoh
yang lahir dari serpihan pemberontak di zaman ‘Ali radhiyallahu ‘anhu
yang kemudiannya memimpin pemberontakkan menentang pemerintahan Yazid B.
Mu’awiyah. Di antara sikap beliau adalah suka mencari-cari kesalahan
pemimpin dan mencanangnya untuk memburuk-burukkan.
Ziyad B. Kusaib menceritakan:
Pada
suatu masa pernah aku berada tepat di bawah mimbar Ibnu ‘Amir
bersama-sama Abi Bakrah. Ketika itu Ibnu ‘Amir sedang memberi khutbah
dengan mengenakan pakaian yang nipis (jarang). Lalu Abu Bilal berteriak,
“Lihatlah pemimpin kita ini, dia mengenakan pakaian orang fasiq!”
Maka,
Abi Bakrah pun berkata, “Diamlah, bahawasanya aku telah mendengar
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang
menghina penguasa Allah di muka bumi, nescaya Allah akan
menghinakannya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Kitab al-Fitan, no. 2224.
Al-Iraqi berkata, isnadnya sahih dan at-Tirmidzi menghasankannya.
Al-Albani menilai sahih dalam Shahih Sunan at-Tirmidzi)
Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H) berkata:
“Abu
Bilal dalam hadis tersebut adalah Mirdas B. Udayyah, seorang yang
berfahaman Khawarij. Disebabkan kebodohannya, beliau pun menganggap
pakaian nipis bagi kaum lelaki sebagai pakaian orang fasiq.”
(adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 3/20 dan 14/508)
Kisah-kisah
berkaitan kekacauan akibat fitnah ideologi khawarij ini tidak berhenti
setakat itu. Bahkan ia terus berlangsung seiring dengan beredarnya
zaman. Termasuklah zaman kita hari ini.
Di
antara syi’ar utama kelompok khawarij ini adalah mereka sentiasa
berusaha mengambil kesempatan di atas kelemahan para pemerintah umat
Islam bagi tujuan memisahkan diri dari ketaatan terhadap kepimpinannya
dan berhajat mengambil alih tampuk kuasa tersebut dengan apa jua cara
walapun jelas dilarang oleh agama.
Mereka
menganggap perbuatan memisahkan diri dari ketaatan terhadap pemerintah
sebagai salah satu bentuk sarana amar ma’ruf nahi mungkar dan termasuk
amalan jihad yang mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Selain
itu, mereka juga dikenali memiliki keyakinan (fahaman) bahawa sesiapa
sahaja yang melakukan dosa besar adalah kafir. Walaupun adakalanya
penetapan dosa tersebut hanya pada andaian mereka semata-mata. Mereka
juga terkenal dengan sikap terburu-buru dalam menyesat dan mengkafirkan
umat Islam atas alasan dosa besar.
Imam al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H) berkata:
“Dan
sesiapa yang keluar dari ketaatan terhadap para pemerintah umat Islam
maka mereka termasuk golongan khawarij. Mereka bertindak
memecah-belahkan perpaduan umat Islam dan menentang sunnah. Sekiranya
mereka mati, matinya adalah mati jahiliyyah. Tidak boleh mengangkat
senjata memberontak (atau memerangi) pemerintah dan tidak boleh keluar
dari ketaatan terhadapnya walaupun pemimpin tersebut seorang yang
jahat.” (Syarhus Sunnah, no. 33)
Para
ulama ahli sunnah menjelaskan pemberontakan terhadap pemerintah yang
paling ringan adalah memusuhi dengan hati, kemudian celaan atau hasutan
kebencian dengan lisan, dan yang paling berat adalah dengan tangan dan
senjata. Menurut Imam asy-Syahrastani rahimahullah (Wafat: 548H) dalam
kitabnya al-Milal wa an-Nihal, pemerintah dalam persoalan ini tidak
terhad kepada zaman ketika Khulafa’ al-Rasyidin atau tabi’in
semata-mata, tetapi juga termasuk para pemerintah umat Islam di setiap
zaman. Sama ada pemerintah yang adil, zalim, mahupun yang fasiq. Ini
sebagaimana kata beliau:
“Al-Khawarij,
al-Murji’ah, dan al-Wa’idiyyah digunakan untuk menyebut semua kelompok
masyarakat yang keluar dari ketaatan terhadap pemerintah yang sah dan
diperakui oleh jama’ah (majoriti) umat Islam. Istilah khawarij digunakan
untuk menyebut kelompok masyarakat yang keluar dari ketaatan dan tidak
mengakui keabsahan pemerintah yang dilantik sama ada pada zaman para
sahabat, khulafa’ur Rasyidin, tabi’in, atau pada masa setelah itu di
setiap zaman.” (al-Milal wa an-Nihal, 1/113 – Daar al-Ma’rifah)
Imam
al-Ajurri rahimahullah (Wafat: 360H) menegaskan bahawa khawarij adalah
kaum yang jahat lagi derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka dikenali
rajin beribadah seperti solat malam, berpuasa, dan membaca al-Qur’an,
tetapi kebaikan mereka ini sedikitpun tidak memberi manfaat. Kerana
mereka memahami nash-nash agama dengan kaedah dan tafsiran yang
menyeleweng lagi mengikuti hawa nafsu. Kata beliau:
“Para
ulama sepakat menyatakan bahawa khawarij adalah suatu kaum yang jahat
dan derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya walaupun mereka solat, berpuasa,
dan bersungguh-sungguh dalam ibadah. Tetapi kebaikan yang mereka
usahakan itu tidaklah memberi sebarang manfaat sedikitpun untuk mereka
kerana mereka telah menyelewengkan makna ayat-ayat al-Qur’an bersesuaian
dengan hawa nafsunya.
Mereka
juga menonjolkan amalan amar ma’ruf nahi mungkar, tetapi ia tidak
bermanfaat bagi mereka. Kerana mereka gemar menafsirkan al-Qur’an dengan
hawa nafsu dan menipu umat Islam. Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla
telah memberi peringatan kepada kita dari bahaya dan kesesatan mereka.
Begitu juga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, para khulafa
al-Rasyidin, para sahabat radhiyallahu ‘anhum, dan orang-orang yang
mengikuti mereka dengan baik turut mengingatkan.
Khawarij
ini dan yang sealiran dengannya adalah orang-orang yang jahat, najis,
dan kotor. Mereka saling mewarisi fahaman sesat ini sejak dahulu
sehinggalah sekarang. Mereka memisahkan diri dari para pemerintah umat
Islam, sehingga ada dari mereka yang menghalalkan tindakan membunuh umat
Islam.” (al-Ajurri, asy-Syari’ah, 1/22)
Kemudian beliau memberikan satu peringatan tegas untuk kita semua dengan katanya:
“Sungguh-sungguh
aku telah menyebutkan peringatan (tahdzir) terhadap mazhab khawarij.
Yang mana pada peringatan tersebut mengandungi khabar bagi orang yang
dipelihara oleh Allah ‘Azza wa Jalla yang maha Mulia dari mazhab
al-khawarij, dan supaya tidak berpegang dengan mazhab mereka, dan
hendaklah bersabar dengan kezaliman para pemimpin, juga dengan
ketidak-adilan pemimpin, dan tidak keluar dari ketaatan kepada mereka
dengan senjata (pedang).
Kita
berharap kepada Allah yang maha Agung supaya menghilangkan kezaliman
darinya, juga dari semua kaum muslimin, dan mendoakan para pemimpin
dengan kebaikan. Juga bersama-sama dengan mereka dalam melaksanakan
haji, berjihad menentang musuh umat Islam, solat juma’at dan solat dua
hari raya bersama mereka. Sesiapa yang bersifat seperti ini bererti dia
berada di atas jalan yang lurus, insyaAllah.” (al-Ajurri, asy-Syari’ah,
1/37)
Bibit-bibit
pemisahan diri dari ketaatan terhadap pemerintah biasanya bermula
dengan perasaan iri dan dengki di dalam hati. Kemudian dengan provokasi
kebencian melalui lisan mahupun tulisan.
Ini
akan mengakibatkan fitnah yang lebih besar lagi seperti perselisihan,
pertengakaran, kebencian, kemarahan, dan perpecahan. Sehingga akhirnya
akan mengakibatkan sikap anti pemerintah dan mungkin pergolakkan di
kalangan rakyat untuk menuntut revolusi. Akhirnya mungkin akan membawa
kepada pertembungan di antara rakyat dengan pemerintah.
Fenomena
seperti ini bukan sahaja berlaku pada zaman awal Islam, tetapi terus
berlarutan di setiap zaman. Termasuk yang terbaru sebagaimana sedang
berlaku di Timur tengah seperti di Tunisia, Mesir, Libya, Bahrain, dan
Yaman sekarang. Kesudahan dari perkara ini amatlah buruk, iaitu
hilangnya keamanan, rosaknya harta benda, hilangnya jiwa (pertumpahan
darah), merugikan masa, dan bahkan hingga hilangnya kedaulatan negara.
Oleh
itu, berhati-hatilah dalam bersikap terhadap para pemimpin. Hendaklah
kita melazimi manhaj ilmu, sabar, dan bertindak di atas maslahah serta
kaedah yang benar. Tidak mengikuti hawa nafsu, emosi, dan kebencian
sehingga mengikuti jejak langkah kaum sesat Khawarij. Yang kemudian dari
fahaman khawarij tersebut menyebabkan munculnya pelbagai bentuk
kesesatan dan penyimpangan lainnya. [Hak cipta Atsar Enterprise,
www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa
kebenaran]
No comments:
Post a Comment