Artikel
ini mendapat liputan meluas web Malaysiakini. Komen-komen yang
diberikan amat tidak bertamadun. Biasalah... ultra kiasu.....
(Mingguan Malaysia 26 Mei 2013)
Ketegasan Menteri
Pendidikan mengenai kedudukan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), beberapa hari
lalu menarik perhatian saya. Kerajaan berpendirian, jika UEC mahu diiktiraf,
mereka mesti melakukan pengubahsuaian dan perubahan selaras dengan dasar
pendidikan negara dan berpandukan kepada undang-undang dalam Akta Pendidikan
negara. Ini keputusan yang tepat, adil dan sangat bertoleransi. Jika ada tidak
bersetuju, carilah negara lain yang boleh bersetuju.
Beginilah sepatutnya cara seseorang negarawan
bertindak. Tanpa rasa takut. Cukuplah kita menjadi ahli politik hebat menjelang
dan ketika pilihan raya. Apabila telah menang, tibalah masanya bertindak
sebagai negarawan. Melihat kepada kepentingan semua, berbanding bangsa, dengan
berpaksikan kepada perlembagaan.
Isu pendidikan Cina acapkali dan telah lama dibangkitkan
oleh Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) dan
sekutunya yang lain seperti seperti Jiao Zong, Dong Jiao Zong, Hua Zong dan
berbagai Zong lagi. Nasihat saya, tidak perlu layan permintaan mereka lagi. Sudahlah.
Kita sudah beri lebih daripada mencukupi. Apa balasannya?
Tidak keterlaluan saya katakan, selagi kita tidak
penuhi permintaan mereka, sehingga kucing bertandukpun mereka akan terus desak
dan tuntut. Segelintir Cina tidak akan berpuas hati selagi mana kita tidak
memenuhi segala tuntutan kecinaannya. Mungkin tulisan ini terlalu ekstrem, tetapi
inilah hakikatnya untuk memahami budaya
politik Cina.
Kita selalu mengajak orang lain keluar daripada
kepompong rasis. Persoalannya, adakah orang Melayu sahaja yang perlu keluar
dari sikap rasis? Kalau Melayu tidak fikir untuk Melayu, adakah orang lain yang
diharapkan berfikir untuk masa depan Melayu. Adakah kita mengharapkan orang
Cina berfikir untuk Melayu? Jika ada Alhamdulillah. Ia baik untuk pembinaan
negara bangsa.
Realiti yang ada, pantang ada sedikit dikaitkan
dengan Melayu, akan ditentang habis. Jika diasimilasikan atau diassociatekan dengan orang putih, tidak
mengapa? Dengan Melayu pantang sekali. Inilah sikap rasis ultra kiasu.
Sebab itulah, ketika majlis angkat sumpah exco, pembukaan
sidang parlimen atau DUN, atau apa jua majlis rasmi yang melibatkan raja, tidak
ada seorangpun yang memakai pakaian kebangsaan (baju Melayu). Rata-ratanya
memakaikan blazer dan tali leher. Sehingga
pakai songkokpun mereka tidak mahu.
Seolah-olah memakai pakaian kebangsaan ini satu
penghinaan. Wal hal, apa salah, ‘berkorban’ seketika, bukannya tiap-tiap hari,
lima tahun sekali atau mungkin setiap kali penggal persidangan parlimen atau
DUN. Hina sangatkah memakai pakaian ini?
Sudah sampainya kita wajibkan pemakaian tersebut. Jangan terlalu memberi
kebebasan atas nama demokrasi, kita juga yang akan rugi nanti.
Bayangkan jika pakaian etnik masing-masing
dibenarkan dalam majlis-majlis sebegini, maka meriahlah, berwarna-warnilah
majlis rasmi tersebut seolah-olah pesta pakaian, bukan majlis rasmi. Tidak ada
seorangpun kalangan mereka yang akan memakai pakaian kebangsaan. Sedangkan
pakaian kebangsaan adalah untuk semua, bukan untuk orang Melayu. Samalah juga
pemahaman sekolah kebangsaan untuk semua, bukan untuk orang Melayu.
Saya yakin selepas ini, untuk meraikan orang lain
atau memastikan lebih ramai bukan Melayu menyertai, sekolah kebangsaan akan
menjadi lebih liberal dan terbuka. Tidak mustahil, ada identiti penting Melayu
akan tercabut.
Ini tidak termasuk menunaikan janji-janji PRU13
baru-baru ini untuk menambah sekolah, memberikan tanah dan banyak lagi tawaran
sebagai alasan untuk memancing undi mereka kononnya.
Apakah akan berlaku suatu hari ini, demi untuk
meraikan semua, kita yang berubah menjadi mereka, bukannya mereka yang
sepatutnya berubah menjadi kita. Semua dasar mesti disesuaikan untuk mereka,
bukan mereka menyesuaikan dengan sesuatu dasar kebangsaan.
Kita mempunyai dasar yang baik, seperti Dasar
Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan sebagainya. Bila tiba
kepada perlaksanaan, selagi sesuatu bangsa itu tidak diraikan, selagi itulah
dasar tersebut tidak diterima.
Ultra kiasu selalu
berhujah, UEC telah diiktiraf di seluruh dunia, kenapa tidak di Malaysia? Jawapannya,
kerana diiktiraf dunialah, menjadikan perangai mereka sanggup menterbalikkan
jalur gemilang sebagai protes kepada kemenangan UMNO BN dalam PRU13 baru-baru
ini. Kebanyakan mereka adalah lulusan UEC. Apakah jenis manusia sebegini yang
ingin kita lahirkan.
Banyak negara lain yang tidak tahu berbahasa Cina,
negara tersebut tetap maju dan urusan dengan negara China berjalan seperti
biasa. Pendek kata, isu bahasa bukan isu hidup mati kemajuan sesebuah negara.
Iran begitu aktif berhubung dengan negara China, tidak pula kedengaran,
kerajaan Iran mewajibkan rakyat belajar bahasa Cina.
Sebelum PRU13,
Perdana Menteri buat pertama kalinya dalam sejarah telah menjemput Dong Zong
untuk berbincang tentang pengiktirafan UEC. PM menyarankan keperluan pelajar
dari sekolah aliran Cina untuk mempunyai sekurang-kurangnya satu kredit kertas
Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berserta dengan UEC,
sebagai satu syarat untuk memohon memasuki IPTA. Tawaran sebeginipun sukar
diterima? Apa lagi yang Cina mahu? Saya fikir persoalan ini tidak keterlaluan. Ketika
kerajaan mula berlembut, adakah budi dibalas?
Permintaan PM ini
terlampau kecil jika dilihat kelulusan membenarkan sekolah vernacular
beroperasi secina-cinanya. Kenapa tidak dihargai toleransi ini? Mereka tetap
bersangka buruk. Pada mereka, jika diberikan penekanan kepada BM, ia akan
meninggalkan kesan kepada Pengajaran dan Pembelajaran bahsa Cina. Pendek kata,
mereka mahu penguasaan mandarin secina-cinanya.
Kehendak mereka
tidak mengapa gagal BM, asalnya lulus mata pelajaran lain yang semua diajar
dalam mandarin sebagai kelayakan untuk memasuki IPTA.
Sekarang inipun,
kesan daripada sekolah vernakular, berlaku polarisasi di kampus yang amat
ketara. Pergilah ke IPTA. Jangan banding dengan IPTS, kerana majoriti mereka
begitu ramai. Pergilah melihat Kolej New Era Kajang yang dipunyai sendiri oleh
Dong Jiao Zong dan lulusan UEC mereka. Itupun kerajaan dalam kempen baru-baru
ini mahu memberikan pengiktirafan sebagai Universiti penuh beberapa kolej Cina di
Pulau Pinang. Dengan tawaran ini, adakah mereka simpati dengan kerajaan?
Saya mohon kepada
kerajaan sebelum memberikan apa jua kelulusan kepada sekolah atau universiti
perkauman ini, buatlah kajian terlebih dahulu. Beri kami geran untuk membuat
kajian seperti ini. Ini tidak, sudah kajian tidak dibuat, asyik menyerang orang
lain.
Misalnya, kontroversi
kenyataan Datuk Mohd Noor Abdullah dan Tan Sri Abdul Rahman Arshad, menyeru
kerajaan agar menghapuskan sekolah vernakular atas alasan ia menggugat
perpaduan dan punca sokongan kepada pembangkang meningkat, harus dilihat secara
positif. Kedua tokoh ini bersependapat sekolah vernakular menjadi punca
perkauman semakin meluas di kalangan masyarakat pelbagai kaum dalam negara.
Mereka turut mencadangkan kerajaan mengikut langkah negara jiran seperti
Indonesia, Thailand dan Filipina yang menerima pakai penggunaan bahasa tunggal
dalam dasar pendidikan mereka.
Sehingga kini,
parti pembangkang dan ultra kiasu tidak habis-habis mengecam kenyataan yang
dikatakan tidak bertanggungjawab kedua-dua tokoh tersebut dan menegaskan
Perlembagaan Persekutuan melindungi sekolah vernakular dan pendidikan dalam
bahasa ibunda, memetik Perkara 152 (1) (a) dan (b) dalam undang-undang
tertinggi negara.
Kenapa harus mangsakan tokoh ini? Buatlah
penyelidikan terlebih dahulu untuk melihat kebenarannya. Fikirkan agenda
nasional, daripada agenda bangsa. Ultra kiasu menyuruh kita berhenti bercakap
soal rasis. Tindak-tanduk mereka lebih rasis daripada orang rasis.
Tidakkah kita sedar kerajaan telah membantu SJKC
sehingga menenggelamkan sekolah agama. Persoalannya, adakah guru-guru Sekolah
Jenis Kebangsaan ini mengundi UMNO BN? SJKC sebenarnya menjadi lubuk melahirkan
lebih ramai ultra kiasu, jika tidak dipantau daripada sekarang.
Ingatan saya kepada orang Melayu, jangan menjadi
terlalu liberal dan bersekongkol dengan ultra kiasu. Misalnya, pendirian Ketua
Pegawai Eksekutif Melayu yang telah digula-gula dengan jawatan tinggidi syarikat
penerbangan murah. Beliau dengan lantang berkata "I am Malaysian. I am anti-racism. I am disgusted by Utusan's
editorial stance. Nasihat saya, jaga baik-baik syarikat tambang murah ini.
Tidak perlu campur perkara di luar bidang. Kalau tak tahu lebih baik diam.
Fikirkan bagaimana cara untuk memanjangkan skirt dan menutup dada paramugari Melayu
di syarikat penerbangan murah ini.
Baru-baru ini saya naik muak melihat layanan mereka
terhadap Sir Richard Branson, pengasas/pengerusi Virgin Group), yang terpaksa
berpakaian paramugari perempuan, anjuran syarikat penerbangan tersebut.
Paramugari Melayu dipaksa melayan beliau termasuk mencukur bulu kakinya. Tertanya
tanya saya ke mana hala tuju anak-anak Melayu yang bekerja di sini. Apakah
mereka akan menjadi Melayu atau apa..? Sebahagian paramugari Melayu disuruh
berlakon seperti kartun mencalup rambut dengan warna putih dan berpakaian seksi
semata-mata meraikan orang putih tersebut. Nasihat saya kepada Melayu celup
ini, selamatkanlah Melayu-melayu di sini daripada hancur dan hilang identiti.
Majlis tersebut diakhiri dengan mandi arak. Cuba lihat you tube mereka.
Saya menyeru agar orang PAS menonton sama, kerana
dalam harakah online, saya terbaca PAS begitu memuji Melayu celup ini hanya
kerana bermusuh dengan Utusan dan UMNO BN. Nasihat saya kepada PAS,
berhati-hati, nanti makan diri. Sokong seseorang bukan kerana marah kepada
UMNO. Sokongan hendaklah berasaskan kepada apa yang benar, apa yang salah. Itu baru
nama perjuangan Islam. Jika tidak, PAS ini sama sahaja dengan yang lain.
Ingatlah! tatkala orang lain semakin kuat Cina
(Indianya), adakah orang Melayu perlu menjadi semakin menjadi liberal atau cair
bagi menunjukkan bahawa kita tidak rasis. Jika ini berlaku, Melayu tidak berlaku adil
kepada bangsanya sendiri. Melayu telah menjadi pengkhianat kepada bangsanya
sendiri. Jangan biarkan hati Melayu mati kerana terlalu meraikan orang lain.
Prof Madya dr
Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Ketua Program
Progra Pengajian
Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan
Fakulti
Pengajian Pengurusan dan Pertahanan
Universiti
Pertahanan Nasional Malaysia
No comments:
Post a Comment