Wednesday, May 8, 2013

Kenali dari Siapa Ilmu diambil..

 

 

KENALI DARI SIAPA ILMU DIAMBIL

Mei 9, 2013
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
11706_10151889731958327_423815441_n

Menjadi tanggungjawab sebagai Umat Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam untuk kita mengenali orang ataupun tokoh yang yang kita ambil ilmu dari mereka, lebih-lebih lagi berkaitan ilmu agama. Dalam erti kata lain, kita perlu mengenali Ulama. Sebagaimana dijelaskan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis riwayat Abu Dawud,
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ وَالْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
“Barangsiapa meniti satu jalan untuk mencari ilmu, nescaya Allah mudahkan baginya jalan ke syurga. Dan sesungguhnya para malaikat membentangkan sayap-sayap mereka kerana redha terhadap penuntut ilmu agama. Sesungguhnya seorang yang berilmu itu dimintakan ampun oleh siapa sahaja yang ada di langit dan di bumi, dan oleh ikan-ikan di dalam air. Dan sesungguhnya keutamaan seorang yang berilmu atas ahli ibadah seperti keutamaan bulan purnama daripada seluruh bintang-bintang. Dan sesungguhnya para ulama itu pewaris para Nabi. Para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, tetapi mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambilnya maka dia telah mengambil bahagian yang banyak. (Riwayat Abu Dawud, dihasankan Syeikh Salim Al-Hilali di dalam Bahjatun Nazhirin)

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menyeru supaya kita mendekati Ulama. Malah di dalam atsar juga terdapat riwayat yang mengatakan,
خذوا العلم عن الأكابر
“Ambillah ilmu daripada Al-Akabir.”
Al-Akabir bererti orang besar. Orang besar bukan bererti besar tubuhnya, juga bukan bermaksud besar statusnya. Orang besar yang dimaksudkan adalah Ulama. Ulama yang Nabi ertikan di dalam penjelasan Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai waratsatul anbiyak (pewaris para Nabi) iaitu yang mewarisi ilmu daripada Nabi. Itu adalah pengertian ulama.

Jadi mengenali ulama merupakan satu kewajipan. Mengenali Ulama adalah satu tanggungjawab. Sebab itu apabila kita melihat apa-apa tulisan, apa-apa pembacaan, dan di dalam hendak memilih kitab-kitab, hendak mendengar kuliah ataupun ceramah, menjadi kewajipan kita untuk mengenali terlebih dahulu orang yang hendak kita manfaatkan ilmunya. Hendaklah kita kenali terlebih dahulu orang yang hendak kita jadikan sebagai rujukan.

Kegagalan kita dalam mengenali siapakah orang ini mungkin menyebabkan kita terperangkap dalam kesesatan, kegelapan yang akan membawa kita kepada perkara-perkara yang menyanggahi akidah, menyanggahi prinsip-prinsip dan dasar beragama.

Contoh, kita lihat buku yang tajuknya macam bagus “Kiamat Sudah Dekat”. Tajuk buku ini ada yang ditulis oleh Ulama Ahlis Sunnah, namun ada juga yang ditulis oleh Ahli Bid’ah. Sebahagian orang hanya bergantung kepada kulit bukunya yang cantik, tajuknya yang menarik tanpa mereka mengenali pengarangnya.

Masalahnya, ia akan membawa kita kepada kesalahan-kesalahan maklumat yang diperoleh daripada kitab tersebut.
Contohnya jika penulis buku tersebut adalah orang yang tidak mengetahui ilmu hadis, mungkin dia akan menukilkan hadis palsu. Orang yang muktazilah atau liberal yang mendahulukan akal daripada nas, mereka akan menakwilkan hadis-hadis tentang hari Kiamat, hadis-hadis tentang Nabi sallalahu ‘alaihi wasallam yang menceritakan kedudukan hari Kiamat dan sebagainya akan membawa kepada kefahaman yang salah tentang Hari Kiamat.

Mereka melakukan pentakwilan tentang Dajjal, mengatakan Dajjal tidak wujud. Dajjal ini hanyalah cerita-cerita ataupun simbolik untuk Allah menakut-nakutkan manusia. Mereka mentakwil Dajjal adalah Israel, Dajjal adalah Amerika. Ini adalah pentakwilan ke atas nas yang zahir. Ianya tidak dibolehkan. Orang yang membaca buku-buku seperti itu berkemungkinan akan terpengaruh dengan cara fikir penulisnya.

Sebab itu jika dilihat para penuntut ilmu pada zaman terdahulu, mereka akan mengenalpasti terlebih dahulu siapa orang yang mereka hendak ambil ilmu daripadanya, termasuk Al-Imam Al-Syafi’i.

 Ketika di Makkah dia mengambil ilmu dari tokoh ulama terkenal seperti Imam Muslim bin Khalid Al-Zanji dan beberapa lagi, dia pergi ke Madinah dengan dia mengetahui bahawa pemergiannya ke Madinah adalah untuk mengambil ilmu dari Imam Malik bin Anas.

Di Madinah juga dia mengambil ilmu dari tokoh terkenal Muhammad bin Hasan Al-Syaibani, guru kepada Imam Abu Hanifah. Maknanya, pemilihan guru ini merupakan satu hal yang sangat serius. Ia bukan hal yang kecil.
 
SIKAP GOLONGAN SALAF TERHADAP ILMU

Kalau kita melihat para sahabat Nabi di dalam mereka merujuk hal-hal yang berkaitan agama, mereka menjadikan Nabi sebagai tempat rujukan dalam setiap keadaan. Walaupun dalam hal-hal yang dirasakan agak malu untuk ditanya contohnya apabila Aisyah pernah berkata memuji wanita-wanita Ansar,
نِعْمَ النِّسَاءُ نِسَاءُ اْلأَنْصَارِ ، لَـمْ يَمْنَعْهُنَّ الْـحَيَاءُ أَنْ يَتَفَقَّهْنَ فِـي الدِّيْنِ
“Sebaik-baik wanita adalah wanita Ansar. Tidak menjadi penghalang mereka sifat malu untuk memahami ilmu Agama.”(Riwayat Bukhari)

Mereka sentiasa merujuk kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam apa jua urusan. Sekiranya berlaku perselisihan, para sahabat Nabi akan segera merujuk kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Apabila Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam wafat, tempat rujukan berubah kepada sahabat Nabi sebab Nabi telah tiada. Hal ini dapat dilihat seperti mana yang diceritakan di dalam hadis pertama dalam Sahih Muslim iaitu tentang dua orang tabi’in Yahya bin Ya’mar dan Ahmad bin Al-Himyari ketika munculnya ahli bid’ah Ma’bad Al-Juhani ,pengasas aliran Qadariyah (golongan yang menolak qadar yang menganggap Allah hanya mengetahui sesuatu setelah perkara tersebut berlaku).

Apabila muncul tokoh yang membawa ideologi seperti ini, bangkit Ahmad Al-Himyari dan Yahya bin Ya’mar. Mereka berdua bermusafir daripada Basrah menuju ke Hijaz semata-mata untuk mencari ulama. Ulama ketika itu adalah sahabat Nabi.

Mereka akhirnya bertemu dengan Abdullah bin Umar radhiyallahu ‘anhuma yang menyampaikan kepada mereka hadis yang dia dengar daripada ayahnya sendiri, Umar Al-Khatthab. Umar Al-Khatthab menyampaikan hadis yang dia dengar daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, iaitu hadis Jibril yang panjang.

Dari sini dapat kita ambil pengajaran dan faedah bahawasanya untuk mencari tempat dan bahan rujukan, carilah ulama yang mewarisi ilmu seperti mana yang Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam wariskan dan sampaikan. Bukan agamawan yang menyampaikan sesuka hati, bercakap semberono. Kita tidak ingin agamawan yang hanya pandai bercakap, buat orang ketawa, menghiburkan pendengar.

Adakah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam merupakan tenaga pengajar yang seringkali bergurau senda dan berlawak jenaka? Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam ketika mana membaca ayat-ayat Al-Quran Baginda sangat serius. Para sahabat Nabi ketika membaca ayat Al-Quran mereka juga serius. Apabila disebut perkataan Allah, gementar hati mereka. Para sahabat mendengar wasiat Nabi, mengalir air mata dan bergementar hati mereka mendengar perkataan Nabi.

Tetapi pada hari ini kita menjadikan hadis Nabi sebagai bahan lawak untuk kita gelak ketawa. Kalau tidak ada lawak dan gelak ketawa dalam kuliah, pendengar menjadi lesu, orang keluar dan tidak berminat untuk mendengar kerana kuliah tidak menarik. Didikan ini yang diajar dan menjadi masalah dalam masyarakat. Ianya menjadi satu fenomena dalam menuntut ilmu. Masyarakat dibiasakan dengan cerita Pak Pandir, Sang Kancil, Beruk dengan Cili. Kita banyak menyampaikan ilmu melalui cerita-cerita seperti ini. Hal ini telah menjadi budaya sehinggakan orang tidak mahu menuntut ilmu jika tidak lawak jenaka.

Bukan kita katakana Nabi tidak pernah bergurau. Baginda bergurau, tetapi bukan dalam semua majlis ilmu kita datang untuk senaman perut (ketawa). Sebaliknya kita datang ke majlis ilmu untuk memanfaatkan ilmu yang disampaikan. Sebab itu menghibur pendengar bukan kriteria ahli ilmu (ulama). Ulama adalah yang mewarisi ilmu seperti ilmu yang diwariskan oleh Nabi.

Memang tidak ada orang yang mengetahui semua ilmu Nabi, tetapi sekurang-kurangnya apa yang dicakapkan itu tidak lari daripada apa yang Nabi sampaikan. Dia mesti akan berusaha untuk seiringkan pandangan dan pendapatnya dengan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, bukan memisahkan pendapatnya dengan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Pada hari ini kita bertemu dengan ramai agamawan yang memisahkan perkataan Nabi daripada pandangannya dengan memberikan alasan seperti kitab ini mengatakan itu, kitab itu mengatakan seperti ini, masyarakat buat seperti ini, di nusantara buat seperti itu, tempat kita tidak buat seperti itu, dan sebagainya. Kita sendiri yang berusaha memisahkan agama daripada apa yang diwariskan oleh Nabi. Sedangkan para sahabat Nabi radhiyallahu ‘anhu sekiranya berlaku perselisihan ataupun isu, mereka segera menyeru manusia agar kembali kepada Nabi. Ini sikap ulama yang sebenar, sentiasa konsisten dan tidak akan berubah-ubah.

Maka menjadi tanggungjawab kita untuk mengenal siapa orang yang kita ambil ilmu daripadanya. Sebelum kita hendak membaca apa-apa buku contohnya Sifat Shalat Nabi karangan Syaikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani, kita kenal siapa dia, bagaimana perangainya, sikapnya, apa keilmuannya, kepakarannya dalam bidang apa, siapa gurunya, siapa muridnya, penulisannya tentang apa, dan yang paling penting ialah apa akidahnya.

Sebab itu dua orang Tabi’in sanggup bermusafir semata-mata untuk mencari sahabat Nabi apabila timbul isu munculnya seorang yang membawa pemikiran baru (ajaran sesat). Bukan mereka tidak boleh menjawab tetapi mereka adalah Tabi’in, anak murid kepada sahabat Nabi, orang yang ada ilmu seperti mana sabda Nabi,
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِيْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ
“Sebaik-baik manusia adalah generasiku (para sahabat) kemudian yang menyusul selepasnya (tabi’in) kemudian yang menyusul selepasnya (tabiu’t tabi’in)” (Bukhari & Muslim)

Nabi sendiri memuji generasi mereka (tabi’in), namun tetap sahaja mereka mencari orang yang lebih tinggi iaitu para Sahabat. Ini contoh para ahli ilmu terdahulu, semoga kita mencontohi mereka.
Wallahu a’lam.
Teks disediakan berdasarkan rakaman Seminar Pemikiran Imam Al-Syaf

Rujukan:   http://ustazfathulbari.wordpress.com/2013/05/09/kenali-dari-siapa-ilmu-diambil/
 

No comments:

Post a Comment