Tuesday, May 15, 2012

Fasa Awal Mekah & Madinah sebagai Nadi Ekonomi Islam




Mukadimah- sejarah awal ekonomi Arab

Institusi politik, sifat kenegerian, mahu pun hubungan dengan kuasa luar telah banyak memberi kesan kepada sejarah semenanjung Arab. Penduduk asli di tanah Arab berkongsi perbezaan dalam pemilikan ekonomi, penstrukturan sosial, pengalaman politik dan budaya tabiat hidup. Perdagangan dan pasaran lah yang berperanan sebagai penghubung kepada perbezaan dalam masyarakat Arab yang telah sedia ada itu. Mekah contohnya, sebelum datangnya Islam, menjadi terkenal kerana berperanan sebagai pusat perdagangan dan tempat tumpuan beribadah.
Penglibatan kumpulan-kumpulan penduduk dalam kegiatan perdagangan di Mekah memberi gambaran bahawa garis pemisah kepada struktur sosial ketika itu sama ada penduduk tetap, penduduk nomad atau pensyair ialah pada kedudukan taraf pencarian sosial(sebagai hamba contohnya) serta gaya hidup masyarakat ketika itu.
Komponen utama perdagangan dan pasaran  ketika itu ialah karavan(kendati). Ia digunakan sebelum kedatangan Islam lagi dan  adalah komponen asas yang penting kepada ekonomi Arab ketika itu dimana ia melibatkan dan menemukan kabilah-kabilah Arab.

Karavan luar yang singgah di tempat perdagangan Arab membawa barang dagangan serta rempah ratus untuk berurus niaga dan kemudian keluar ke destinasi dagang lain dengan membawa produk-produk tempatan Arab bersama mereka sebagai barang dagangan pula.

Menerusi ini, mereka yang terbabit dalam pasaran di Arab telah mewujudkan pertukaran dagangan melibatkan elemen monetary. Pengaruh perdagangan serta pemajuan pasaran menjadikan Mekah dan kemudian Madinah menjadi terkenal sebagai pusat perkembangan serta pentadbiran  agama Islam.

Dalam sistem kabilah, yang dianggap ketua ialah yang menguasai kekayaan termasuk kawalan ke atas tanah. Mereka bukan sahaja menentukan pengusaha tanah dengan aktiviti usaha tanah bahkan mereka menguasai hasil keluaran tanah serta lebihan hasil keluaran.

Ketua-ketua kabilah ini terdiri dari golongan elit yang mempunyai pengaruh politik telah juga membentuk gabungan kesatuan antara mereka bagi menjaga kepentingan masing-masing. Mereka memastikan perjalanan karavan dagang mereka selamat yang seterusnya mendatangkan hasil lumayan dari dagangan produk-produk mereka.

Apabila mereka berjaya menjaga keselamatan karavan dan produk mereka terjamin dagangannya, secara langsung kabilah-kabilah ini menguasai pasaran serta pertukaran dagangan.Hasilnya ialah kabilah-kabilah itu memonopoli ekonomi akhirnya berlakulah penguasaan kekayaan serta kuasa politik.


Islam dan solusi perdagangan dan pasaran

Keadaan penguasaan kabilah dan corak perdagangan telah menimbulkan krisis di kalangan masyarakat Arab. Antaranya ialah krisis autoriti, ketidak seimbangan pendapatan, identity social dan perpaduan masyarakat.

Walaupun situasi ini timbul secara kuasi-independent, ia saling berkait-rapat. Sehinggakan keadaan ini mewujudkan kontek untuk penerimaan kepada kepercayaan baru, yang mengenengahkan dan menyelesaikan krisis yang dihadapi melalui kepimpinan yang berprinsip, rukun yang 5 dan 1 ummah;Islam.

Berlatar belakang krisis ekonomi itu di mana terhasilnya juga pasaran dan aktiviti perdagangan, terbukti corak sosio-politik kabilah tidak dapat mengatasi keperluan serta hak masyarakat ketika itu yang sedang berada di tengah-tengah kepesatan dan perkembangan pasaran yang tidak diduga.

Islam datang dengan jalan penyelesaian yang komprehensif kepada masalah sosial dan politik masyarakat Arab dan terpaksa berdepan dengan masyarakat pedagang. Kedatangan Nabi Muhamad saw sebagai rahmat Allah membawa jalan penyelesaian kepada setiap masalah yang dihadapi oleh penduduk Arab dan pedagang ketika itu.

Autoriti: Allah dan syahadah. Ketidak seimbangan pendapatan: zakat dan sedekah. Identiti sosial serta perpaduan masyarakat: solat, puasa, haji dan ummah. Islam menganjal dan dinamik dalam masyarakat pedagang kerana solusi yang diberikan memenuhi kehendak masyarakat pedagang yang aktif.

Nabi saw menyampaikan tentang keinginan serta keperluan mereka yang tiada saluran modal dagang; mengambil kira masalah riba yang berleluasa ketika itu menjadikan Islam mendapat perhatian dari masyarakat dagang. Perbezaan struktur masyarakat dirapatkan melalui zakat dan solat yang berperanan menjalinkan perhubungan erat antara kelas sosial.

Walaupun ada pedagang yang telah berjaya serta memperoleh manfaat dari apa yang dibawa oleh Nabi, mereka sebagai satu organisasi telah juga berjaya mengurus dan mengagih sumber, peluang yang baru malah membebaskan yang dibeban dan ditindas dalam struktur sosial dan ekonomi. Kesan terus daripada dakwah Islam ialah berlaku reorganisasi sosio-ekonomi.

Kesan lain dari dakwah Islam ke atas ekonomi Arab ketika itu adalah ke atas pedagang yang telah berperanan memajukan pertukaran dagang serta memperoleh keuntungan daripadanya tetapi mengalami pergolakan akibat dari krisis ekonomi itu tadi.

Mereka memilih jalan yang disampaikan Nabi saw bagi mengatasi krisis yang dihadapi dengan jayanya. Nabi memberi penghormatan serta pengiktirafan ke atas kepintaran mereka dalam urusan berdagang serta menikmati autoriti politik malah mereka berterusan berperanan besar mempengaruhi serta menjamin institusi pasaran benar-benar mengikut tuntutan Islam.

Kumpulan pedagang tersebut telah memperoleh manfaat dari larangan yang telah diwahyukan. Mereka memelihara serta menjamin kebajikan ekonomi yang suatu masa dahulu sebelum kedatangan Islam begitu sempit dan bersifat menindas.

Dengan wahyu yang diberi dengan kesan yang efektif, Nabi dan para Sahabat telah berjaya mengislamisasikan pasaran di waktu itu dan sehingga ke hari ini.


Madinah Al-Munawarah- pusat ekonomi Islam pertama

Dengan mengambil kira pengeluaran dan perdagangan sebagai elemen utama kearah pembangunan penempatan, transformasi yang dilakukan ke atas Madinah membuktikan ruang pasaran di Madinah banyak dipengaruhi dari hikmah penghijrahan Nabi dan para Sahabat ke Madinah.

Pada awalnya, penduduk Islam berhadapan dengan serba kesulitan dan kekurangan kerana ruang urus niaga yakni pasar kebanyakannya dikuasai oleh kaum Yahudi
.
Mereka, kaum yang kufur dan engkar yakni Yahudi, banyak menjalankan urusan yang bertentangan dengan seruan agama. Kaum muslimin mengambil langkah mengasingkan diri dari ruang pasar Yahudi dan mengambil langkah membuka pasar baru yang dikuasai sepenuhnya oleh penduduk Islam.

Mereka mengamalkan konsep pasaran terbuka dalam semua aktiviti urus niaga pasar berkenaan.
Kaum Muslim terpaksa melalui pelbagai halangan serta kesusahan ketika berhadapan dengan pasaran dikuasai Yahudi. Nabi saw sendiri pernah dicemuh oleh penghuni pasar Yahudi dan penguasaan mereka berakhir dengan pengusiran Bani Qainuqa’ oleh Nabi saw. Pengusiran itu berlaku akibat dari pembunuhan seorang wanita kerana perselisihan dengan seorang tukang emas dari Bani Qainuqa’.

Nabi saw memilih tapak baru bersebelahan masjid yang dibina awal-awal lagi, bagi menempatkan pasar baru sebagai pusat kegiatan ekonomi orang Islam di Madinah. Penempatan pasar baru mengambil kira pengurusan ruang pasar serta membukanya kepada semua penduduk di Madinah.

Lokasi Madinah memberi kelebihan kepada potensi dagang pasar itu kerana jalan masuk ke Madinah terletak di tengah-tengah perjalanan pedagang dari arah mana pun mereka datang. Dengan lokasi yang strategik, kaya dengan kepelbagaian bekalan komoditi dan reputasi Madinah sebagai bandaraya yang bersih menjadikan ia tarikan semua
.
Pasar Yahudi lama kelamaan hilang kedudukannya sebagai pusat perdagangan begitu juga penduduk Yahudi semakin kurang kuasa mereka ke atas ekonomi Madinah. Ini adalah kemenangan psikologi kepada penduduk Islam, justru melebarkan permusuhan yang telah sedia ada.
Pasar yang dibina cukup besar untuk menampung segala aktiviti urus niaga termasuk tukang emas, peniaga kulit, peniaga minyak wangi dan gaharu, binatang ternakan, pakaian, alatan perang dan banyak lagi keperluan.
Pasar Madinah adalah visi Nabi saw kerana Madinah ketika itu sedang membangun dengan pesat sekali dalam semua sektor dan kependudukan semakin bertambah dengan pelbagai kabilah dan komuniti yang turut berkembang.

Madinah menjadi tumpuan dengan rahmat serta keberkatan yang Allah limpah ke atasnya.
Benarlah firman Allah yang bermaksud: “..Jika penduduk satu negeri beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan keberkatan dari langit dan bumi.” (Al A’raf: 96)
Ustaz Ahmad Fauzan bin Yahaya, Al-Madinah International University.
Penulis adalah lulusan sarjana hadis dari Universiti Islam Antarabangsa.
siaran akhbar 12 Mei 2012.
sumber:http://ilmuanmalaysia.com/2012/05/15/fasa-awal-mekah-madinah-sebagai-nadi-ekonomi-islam/

No comments:

Post a Comment