Wednesday, May 15, 2013

Tanggungjawab Memperkenalkan Ulama dan Tempat Rujukan Yang Benar

 

TANGGUNGJAWAB MEMPERKENALKAN ULAMA & TEMPAT RUJUKAN YANG BENAR

Mei 14, 2013
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Oxford_Centre_for_Islamic_Studies_-_geograph.org.uk_-_1399605

Barat cuba menjadikan Oxford sebagai pusat rujukan Islam dan mengangkat tokoh-tokoh yang sesuai dengan pemikiran mereka

Ahli Kalam pada hari ini sedang berusaha untuk memindahkan ilmu agama daripada Timur Tengah/Hijaz yakni tempat keluarnya ilmu berkaitan agama Islam ke Oxford. Pada hari ini mereka menubuhkan Islamic Center di Oxford. Apa tujuan Barat tiba-tiba hendak membuat Islamic Center?

Mereka hendak membawa dunia Islam menjadikan Pusat Islam mereka sebagai tempat ataupun pusat rujukan dalam hal-hal berkaitan agama Islam.

Satu masalah di negara Arab yang harus kita akui, terus terang kita katakan bahawa professionalisme dalam pengurusan dan pentadbiran masih terkebelakang.

Negara Arab di Timur Tengah ada ulama yang hebat tetapi kurang orang professional yang mampu mempopularkan Ulama-ulama ini di mata dunia. Popularnya tokoh-tokoh seperti Dr. Yusuf Al-Qaradhawi kerana apa? Kerana dia dipopularkan oleh golongan-golongan yang professional.

Tetapi mengapa tokoh-tokoh yang jauh lebih hebat dan berkali-kali ganda lebih hebat daripada Dr. Yusuf Al-Qaradhawi seperti Syaikh Abdul Muhsin Al-Abbad yang merupakan pakar ilmu hadis abad ini yang masih hidup, Syaikh Muhammad ibn Salih Al-Utsaimin, Syaikh Abdul Aziz bin Baaz, Syaikh Al-Albani, walaupun mereka ini popular di kalangan penuntut ilmu di seluruh dunia, tetapi mengapa golongan-golongan professional ini tidak memandang mereka? Syaikh Bakar Abu Zaid rahimahullah, Syaikh Salih Fauzan Al-Fauzan yang masih hidup pada hari ini, mengapa dunia tidak memandang dan tidak mempopularkan mereka?

Hanya penuntut ilmu yang kenal siapa ulama sahaja yang melihat mereka.
Mengapa hal ini terjadi adalah kerana golongan-golongan yang kononnya professional ini (khususnya media-media Barat), mereka melihat dan mempopularkan siapa yang sesuai dengan cara mereka berfikir.

Sekiranya cara mereka berfikir sama dengan cara berfikir Barat, maka Barat akan memanfaatkan media mereka untuk mempopularkan tokoh-tokoh tersebut.

Cuba kita fikirkan, masuk akal atau tidak Barat hendak dijadikan tempat rujukan ilmu Islam? Sedangkan Timur Tengah merupakan janji wahyu, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah mengkhabarkan bahawa iman akan kembali ke Madinah, Nabi mengkhabarkan bahawa kefaqihan itu di Yaman.

Mengapa kita tidak bertanggungjawab mempopularkan Timur Tengah sebagai pusat rujukan Islam? Alihkan semula usaha golongan Barat yang hendak mempopularkan Oxford sebagai pusat sumber Islam kembali ke Timur Tengah.

Ini kerana asas kita adalah wahyu. Wahyu telah mengkhabarkan kepada kita bahawa ilmu akan kembali ke situ. Iman akan kembali ke Madinah sebagaimana sabda Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam,
إِنَّ الْإِيمَانَ لَيَأْرِزُ إِلَى الْمَدِينَةِ كَمَا تَأْرِزُ الْحَيَّةُ إِلَى جُحْرِهَا
“Sesungguhnya iman akan kembali ke Madinah seperti seekor ular yang kembali ke lubang sarangnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita yang bertanggungjawab mempopularkan Ulama-ulama kita. Kita yang bertanggungjawab memperkenalkan ulama-ulama kita di mata dunia.

Kesan ilmu kalam ataupun ilmu logik pada hari ini yang kononnya mengatakan bahawa manusia mesti mendahulukan akal, dari sinilah lahirnya pemikiran-pemikiran liberal, plural, sekular dan pemikiran sesat yang lain. Mereka mendahulukan akal dan logik berbanding wahyu.

Walaubagaimanapun ini bukan bererti di tempat lain kita tidak boleh belajar ilmu agama. Tidak. Tetapi kita harus ingat bahawa pusat sumber dan rujukan ilmu agama semuanya daripada Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah. Jadikan tempat tersebut sebagai pusat asas, dan kemudian negara-negara di persekitarannya di mana di sana juga muncul ulama-ulama yang berkaliber yang bercakap hanya untuk kepentingan agama Islam.

Wallahu a’lam.
Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:
 http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=GfiJxHMMung
About these ads

No comments:

Post a Comment