Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Soalan: Saya ingin mendapatkan penjelasan sejelas-jelasnya
berkenaan isu kalimah Allah yang sedang hangat diperkatakan akhir-akhir
ini.Jawapan:
Apabila kita berbicara tentang isu kalimah Allah, sebenarnya ia bukan merupakan isu yang kecil. Ia merupakan isu besar. Mengapa saya katakan ia merupakan isu yang besar, firman Allah di dalam Al-Quran,
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ
وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ
إِيمَانًا
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang apabila
disebut nama Allah gemetarlah hati (kalbu) mereka, dan apabila dibacakan
ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka.” (Surah Al-Anfaal: 2)Ayat ini menjelaskan bahawa di antara ciri-ciri orang yang beriman adalah apabila mereka mendengar sahaja nama Allah, hati mereka menjadi gementar. Maka isu kalimah Allah ini bukan isu kecil. Ianya isu besar. Tetapi ada sebilangan orang mengatakan perkara ini isu kecil. Ini adalah salah faham.
Walaubagaimanapun, isu yang pertama sekarang ini adalah isu hukum boleh atau tidak orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.
Berdasarkan perkataan para ulama tafsir yang menjelaskan beberapa ayat di dalam Al-Quran yang terdapat padanya penyebutan kalimah Allah di atas lisan orang bukan Islam, hukum penggunaan kalimah Allah di atas lisan orang bukan Islam adalah harus pada asalnya. Contoh beberapa firman Allah,
وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ
“Dan pasti jika kamu bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?”, nescaya mereka menjawab: “Allah”.” (Surah Az-Zumar: 38)Allah tidak marah mereka menggunakan perkataan Allah. Dalam ayat yang lain, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,
لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلاثَةٍ وَمَا مِنْ إِلَهٍ إِلَّا إِلَهٌ وَاحِدٌ
“Sesungguhnya telah kafir orang-orang yang mengatakan bahawa Allah
itu tiga dalam satu (trinity), padahal sekali-kali tidak ada Tuhan
kecuali hanya Tuhan Yang Satu.” (Surah Al Maidah, 5: 73)Mereka menggunakan juga kalimah Allah, tetapi Allah tidak melarangnya. Maka dari ayat-ayat Al-Quran ini dan ayat-ayat lain yang menampakkan penggunaan kalimah Allah di atas lisan orang kafir maka para ulama mengatakan hukum asal penggunaan kalimah Allah di atas lisan orang bukan Islam adalah harus.
Kedua, kita harus melihat isu penggunaan kalimah Allah dari sudut budaya dan sensitiviti. Di Tanah Arab, penggunaan kalimah Allah digunakan oleh orang Islam dan orang bukan Islam. Orang Arab Jahiliyah, orang Nasrani (Kristian) menggunakan kalimah Allah dalam ucapan-ucapan seharian juga di dalam sumpah-sumpah mereka; MasyaAllah, Wallah, Wabillah, Watallah.
Dalam Bible yang dikeluarkan di Lubnan menggunakan kalimah Allah bagi menggantikan kalimah Rabb (Tuhan). Itu telah menjadi budaya mereka.
Namun budaya kita berbeza. Orang bukan Islam dalam negara kita tidak biasa menggunakan kalimah Allah. Mengapa saya menyentuh soal budaya adalah kerana Islam dalam keadaan tertentu meletakkan budaya dan adat menjadi pendesak kepada terbentuknya sesuatu hukum. Sebab itu ada kaedah Fiqh yang menyebut,
العَادَةُ مُحَكَّمَةٌ
“Adat kebiasaan itu boleh dijadikan sandaran hukum.”
Dalil yang menjadi sandaran kepada kaedah ini adalah perkataan dan tindakan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tentang sejarah pembinaan Ka’bah. Ka’bah dibina oleh Nabi Ibrahim ‘alaihissalam. Firman Allah di dalam Al-Quran,
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ
الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلَ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّآ إِنَّكَ أَنتَ
السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar
Baitullah bersama Isma’il (lalu berdoa), ‘Ya Rabb kami, terimalah dari
kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha
Mengetahui’.” (Surah Al-Baqarah, 2: 127)Struktur yakni binaan asal Ka’bah bukan seperti yang kita lihat pada hari ini, petak. Binaan asalnya separuh petak dan separuh bulat. Nabi Ibrahim ketika membina Ka’bah, dia memasukkan Hijr Ismail di dalam Ka’bah. Itu binaan asalnya.
Tetapi apabila berlaku banjir dan Ka’bah roboh beberapa kali, masyarakat Arab membina semula Ka’bah beberapa kali sampai di zaman Nabi, apabila Ka’bah dibina semula, mereka mengeluarkan Hijr Ismail dari Ka’bah. Sebab itu siapa yang hendak solat di dalam Ka’bah, dia boleh solat di Hijr Ismail, sama pahala seperti solat di dalam Ka’bah.
Aisyah radhiyallahu ‘anha isteri Nabi bertanya kepada Nabi, mengatakan bahawa beliau teringin masuk dan solat di dalam Ka’bah. Baginda menyuruhnya solat di dalam Hijr Ismail, sama seperti solat di dalam Ka’bah. Aisyah bertanya mengapa Baginda tidak merobohkan Ka’bah dan bina semula seperti mana binaan Nabi Ibrahim. Jawab Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,
يَا عَائِشَةُ لَوْلاَ أَنَّ قَوْمَكِ حَدِيْثُوْ عَهْدٍ
بِشِرْكٍ وَ لَيْسَ عِنْدِيْ مِنَ النَّفَقَةِ مَا يُقَوِّي عَلَى
بِنَائِهِ لَأَنْفَقْتُ كَنْزَ اْلكَعْبَةِ فِي سَبِيْلِ اللَّهِ وَ
لَهَدَمْتُ اْلكَعْبَةَ فَأَلْزَقْتُهَا بِاْلأَرْضِ ثُمَّ لَبَنَيْتُهَا
عَلَى أَسَاسِ إِبْرَاهِيْمَ
“Wahai ‘Aisyah, kalaulah bukan kerana kaummu masih dekat masanya
dengan kesyirikan (baru memeluk Islam),- dan bukan kerana aku tidak
memiliki biaya untuk membangunnya, nescaya aku akan infakkan
perbendaharaan Ka’bah di jalan Allah- dan aku akan runtuhkan Ka’bah dan
ratakan dengan tanah, kemudian aku akan membinanya semula di atas asas
binaan Ibrahim.” (Riwayat Bukhari)Nabi tidak meroboh Ka’bah, Baginda membiarkan sampai Baginda wafat. Sahabat-sahabat Nabi, semuanya tidak merobohkan Ka’bah. Mereka membiarkan Ka’bah sampai ke hari ini kerana menjaga sensitiviti dan adat masyarakat Arab.
Sebab itu adat dan budaya menjadi dalil dalam keadaan-keadaan tertentu, sama seperti negara kita. Adakah menjadi adat orang bukan Islam di negara ini menggunakan kalimah Allah di dalam tempat ibadat mereka? Tidak, mereka tidak menggunakannya. Maka mengapa dalam isu seperti ini, puluhan tahun kita hidup dalam keadaan aman tanpa perebutan dan pergaduhan seperti ini, tiba-tiba dibangkitkan oleh pihak tertentu yang berkepentingan.
Yang membangkitkan isu ini adalah orang bukan Islam, tetapi yang bergaduh sampai ke hari ini adalah orang Islam. Isu yang sepatutnya kita sepakat dan bersatu, tetapi kita berpecah semata-mata kerana kepentingan pihak tertentu. Maka saya mengatakan dalam konteks negara kita, kalimah Allah tidak boleh kita benarkan penggunaannya kepada orang selain dari kaum Muslimin.
Ketiga, kita melihat isu kalimah Allah dari sudut agenda dan gerakan Kristianisasi. Adakah kita mahu apa yang terjadi di Indonesia terjadi di negara kita? Di Batu Tulis, Jakarta, dalam jarak 500 meter hingga 1 kilometer ada dua buah masjid dan satu gereja. Satu masjid Ahli Sunnah, satu masjid Syiah, dan satu gereja. Kawan saya yang berada di sana pada ketika itu datang pada masuk waktu untuk solat Jumaat. Pada mulanya masjid Ahli Sunnah azan, seperti mana kita biasa dengar. Kedua, masjid Syiah azan dengan menambah “Asyhadu anna ‘Aliyyu waliyyullah”. Ketiga, gereja juga azan! Nama gereja itu ialah “Gereja Sidang Jemaat Allah”.
Siapa yang boleh membantah? Adakah kita mahu hal seperti ini berlaku di kampung-kampung kita, di kawasan kediaman kita? Sebab itu kita katakan ada satu agenda gerakan Kristianisasi untuk mengkristiankan orang Islam. Apabila mereka menuntut untuk menggunakan kalimah Allah, saya tidak bersetuju apabila ada orang yang “cerdik” bertanya apa masalahnya jika orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, mustahil orang Islam tidak boleh membezakan antara Bible dengan Al-Quran.
Jawapan saya, kalau semua orang boleh bezakan, tidak akan berlakulah adanya orang yang mengikut ajaran Ayah Pin. Ustazah yang balik dari Mesir pun ada yang mengikut ajaran Ayah Pin. Kalau ajaran seperti ini orang ikut, tidak mustahil ada orang yang akan terpesong dan terkeliru dalam membezakan yang mana satu ayat Al-Quran dan yang mana satu ayat dalam Bible, khususnya apabila dipaparkan dan disebarkan di dalam risalah-risalah dengan menulis “Firman Allah” lalu mereka menceritakan kisah Nabi Adam yang terkandung di dalam Bible. Berapa ramai yang dapat membezakan apakah ianya ayat Al-Quran ataupun ayat di dalam Bible?
Di dalam Al-Quran ada menceritakan kisah Adam, begitu juga di dalam Bible ada menceritakan kisah Adam. Dalam Al-Quran ada cerita kisah Musa, begitu juga di dalam Bible. Begitu juga kisah-kisah Nabi yang lain. Apabila mereka menulis “Firman Allah” lalu membawakan kisah-kisah di dalam Bible, siapa yang dapat membezakannya? Adakah anak-anak kita mampu membezakannya?
Oleh kerana itu hal ini perlu dikawal dan perlu dipandang dengan lebih serius. Kita perlu ingat bahawa di dalam perlembagaan telah menetapkan bahawa Islam adalah agama persekutuan. Perlembagaan juga menetapkan bahawa Islam adalah agama yang boleh kita dakwahkan kepada orang ramai, tetapi agama-agama lain tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Itu perjanjian kita dengan mereka untuk mencapai kemerdekaan, dan selama ini kita hidup dalam keadaan aman damai kerana masing-masing menghormati perjanjian ini.
Wallahu a’lam.
Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:
http://www.youtube.com/watch?v=t_boISeFBv0
http://ustazfathulbari.wordpress.com/2013/04/29/tiga-sebab-mengapa-kalimah-allah-perlu-dipertahankan/
No comments:
Post a Comment