Dong Zong 'tamak' - SU Agung BN
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melabel pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) pendidikan Cina, Dong Zong yang mendapat sokongan kuat Pakatan Rakyat (PR) sebagai "tamak."
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung jemputan NGO itu kepada Umno dan semua parti politik supaya bersama-sama membantah pelan pembangunan pendidikan negara secara besar-besaran 25 November ini.
"Dong Zong ni, apa yang kita buat ini salah? Saya nak beritahu Dong Zong ini supaya mereka mengingat kembali tentang sejarah. Pada 1980 di mana tahap sekolah-sekolah Cina. Tanya dialah sendiri.
"Yang membangunkan sekolah-sekolah Cina, memperbaiki tahap sekolah-sekolah Cina dengan baik adalah MCA melalui BN.
"Dan kita telah membangunkannya, tapi dia... ini kadangkala mereka ini, bila saya sebut nanti orang marah... sebab kerana ketamakan mereka... ini jadi masalah," katanya pada sidang media semalam.
‘Jangan tunduk tuntutan Dong Zong’ - Ridhuan Tee
SHAH ALAM – Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) disifatkan amat biadab dan begitu berani mencabar kerajaan dengan pelbagai tuntutan yang tidak masuk akal dan melampau.
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, walaupun pergerakan komunis sudah tiada, pemikiran mereka yang dipanggil ultra kiasu ini masih tebal.
Menurutnya, kelompok ini akan menuntut sebanyak-banyaknya walaupun menyedari kerajaan tidak akan tunduk, namun akhirnya pemberian sedikit oleh kerajaan itulah kemenangan terbesar buat mereka.
“Kerajaan patut sudah tahu strategi ini. Jangan takut dengan ugutan-ugutan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang semakin dekat. Biar kalah tetapi bermaruah, daripada menang tetapi tergadai.
“Jangan terlalu harap undi daripada kelompok ini hingga maruah tergadai. Pentingkan dahulu agenda kebangsaan. Jika Kementerian Pelajaran tunduk kepada tuntutan ini, saya tidak tahu hendak kata apa lagi,” katanya.
Katanya, Dong Zong langsung tidak pernah risau sebahagian produk keluaran sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang langsung tidak menguasai dan berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan.
“Jika mereka benar-benar ikhlas sudah tentu agenda kebangsaan iaitu bahasa Melayu dibincangkan atau dibawa sekali. Ini tidak, semuanya mesti Cina, Cina dan Cina.
“Malah mereka ini menutup kedua belah mata. Masalah yang dihadapi oleh Kementerian Pelajaran langsung tidak mahu diambil tahu. Mereka hanya tahu hak mereka mesti dipenuhi,” katanya.
Mohd Ridhuan berkata, kerajaan perlu tahu sebanyak mana pun pemberian kepada kelompok ini, ultra kiasu tidak akan mengundi kerajaan.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Ahmad Atory Hussain berkata, kekurangan guru di SJKC kerana kesilapan mereka sendiri yang tidak mengembangkannya.
Katanya, kerajaan sepatutnya tiada masalah menambah guru-guru di SJKC namun tuntutan yang dibuat Dong Zong amat keterlaluan.
“Walaupun tuntutan mereka melampau, namun secara perlahan-lahan kerajaan memenuhinya juga,” katanya.
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Ahmad Sauffiyan Abu Hasan pula berkata, kerajaan seharusnya menimbang tuntutan Dong Zong ini secara terperinci demi manfaat bersama.
“Saya memahami aspirasi Dong Zong ini, mereka berhak menuntut pelbagai perkara daripada kerajaan, tetapi tuntutan tersebut haruslah bersyarat,” katanya.
Jangan hancurkan masa depan negara- Ridhuan Tee
Lanjutan artikel saya minggu lalu, “Bahaya tuntutan ultra kiasu”, berikutan perhimpunan bantahan mengenai masalah kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), saya menerima banyak emel, terutama kalangan guru-guru bukan Cina, termasuk guru Cina (Muslim) yang mengajar di sana. Mereka amat tidak selesa dan tidak berpuas hati dengan tindakan ultra kiasu itu.
Salah seorang daripadanya, Anuar Koh (Cina Muslim) yang mengajar di SJKC, amat bimbang mengenai usul ekstrem yang dikemukakan dalam perhimpunan tersebut. Antaranya, menggesa Kementerian Pelajaran menarik balik penempatan semua guru yang tidak berkelayakan Bahasa Cina, termasuk guru-guru Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang ditempatkan ke SJKC. Mereka juga mendesak Kementerian Pelajaran menempatkan semula guru-guru berkelayakan Bahasa Cina ke SJKC yang dipindahkan sebelum ini.
Ini adalah strategi licik ultra kiasu untuk menjadikan SJKC sarang orang Cina, tanpa ada bangsa lain, seolah-olah berada di China. Amalan selama ini, guru-guru bukan Cina seperti guru-guru Melayu, India atau kaum lain, ditempatkan di sekolah Cina untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Mereka ini memang tidak ada kelayakan Bahasa Cina, atau mendapat kepujian atau kredit dalam kertas Bahasa Cina dalam SPM. Adalah sesuatu yang amat sukar untuk mencari guru bukan Cina boleh menguasai bahasa Cina. Ultra kiasu mahu mewajibkan mereka memahaminya. Ultra kiasu ini siapa sebenarnya?
Jika kerajaan tunduk kepada tekanan ini, maka niat mereka hendak menghalau semua guru bukan Cina atau Cina yang bukan berpendidikan Cina akan tercapai. Mungkin sebagai langkah taktikal, tuntutan 325 hanya mahu pihak kementerian ‘menghalau’ guru-guru sedemikian yang ditempatkan tahun ini. Tetapi, kalau tuntutan berbau perkauman yang amat ultra ini dilayan, maka, langkah seterusnya tentulah untuk menghalau semua sekali guru-guru bukan Cina.
Menurut sejarawan Inggeris yang banyak menulis mengenai sejarah orang Cina di Malaysia, Victor Purcell, ketika berlaku penghijrahan, bukti-bukti menunjukkan, komunis menggunakan sekolah Cina untuk menyebarkan fahaman mereka. Saya tidak kata ia berlaku di SJKC kini. Saya cuma tidak mahu kita mengulangi kesilapan demi kesilapan. Takkan kita sanggup lihat sesebuah institusi kepunyaan kerajaan dihuni satu bangsa saja.
Lantaran, saya amat tidak faham bagaimana pemimpin kanan Pas tergamak mengangkat tangan setinggi-tingginya, menyertai perhimpunan ini dalam usaha mereka hendak menghalau semua guru bukan Cina, terutamanya guru Melayu (termasuk India), keluar dari SJKC. PKR, mereka hanya mabuk kuasa.
Dengar khabar, pertubuhan ultra kiasu ini sedang merancang menghalau semua murid bukan Cina yang sekarang belajar di SJKC, atas alasan murid-murid bukan Cina menghalang perjalanan licin pengajaran Bahasa Cina. Untuk merealisasinya, langkah pertama ialah halau dahulu guru bukan Cina, kemudian murid bukan Cina. Berbeza SJKC di luar bandar, mereka berkempen habis-habis agar orang Melayu menghantar anak mereka ke sana bagi memastikan SJKC ini survive, walaupun di kawasan Melayu.
Jika perancangan licik ini berjaya, pertubuhan ultra kiasu, dengan sokongan kuat Pakatan Rakyat yang begitu yakin akan menang PRU 13, akan menetapkan perlunya kelayakan Bahasa Mandarin bagi mereka yang ingin terus menetap di Malaysia. Pada masa itu, semua orang Melayu akan dihalau keluar Malaysia jika tidak berkelayakan Bahasa Mandarin.
Dalam perhimpunan tersebut, selain membidas kerajaan kerana tidak pernah mahu menyelesaikan masalah kekurangan guru di SJKC sejak 1968 sehingga kini, mereka turut memperlekeh pembinaan Menara Kembar Petronas KLCC dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dianggap membazir berbanding pelaburan dalam pendidikan Cina.
Kebimbangan saya lagi, Kementerian Kewangan umum minggu lalu, pengecualian cukai akan diberikan kepada mereka yang menderma secara tunai kepada sekolah dan rumah ibadat, tertakluk kepada pindaan undang-undang Akta Cukai 1967. Sebelum ini, Menteri Pelajaran ada mencadangkan agar derma Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut diberikan pengecualian cukai. Saya tidak pasti sejauh manakah perkara ini telah berjalan dan dibincangkan.
Cadangan ini amat baik. Menggalakkan orang menderma adalah amalan mulia. Namun, perlu juga difikirkan implikasinya. Tindakan ini tidak menguntungkan agenda kebangsaan, malah akan menjadikan identiti kebangsaan semakin pupus dan perkauman semakin menebal, kerana logiknya setiap kaum akan membantu institusi masing-masing. Bayangkan jika semua bertindak menghulurkan derma mengikut institusi kaum, mampukah umat Islam bersaing dengan mereka?
http://celahgelegar.blogspot.com/2012/10/dong-zong-tamak-su-agung-bn.html
artikel berkaitan :
No comments:
Post a Comment