PENJELASAN STATUS HADITH TURUNNYA ILAHI PADA MALAM NISFU SYABAN
Matan Hadith antaranya:
يطلع الله على خلقه في ليلة النصف من شعبان ، فيغفر لجميع خلقه ، إلا لمشرك أو مشاحن
Terjemahan: Allah
(SWT) akan memperhatikan semua makhluk pada malam Nisfu Sya’ban, maka
Dia mengampuni semua makhluknya kecuali orang musyrik dan yang
bermusuhan (sesama sendiri);
Sesetengah lafaz menyebut;
إن الله ينزل ليلة النصف من شعبان فيغفر فيها الذنوب إلا لمشرك أو مشاحن
Terjemahan: Sesungguhnya
Allah (SWT) turun pada malam nisfu Sya’ban lalu mengampunkan dosa-dosa
kecuali kepada orang yang syirik atau orang yang suka berbalah.
Takhrij Ringkas:
Dikeluarkan antaranya oleh Ibn Majah [Sunan, #5665], Ibn Abi Syaibah [al-Musannaf #150(2)],
Abd Razzaq [al-Musannaf #7923], al-Tabarani [Mu'jam al-Kabir #16639], al-Munziri [al-Targhib wa al-Tarhib #3830,3831 dll], Bazzar [1/157-158 ، 206-207 (80)] dan lain-lain.
Status Hadith:
Saya Abu Ismail Fathi `Ali al-Sakandary, katakan: Yang rajih adalah hadith ini TIDAK SAHIH,
ia telah diingkari oleh jamaah para huffaz salaf al-mutaqaddimin, antaranya kata Imam Abu Hatim: MUNKAR [ilal Ibn Abi Hatim,2012], kata Imam ad-Daraquthni setelah membincangkan sekian banyak jalur hadith ini: TIDAK THABIT [ilal Daraquthni,970], juga yang diINGKARI oleh Imam al-Bukhari [Tarikh Kabir # 5/424-425], Imam al-Uqaili [Dhua'fa # 3/788-789], Imam Ibn Adiy [al-Kamal #309/5] dan lain-lain para huffaz salaf.
Sesetengah telah mencuba menaik taraf hadith ini kepada Sahih/Hasan, namun penilaian tersebut
tidak tepat dan amat lemah, ikuti penjelasan terperinci berkenaan hadith ini dibawah, hasil kajian terperinci Fadhilah al-Ustaz Muhammad Hanief bin Awang Yahaya - hafizahullah-
HADIS-HADIS TENTANG ALLAH MEMERHATIKAN
HAMBA-HAMBA-NYA PADA MALAM NISFU SYA’BAN,
PENILAIAN MENURUT NERACA RIWAYAT DAN DIRAYAH
Ustaz Muhammad Hanief bin Awang Yahaya www.darulkautsar.net Rata-rata di kalangan masyarakat Islam, mempercayai bahawa malam nisfu Sya’ban atau malam 15 Sya’ban mempunyai kelebihan yang sangat istimewa dan padanya diputuskan segala qadha` dan qadar. Benarkah begitu? Ulama hadis yang terdahulu seperti al-Bukhari, al-Tirmizi, al-Daruqutni, Abu Hatim, al-Bazzar dan lain-lain telah memutuskan hadis-hadis tentang kelebihan tersebut tidak sahih dan tidak boleh dipertanggungjawab. Walau bagaimanapun sebahagian ulama al-mutakhirin cuba mentashihkan salah satu daripada hadis-hadis tersebut. Hadis tersebut mengenai Allah memerhatikan hamba-hamba-Nya pada malam nisfu Sya’ban.
Antara ulama yang cuba mentashihkannya ialah al-Mubarakpuri dalam Tuhfah al-Ahwazi, (jil. 3, hal.
503-504) menulis bahawa berhubung dengan kelebihan nisfu Sya’ban terdapat beberapahadis yang menunjukkan bahawa ia mempunyai asal. Al-Albani dalam kitabnya, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, (jil. 3, hal. 135-139), menyimpulkan bahawa banyaknya jalan bagi hadis ini melebihi dari kadar yang mencukupi untuk mengangkat status sanadnya, daripada dha’if kepada sahih! Al-Albani berpendapat bahawa hadis ini pada asalnya dha’if . Oleh kerana hadis itu mempunyai banyak jalan maka ia telah dianggap sebagai sahih. Menurut beliau, sanad ini walaupun terdapat perawi yang dha’if namun ia boleh ditampung kerana kedhaifannya itu tidaklah bersangatan.
Artikel ini bertujuan untuk menyoroti kesahihan sanad hadis yang didakwa sebagai sahih berhubung
kelebihan malam nisfu Sya’ban. Sejauh manakah kaedah pentashihan yang digunakan oleh ulama yang memutuskannya sebagai sahih itu menepati kaedah riwayah dan dirayah hadis.
Pertama: Riwayat Mu’az bin Jabal
- حدثنا محمد بن أبي زرعة ، نا هشام بن خالد ، نا أبو خليد عتبة بن حماد ، عن الأوزاعي ، وابن ثوبان ، عن أبيه عن مكحول ، عن مالك بن يخامر ، عن معاذ بن جبل قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « يطلع الله على خلقه في ليلة النصف من شعبان ، فيغفر لجميع خلقه ، إلا لمشرك أو مشاحن « لم يرو هذا الحديث عن الأوزاعي ، وابن ثوبان إلا أبو خليد عتبة بن حماد ، تفرد به عن الأوزاعي : هشام بن خالد »
Muhammad bin Abi Zur’ah menceritakan kepada kami katanya, Hisyam bin Khalid menceritakan kepada
kami katanya Abu Khulaid ‘Utbah bin Hammad menceritakan kepada kami daripada al-Auza’i dan Ibn Thawban daripada ayahnya daripada Makhul daripada Malik bin Yukhamir daripada Mu’az bin Jabal katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah s.w.t. memerhatikan hamba-hambanya pada malam nisfu Sya’ban lalu mengampunkan semua mereka kecuali orang musyrik atau orang yang suka berbalah.”
(al-Tabarani dalam al-Mujam al-Awsat, no: 6776, jil. 7, hal. 36, Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah Bi Takhrij
al-Albani, jil. 1, hal. 264, Sahih Ibn Hibban, no: 5665)
Perawi-perawi hadis Mu’az
1- ‘Utbah bin Hammad
Dalam Tahzib al-Tahzib, jil. 4, hal. 63:
قال أبو حاتم شيخ وقال أبو علي النيسابوري والخطيب ثقة وذكره ابن حبان في الثقات
Abu Hatim mengatakan beliau seorang syaikh (lafaz ta’dil yang rendah).
Abu ‘Ali al-Naisaburi dan al-Khatib mengatakan beliau seorang thiqah
serta disebutkan oleh Ibn Hibban di dalam Kitab al-Thiqat.
Dalam Taqrib al-Tahzib, Hafiz Ibn Hajar menyimpulkan beliau sebagai seorang yang saduq. (hal. 335)
2- Ibn Thauban
Namanya ialah Abdul Rahman bin Thabit bin Thauban. Al-Zahabi menulis: “Duhaim mengatakan
Ibn Thauban thiqah. Ibn Ma’in mengatakan, tidak mengapa dengannya. Abu Hatim mengatakan beliau thiqah. Uthman bin Sa’id meriwayatkan bahawa Ibn Ma’in mengatakan beliau dha’if. Imam Ahmad mengatakan hadis-hadisnya mungkar. Al-Nasa’i mengatakan dia seorang yang bukan kuat dalam hadis. (Mizan al-I’tidal, jil. 4, hal. 264). Muhammad bin Ali berkata saya mendengar Ahmad bin Hanbal ditanya tentang Abdul Rahman bin Thabit bin Thauban, bagaimana keadaannya. Beliau menjawab, beliau bukan seorang yang kuat dalam hadis. (Tahzib al-Tahzib, jil. 3, hal. 346)
Hafiz Ibn Hajar menyebutkan, beliau seorang saduq melakukan kesilapan, dituduh berfahaman
qadariyyah dan ingatannya berubah di akhir hayat. (Taqrib al-Tahzib, hal. 289)
Berhubung dengan hadis kelebihan malam nisfu Sya’ban ini, Ibn Thauban meriwayatkannya secara tidak
tetap, kadang-kadang meriwayatkan daripada Makhul (riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat dan Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunnah), dan ada kalanya daripada ayahnya daripada Makhul (riwayat al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin dan Ibn Hibban dalam kitab sahihnya). (lihat Abu al-Laith, al-Marwiyyat Fi Fadhl Lailah al-Nisf, hal. 46-49)
Ibn Abi Hatim berkata, saya bertanya kepada ayah saya tentang hadis yang
diriwayatkan oleh Abu Khulaid al-Qari daripada al-Awza’i daripada
Makhul - dan daripada Ibn Thauban daripada ayahnya daripada Makhul -
daripada Malik bin Yukhamir daripada Mu’az bin Jabal… Ayah saya
menjawab: Ini adalah hadis munkar
dengan sanad ini, tidak ada yang meriwayatkan dengan sanad ini selain daripada Abu Khulaid dan saya tidak tahu dari mana beliau membawanya. Saya bertanya lagi: “Bagaimana dengan keadaan Abu Khulaid?” beliau menjawab: Seorang syaikh (lafaz ta’dil yang rendah dan boleh ditulis hadisnya untuk i’tibar). (Ibn Abi Hatim, al-‘Ilal, jil. 5, hal. 322-323) وابن ثوبان إلا أبو خليد عتبة بن حماد ، تفرد به عن الأوزاعي : هشام بن خالد »
Kata al-Tabarani: Hadis ini tidak diriwayatkan daripada al-Awza’i dan
Ibn Thauban kecuali Abu Khulaid bin Hammad dan Hisyam bin Khalid pula
berseorangan meriwayatkannya daripada al-Awza’i.
(al-Mu’jam al-Awsat, jil. 7, hal. 36)
3- Makhul, mufti Dimasyq dan yang paling alim di kalangan ahlinya. Bukan
seorang yang mengatakan beliau thiqah. Ibn Sa’d mengatakan, sekumpulan
ulama mendhaifkan beliau. Al-Zahabi mengatakan, beliau seorang yang
melakukan tadlis dan dituduh menafikan taqdir serta meriwayatkan secara
mursal daripada Ubay, ‘Ubadah bin al-Somit, ‘Aishah dan Abu Hurairah.
(Mizan al-I’tidal, jil. 6, hal. 509-510)
Al-Hakim mengatakan riwayatnya daripada sahabat adalah melalui perantaraan. (Ma’rifah ‘Ulum al-Hadith,
hal. 111)
Di samping itu, Makhul dan Malik bin Yakhamir tidak pernah bertemu. (Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, jil. 3,
hal. 135). Ini bermakna sanad ini terputus. Seorang perawi telah gugur antara Malik bin Yukhamir dan Makhul. Tidak dapat diketahui siapakah orangnya, sama ada seorang yang dipercayai atau tidak.
Ringkasnya, sanad riwayat Mu’az terputus di samping terdapat seorang
perawi yang dipertikai oleh ulama. Walaupun jalan hadis ini banyak namun
madar sanad (paksi bagi sanad) adalah Ibn Thauban dan Makhul. Tambahan
pula, Ibn Thauban tidak tetap dalam menyebutkan riwayat ini. dan Makhul
sendiri juga ada meriwayatkan daripada Abu Tha’labah. Bagi menjelaskan
lagi berlakunya idhtirab dalam hadis ini, lihat
apa jawapan tokoh ulama ’Ilal al-Hadith, al-Daruqutni terhadap soalan yang dikemukakan kepadanya tentang hadis Malik bin Yukhamir daripada Mu’az:
“Diriwayatkan daripada Makhul dan terdapat perbezaan periwayatan
daripadanya. Abu Khulaid ‘Utbah bin Hammad al-Qari meriwayatkan daripada
al-Awza’i, daripada Makhul dan daripada Ibn Thauban daripada ayahnya
daripada Makhul daripada Malik bin Yukhamir daripada Mu’az bin Jabal.
Demikian kata Hisyam bin Khalid daripada Abu Khulaid.
Sulaiman bin Ahmad al-Wasiti telah menyalahinya. Beliau meriwayatkan
hadis ini daripada Abi Khulaid daripada Ibn Thauban daripada ayahnya
daripada Khalid bin Mi’dan daripada Kathir bin Murrah daripada
Mu’az bin Jabal. Kedua-dua hadis ini tidak mahfuz.
Hadis ini juga diriwayatkan daripada Makhul dengan beberapa riwayat.
Kata Hisyam bin al-Gahz daripada Makhul daripada ‘Aishah. Dikatakan juga
daripada Ahwas bin Hakim daripada Makhul daripada Abi Tha’labah.
Dikatakan juga daripada Makhul daripada Abi Idris secara mursal. Hajjaj
bin Artah berkata daripada Makhul daripada Kathir bin Murrah secara
mursal. Dikatakan juga daripada Makhul sebagai kata-katanya. Hadis ini
tidak sabit (tidak sahih).” (‘Ilal al-Daruqutni, jil. 6, hal. 50-51)
Kedua: Riwayat Abi Tha’labah
أخبرنا أبو طاهر الفقيه ، أخبرنا أبو حامد بن بلال ، حدثنا محمد بن إسماعيل الأحمسي ،
حدثنا المحاربي ، عن الأحوص بن حكيم ، عن المهاصر بن حبيب ، عن مكحول ، عن أبي ثعلبة الخشني ، عن النبي صلى الله عليه وسلم ، قال : « إذا كان ليلة النصف من شعبان اطلع الله إلى خلقه فيغفر للمؤمن ، ويملي للكافرين ، ويدع أهل الحقد بحقدهم حتى يدعوه »
Abu Tahir al-Faqih memberitahu kepada kami katanya, Abu Hamid bin Bilal
memberitahu kepada kami katanya, Muhammad bin Isma’il al-Ahmasi
menceritakan kepada kami katanya, al-Muharibi menceritakan kepada kami
daripada al-Ahwas bin Hakim daripada al-Muhasir bin Habib daripada
Makhul daripada Abi Tha’labah al-Khusyani daripada Rasulullah s.a.w.
sabdanya: “Apabila malam nisfu Sya’ban Allah
memerhatikan hamba-hamba-Nya lalu mengampunkan orang-orang mukmin membiarkan orang kafir dan membiarkan orang-orang yang berdengki dengan kedengkian mereka sehinggalah mereka meninggalkannya. (al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, jil. 3, hal. 381) حَدَّثَنَا الْحُسَيْنُ بن إِسْحَاقَ التُّسْتَرِيُّ، ثَنَا عَلِيُّ بن بَحْرٍ، ثَنَا عِيسَى بن يُونُسَ، ثَنَا الأَحْوَصُ بن حَكِيمٍ، عَنْ حَبِيبِ بن صُهَيْبٍ، عَنْ أَبِي ثَعْلَبَةَ الْخُشَنِيِّ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:إِنَّ اللَّهَ يَطْلُعُ عَلَى عِبَادِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَيُمْلِي الْكَافِرِينَ وَيَدَعُ أَهْلَ الْحِقْدِ بِحِقْدِهِمْ حَتَّى يَدْعُوهُ.
Al-Husain bin Ishaq al-Tustari menceritakan kepada kami katanya, ‘Ali
bin Bahr menceritakan kepada kami, katanya al-Ahwas menceritakan kepada
kami daripada Habib bin Suhaib daripada Abi Tha’labah katanya Rasulullah
s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t. memerhatikan hambanya pada
malam nisfu Sya’ban lalu mengampunkan orang-orang mukmin membiarkan
orang kafir dan membiarkan orang-orang yang berdengki dengan kedengkian
mereka sehinggalah mereka meninggalkannnya. (al-Tabarani, al-Mu’jam
al-Kabir, no: 18038)
1- Al-Ahwas bin Hakim, seorang yang dhaif. Al-Zahabi menulis: Ibn Ma’in
mengatakan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa nilai. Al-Nasa`i
mengatakan dia seorang yang dha’if. Ibn al-Madini mengatakan dia tidak
mempunyai apa-apa nilai dan hadisnya tidak boleh ditulis. (Mizan
al-I’tidal, jil. 1, hal. 315)
2- Makhul tidak mendengar daripada mana-mana sahabat. Kebanyakan riwayatnya daripada sahabat adalah munqati’.
Al-Daruqutni menyebutkan tentang hadis Habib bin Suhaib daripada Abi
Tha’labah, katanya, hadis ini diriwayatkan oleh al-Ahwas dan berlaku
perbezaan dalam meriwayatkan daripadanya. ‘Isa bin Yunus meriwayatkannya
daripada al-Ahwas daripada Habib bin Suhaib daripada Abi Tha’labah.
Makhlad telah menyalahinya dengan meriwayatkannya daripada al-Ahwas
daripada Muhasir bin Habib daripada Abi Tha’labah. Al-Daruqutni
menyimpulkan bahawa hadis ini mudhtarib dan tidak thabit. (‘Ilal
al-Daruqutni, jil. 6, hal. 323)
Dalam sanad al-Baihaqi yang disebutkan di atas ada perantaraan di antara
al-Muhasir bin Habib dan Abi Tha’labi iaitu Makhul dan Makhul sendiri
tidak pernah mengambil riwayat daripada sahabat. Ini bermakna jalan
al-Muhasir juga munqati’.
Jika kita merujuk kembali sanad-sanad hadis Mu’az dan hadis Abi
Tha’labah sebenarnya kedua-duanya adalah hadis yang sama kerana berlaku
idhtirab (ketidaktetapan) dalam meriwayatkan hadis ini. Sebagaimana
Makhul meriwayatkan juga sebagai hadis Mu’az, beliau juga menyebutkannya
sebagai hadis Abi Tha’labah.
Ketiga: Riwayat Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash
Hasan menceritakan kepada kami katanya, Ibn Lahi’ah menceritakan kepada
kami katanya, Huyai bin Abdullah menceritakan kepada kami daripada Abi
‘Abdul Rahman al-Hubali daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bahawa Rasulullah
s.aw. bersabda: “Allah s.w.t. memerhatikan hamba-Nya pada malam nisfu
Sya’ban lalu mengampunkan hamba-hamba-Nya kecuali dua orang, orang yang
suka berbalah dan pembunuh.” (Musnad Ahmad, no: 6642)
Perawi-perawinya:
1- Abdullah bin Lahi’ah
Al-Zahabi menulis: “Ibn Ma’in mengatakan dia seorang yang dha’if dan
tidak boleh dijadikan hujah. Al-Humaidi meriwayatkan daripada Yahya bin
Sa’id bahawa beliau tidak memandang Ibn Lahi’ah dengan apa-apapun. Ibn
Mahdi mengatakan, saya tidak mengambil apa-apa riwayat daripada Ibn
Lahi’ah. Dia telah menulis kepada saya sepucuk surat yang tertulis
padanya, ‘Amar bin Syu’aib menceritakan kepada kami. Lalu saya
membacakannya kepada Ibn al-Mubarak lalu beliau mengemukakan hadis itu
kepada saya daripada kitab. Ibn al-Mubarak berkata, Ishaq bin Abi Farwah
melaporkan kepada saya daripada ‘Amr bin Syu’aib. Yahya bin Bukair
mengatakan, rumah dan kitab-kitab Ibn Lahi’ah terbakar pada tahun 170 H.
Imam Ahmad mengatakan, Ibn Lahi’ah sering menulis hadis daripada
al-Muthanna bin al-Sabbah (seorang yang dha’if) daripada ‘Amr bin
Syu’aib. Kemudian selepas itu dia menceritakan hadis-hadis itu terus
daripada ‘Amar (Ibn Lahi’ah melakukan tadlis dengan menggugurkan perawi
yang dha’if). Yahya bin Sa’id mengatakan, Bisyr bin al-Sariy menasihati
saya, sekiranya kamu menemui Ibn Lahi’ah, janganlah kamu mengambil
daripadanya walaupun satu riwayat. Yahya bin Ma’in mengatakan, dia
seorang yang lemah sebelum dan selepas terbakar kitab-kitabnya. Abu
Zur’ah mengatakan, sama sahaja riwayat-riwayatnya yang terdahulu dan
kemudian. Hadis-hadisnya tidak boleh dijadikan hujah. Al-Nasa`i
mengatakan dia seorang yang lemah. Abu Zur’ah dan Abu Hatim mengatakan
keadaannya tidak tetap tetapi boleh ditulis hadisnya untuk i’tibar. Ibn
Hibban mengatakan, saya telah memeriksa riwayat-riwayat Ibn Lahi’ah
dalam riwayat orang sebelumnya dan selepasnya lalu saya dapati ada
campur aduk dalam orang yang mengambil daripadanya dan banyak hadis yang
tidak terdapat dalam riwayat orang sebelumnya. Oleh itu, saya memeriksa
jalan-jalan hadis dan saya dapati beliau menyembunyikan kumpulan perawi
yang lemah lalu menisbahkan kepada kumpulan perawi yang thiqah. Dengan
itu, riwayat-riwayat palsu menyusupi dalam riwayatnya. Dalam satu
riwayatnya daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda
pada ketika sakitnya: “Panggilkan untukku saudaraku.” Lalu Abu Bakar
dipanggil. Tiba-tiba baginda berpaling daripadanya. Kemudian baginda
bersabda: “Panggilkan untukku saudaruku.” Kemudian dipanggil Uthman lalu
baginda berpaling daripadanya. Kemudian dipanggil ‘Ali. Lalu Rasulullah
menyelimutkan ‘Ali dengan selimutnya dan mengadapnya. Apabila ‘Ali
keluar daripada Rasulullah s.a.w., orang bertanya: “Apakah yang
Rasulullah s.a.w. katakan kepada anda? Ali menjawab: “Baginda mengajar
kepada saya seribu bab dan setiap bab membuka seribu bab.”
Ibn ‘Adi mengatakan, riwayat ini direka oleh Ibn Lahi’ah kerana dia
seorang pelampau dalam fahaman Syi’ah. Al-Bukhari mengatakan dia seorang
yang munkar hadisnya. (lihat Mizan al-I’tidal, jil. 4, hal. 167-174)
2- Huyai bin Abdullah al-Ma’afir al-Misri.
Al-Bukhari mengatakan hadisnya dipertikaikan. Al-Nasa`i mengatakan
beliau bukan seorang yang kuat. Imam Ahmad sendiri mengatakan
hadis-hadisnya mungkar. Ibn ‘Adi pula mengatakan, Ibn Lahi’ah
meriwayatkan daripadanya berpuluh hadis yang kebanyakannya mungkar
(Mizan al-I’tidal, jil. 2, hal. 401)
Ini bererti dalam sanad hadis ini terdapat dua perawi yang sangat dha’if iaitu Abdullah bin Lahi’ah dan Huyai bin Abdullah.
Sheikh al-Albani menyebutkan Risydin bin Sa’d menjadi mutabi’ kepada Ibn
Lahi’ah. (Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, jil. 3, hal. 136)
Walau bagaimanapun, mutaba’ah ini tidak dapat memberikan apa-apa faedah kerana Risydin itu seorang yang sangat dha’if.
Imam Ahmad berkata, beliau tidak mempedulikan daripada siapa riwayat
diambil. Tetapi tidak mengapa dengan hadisnya dalam bab riqaq
(hadis-hadis yang melembutkan hati). Ahmad juga berkata, saya harap dia
elok hadisnya. Ibn Ma’in berkata, beliau tidak ada nilai. Abu Zur’ah
berkata, beliau seorang yang dha’if. Al-Jawzajani berkata, dia mempunyai
banyak hadis munkar. Al-Nasa’i berkata, dia seorang yang matruk. (Mizan
al-I’tidal, jil. 3, hal. 75-76 )
Ringkasnya, riwayat ini terdapat dua orang perawi dha’if dan ianya tidak
boleh dikuatkan dengan hadis perawi yang lebih lemah lagi daripadanya.
Keempat: Riwayat Abu Musa al-Asy’ari
حَدَّثَنَا
رَاشِدُ بْنُ سَعِيدِ بْنِ رَاشِدٍ الرَّمْلِيُّ حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ
عَنْ ابْنِ لَهِيعَةَ عَنْ الضَّحَّاكِ بْنِ أَيْمَنَ عَنْ الضَّحَّاكِ
بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَرْزَبٍ عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ
عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ
اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ
لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Rasyid bin Sa’id bin Rasyid al-Ramli menceritakan kepada kami katanya,
al-Walid menceritakan kepada kami daripada Ibn Lahi’ah daripada
al-Dhahhak bin Aiman daripada al-Dhahhak bin ‘Abdul Rahman bin ‘Arzab
daripada Abu Musa al-Asy’ari daripada Rasulullah s.a.w., sabdanya:
“Sesungguhnya Allah s.w.t. memerhatikan hamba-Nya pada malam nisfu
Sya’ban lalu mengampunkan semua makhluq-Nya kecuali orang yang syirik
atau orang yang suka berbalah. (Ibn Majah, no: 1390)
Muhammad bin Ishaq menceritakan kepada kami katanya Abu al-Aswad alNadhr
bin ‘Abdul Jabbar menceritakan kepada kami katanya Ibn Lahi’ah
menceritakan kepada kami daripada al-Zubair bin Sulaim daripada
al-Dhahhak bin ‘Abdul Rahman daripada ayahnya, katanya saya mendengar
Abu Musa menceritakan daripada Rasulullah s.a.w. lebih kurang sama
dengannya (riwayat sebelumnya).
Perawi-perawi riwayat ini:
1- Al-Walid bin Muslim
2- Abdullah bin Lahi’ah
3- Al-Dahhak bin Aiman al-Kalbi
4- Al-Dahhak bin ‘Abdul Rahman bin ‘Arzab
5- Al-Zubair bin Sulaim
6- ‘Abdul Rahman bin ‘Arzab
Sebab-sebab dhaif yang terdapat dalam riwayat ini ialah:
1- Al-Walid bin Muslim, seorang perawi mudallis. (Taqrib al-Tahzib, hal.
539). Di sini beliau meriwayatkan secara ‘An’anah (cara periwayatan
yang mengandaikan perawi itu tidak menerima secara langsung daripada
perawi sebelumnya.)
2- Ketidaktetapan berlaku dalam riwayat Ibn Lahi’ah
Ibn Lahi’ah meriwayatkan secara tidak tetap. Sekali meriwayatkan
daripada Al-Dahhak bin ‘Abdul Rahman. Pada kali yang lain pula
meriwayatkan daripada Al-Zubair bin Sulaim. Sekali menyebut sebagai
riwayat ‘Abdul Rahman bin ‘Arzab. Sekali menyebut riwayat ‘Arzab.
3- Sanad terputus antara Al-Dahhak bin ‘Abdul Rahman dan Abu Musa al-Asy’ari
Dalam Kasyf al-Hajah Syarh Sunan Ibn Majah, ‘Allamah Abu al-Hasan
al-Sindi menukilkan daripada al-Munziri bahawa Al-Dahhak bin ‘Abdul
Rahman tidak pernah bertemu Abu Musa al-Asy’ari. (Sunan Ibn Majah
berserta dengan Kasyf al-Hajah, juz. 2, hal. 86)
4- Dalam sanad yang satu lagi al-Dhahhak meriwayatkan daripada ayahnya.
Bagaimanapun ayahnya itu, ‘Abdul Rahman bin ‘Arzab adalah seorang perawi
majhul.
Berkenaan al-Dahhak bin Aiman al-Kalbi pula al-Zahabi menulis:
Beliau guru kepada Ibn Lahi’ah, tidak diketahui siapakah beliau itu dan
beliau mempunyai riwayat tentang malam nisfu Sya’ban. (Mizan al-I’tidal,
jil. 3, hal. 441)
Ringkasnya, sanad ini mudhtarib dan terdapat perawi mudallis, dha’if dan
majhul. Ini bermakna sanad sangat lemah dan kelemahan tidak boleh
ditampung walaupun dengan banyak jalan sanad.
Kelima: Riwayat Abu Hurairah
أخبرني عبد العزيز بن
علي الأزجي حدثنا عبيد الله بن أحمد بن علي المقرىء حدثنا محمد بن مخلد
حدثنا يعقوب بن إسحاق القلوسي. وأخبرنا القاضي أبو عمر القاسم بن جعفر بن
عبد الواحد الهاشمي حدثنا أبو بشر عيسى بن إبراهيم بن عيسى الصيدلاني حدثنا
أبو يوسف القلوسي حدثنا عبد الله بن غالب العبداني حدثنا هشام بن عبد
الرحمن الكوفي - وقال الصيدلاني هشام بن عبد الملك لعله بن عبد الرحمن
الكوفي وقدم علينا مرابطاً ثم اتفقا - عن الأعمش عن أبي صالح عن أبي هريرة
قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: " ليلة النصف من شعبان يغفر الله
لعباده إلا لمشرك أو لعبد مشاحن " .
‘Abdul al-‘Aziz bin ‘Ali al-Azji memberitahu kepada kami, katanya,
‘Ubaidullah bin Ahmad bin ‘Ali al-Muqri` menceritakan kami, katanya,
Muhammad bin Makhlad menceritakan kepada kami Ya’qub bin Ishaq al-Qalusi
dan Qadhi Abu ‘Umar al-Qasim bin Ja’far bin ‘Abd al-Wahid al-Hasyimi
menceritakan kepada kami katanya, Abu Bisyr ‘Isa bin Ibrahim bin ‘Isa
al-Saidalani menceritakan kepada kami katanya, Abu Yusuf al-Qalusi
menceritakan kepada kami katanya, Abdullah bin Ghalib al-‘Abdani
menceritakan kepada kepada kami katanya, Hisyam bin Abdul Rahman al-Kufi
menceritakan kepada kami- kata al-Saidalani Hisyam bin ‘Abdul Malik,
boleh jadi ia Ibn Abdul Rahman al-Kufi yang datang menemui kami di
Murabit, kemudian sanad mereka bertemu- daripada al-A’masy daripada Abi
Soleh daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Pada
malam nisfu Sya’ban Allah s.w.t. mengampunkan hamba-hamba-Nya kecuali
orang yang syirik atau orang yang suka berbalah. (Tarikh Baghdad, jil.
14, hal. 85)
Perawi-perawinya:
1 - ‘Abdullah bin Ghalib al-‘Abdani.
Hafiz Ibn Hajar mengatakan dia seorang yang mastur (tidak diketahui keadaannya) (Taqrib al-Tahzib, hal. 268)
2 - Hisham bin ‘Abdul Rahman,
Beliau adalah seorang tidak diketahui siapa. Al-Haithami mengatakan saya tidak mengenalinya. (Majma’ al-Zawa`id, jil 8, hal. 65)
Dalam sanad ini terdapat dua perawi yang tidak dikenali tentang kedudukannya dari segi jarh dan ta’dil.
Keenam: Riwayat Abu Bakar
عن عمرو بن الحارث ،
عن عبد الملك بن عبد الملك ، أن مصعب بن أبي ذئب حدثه ، عن القاسم بن محمد
بن أبي بكر ، عن أبيه ، أو عن عمه ، عن جده : عن النبي صلى الله عليه وسلم ،
قال : « ينزل الله إلى السماء الدنيا ليلة النصف من شعبان فيغفر لكل شيء
إلا رجل مشرك أو في قلبه شحناء »
Daripada ‘Amr bin al-Harith daripada‘Abdul Malik bin ‘Abdul Malik bahawa
Mus’ab bin Abi Zi`b menceritakan kepadanya daripada al-Qasim bin
Muhammad bin Abi Bakr daripada ayahnya atau bapa saudaranya daripada
datuknya daripada Rasulullah s.a.w. katanya: “Allah s.w.t. turun ke
langit dunia pada malam nisfu Sya’ban lalu mengampunkan setiap sesuatu
kecuali lelaki musyrik atau orang yang di dalam hatinya ada permusuhan.
(Syu’ab al-Iman, no: 3668)
1 - ‘Abdul Malik bin ‘Abdul Malik
Al-Zahabi menulis: al-Bukhari mengatakan hadisnya dipertikaikan, yakni
hadis ‘Amr bin al-Harith daripada ‘Abdul Malik (hadis ini). Ibn Hibban
dan lain-lain mengatakan, hadisnya tidak ada orang yang menjadi mutabi’
yakni tidak ada perawi lain turut sama meriwayatkannya. (Mizan
al-I’tidal, jil. 4, hal. 404)
Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada al-Bukhari yang mengatakan bahawa
hadisnya dipertikaikan, ini juga dinukilkan oleh al-‘Uqaili dan beliau
menjelaskan bahawa al-Bukhari memaksudkan hadis ini kemudian menyatakan,
dalam bab ini terdapat beberapa hadis yang lemah. Ibn ‘Adi juga
menukilkan kata-kata al-Bukhari dan menyatakan bahawa ‘Abdul Malik
terkenal dengan hadis ini dan tidak ada yang meriwayatkannya daripada
beliau kecuali ‘Amr bin al-Harith. Hadis ini dengan sanad ini munkar.
(Lisan al-Mizan, jil. 5, hal. 269)
Ini bermakna Ibn ‘Adi menyokong pendapat Imam al-Bukhari yang tidak
menganggap banyaknya sanad-sanad yang lemah itu menjadikannya sahih atau
sekurang-kurangnya hasan.
2 - Muhammad bin Abu Bakr al-Siddiq
Beliau dilahirkan pada tahun haji terakhir, meriwayatkan daripada ibunya
Asma` binti ‘Umais tetapi daripada ayahnya secara mursal (Tahzib
al-Tahzib, jil. 5, hal. 54). Ini kerana Muhammad dilahirkan pada tahun
kesepuluh hijrah manakala ayahnya meninggal pada tahun ketiga belas
hijrah.
Kata al-Bazzar:
Hadis-hadis yang saya sebutkan ini daripada Muhammad bin Abu Bakar
daripada ayahnya, dalam setengah sanad terdapat kedha’ifan. Oleh kerana
sekumpulan ahli ilmu menceritakannya maka saya menceritakan juga dengan
menjelaskan ‘illah (penyakit) yang terdapat padanya. (Musnad al-Bazzar)
Ringkasnya, riwayat ini mempunyai dua kedha’ifan kerana terdapat perawi
yang munkar dan terputus sanad antara Muhammad bin Abi Bakr dengan
ayahnya.
Ketujuh: Riwayat ‘Auf bin Malik
حدثنا أحمد بن منصور
قال أخبرنا أبو صالح الحراني يعني عبد الغفار بن داود قال أخبرنا عبد الله
بن لهيعة عن عبد الرحمن بن زياد بن أنعم عن عبادة بن نسي عن كثير بن مرة عن
عوف رضي الله عنه قال قال رسول الله ( يطلع الله تبارك وتعالى على خلقه
ليلة النصف من شعبان فيغفر لهم كلهم إلا لمشرك أو مشاحن )
Ahmad bin Mansur menceritakan kepada kami katanya, Abu Soleh al-Harrani
yakni ‘Abdul Ghaffar bin Daud menceritakan kepada kami katanya Abdullah
bin Lahi’ah memberitahu kepada kami daripada Abdul Rahman bin Ziyad bin
An’um daripada ‘Ubadah bin Nusay daripada Kathir bin Murrah daripada
‘Auf katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah s.w.t. memerhatikan
hamba-hamba-Nya pada malam nisfu Sya’ban lalu mengampunkan semua mereka
kecuali orang yang melakukan syirik atau orang yang suka berbalah.
(Musnad al-Bazzar, no: 2754)
Perawi-perawi dhaif dalam sanad ini ialah:
1- Abdullah bin Lahi’ah
2- ‘Abdul Rahman bin Ziyad bin An’um
Al-Nasa`i berkata: ‘Abdul Rahman bin Ziyad bin An’um seorang yang
dha’if. Al-Daruqutni mengatakan: Beliau seorang yang tidak kuat. Ibn
Hibban berkata: Beliau meriwayatkan hadis-hadis mawdhu’ daripada
perawi-perawi thiqah dan meriwayatkan secara tadlis daripada Muhammad
bin Sa’id bin Maslub. Ishaq bin Rahawaih berkata: Saya mendengar Yahya
bin Sa’id berkata, Abdul Rahman bin Ziyad seorang yang thiqah. Abdul
Rahman bin Mahdi berkata: “Tidak sepatutnya meriwayatkan daripada
al-Ifriqi walaupun satu hadis. Ibn ‘Adi berkata: Kebanyakan hadisnya
tidak diriwayatkan oleh perawi lain.
Ibn al-Qattan berkata: “Di kalangan ulama ada yang menta’dilkan dan
mempertahankannya daripada ditolak periwayatannya. Tetapi yang
sebenarnya, beliau seorang yang dha’if. Al-Fallas berkata: Yahya dan
Abdul Rahman tidak meriwayatkan hadis daripada Abdul Rahman al-Ifriqi.
(Mizan al-I’tidal, jil. 4, hal. 280-281)
Ibn Abi Hatim berkata, saya bertanya kepada ayah saya (Abu Hatim) dan
Abu Zur’ah tentang al-Ifriqi dan Ibn Lahi’ah, siapakah yang lebih
disukai. Mereka berdua menjawab: Kedua-duanya adalah dha’if. (Tahzib
al-Tahzib, jil. 3, hal. 244)
Hadis ini ada juga diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah daripada Kathir bin Murrah secara mursal melalui Hajjaj daripada Makhul.
حدثنا أبو خالد
الاحمر عن حجاج عن مكحول عن كثير بن مرة الحضرمي قال : قال رسول الله صلى
الله عليه وسلم : " إن الله ينزل ليلة النصف من شعبان فيغفر فيها الذنوب
إلا لمشرك أو مشاحن ".
Abu Khalid al-Ahmar menceritakan kepada kami daripada Hajjaj daripada
Makhul daripada Kathir bin Murrah al-Hadhrami katanya Rasulullah s.a.w.
bersabda: “Sesungguhnya Allah s.w.t. turun pada malam nisfu Sya’ban lalu
mengampunkan dosa-dosa kecuali kepada orang yang syirik atau orang yang
suka berbalah. (Musannaf Ibn Abi Syaibah, jil. 7, hal. 139)
Kedudukan Makhul dari sudut jarh dan ta’dil telah pun dibincangkan
sebelum ini manakala kedudukan Hajjaj nanti akan disebutkan dalam
perbincangan tentang hadis ‘Aishah.
Kelapan: Riwayat ‘Aishah
حَدَّثَنَا عَبْدَةُ
بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الْخُزَاعِيُّ وَمُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الْمَلِكِ
أَبُو بَكْرٍ قَالَا حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ أَنْبَأَنَا
حَجَّاجٌ عَنْ يَحْيَى بْنِ أَبِي كَثِيرٍ عَنْ عُرْوَةَ عَنْ عَائِشَةَ
قَالَتْ فَقَدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ
لَيْلَةٍ فَخَرَجْتُ أَطْلُبُهُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ رَافِعٌ
رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ
يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قَالَتْ قَدْ قُلْتُ وَمَا بِي
ذَلِكَ وَلَكِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ
إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى
السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ
كَلْبٍ
‘Abdah bin ‘Abdullah al-Khuza’i dan Muhammad bin ‘Abdul Malik Abu Bakr
berkata, Yazid bin Harun menceritakan kepada kami katanya Hajjaj
memberitahu kepada kami daripada Yahya bin Abi Kathir daripada ‘Urwah
daripada ‘Aishah katanya: “Saya mendapati Rasulullah s.a.w. tiada pada
satu malam lalu saya keluar mencarinya. Rupa-rupanya baginda berada di
perkuburan Baqi’ dalam keadaan mendongak kepalanya ke langit. Maka
baginda bersabda: “Wahai ‘Aishah adakah awak bimbang Allah dan Rasul-Nya
berlaku zalim terhadap awak? ‘Aishah menjawab: “Memang saya berkata
demikian, dan tidak sepatutnya saya buat demikian.Tetapi saya menyangka
tuan pergi kepada salah seorang isteri tuan. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya Allah s.w.t. turun pada malam nisfu Sya’ban ke langit
dunia lalu mengampunkan sebanyak bulu kambing Bani Kalb. (Ibn Majah, no:
1389, al-Tirmizi, no: 739)
Perawi-perawi:
1- Hajjaj bin Artah
Hajjaj bin Artah, seorang yang dhaif lagi matruk. Jika perawi itu
seorang yang matruk maka hadisnya tidak boleh diterima sama sekali.
Tambahan pula, Hajjaj berseorangan meriwayatkan hadis ini. Selain itu,
Hajjaj merupakan seorang mudallis, dan riwayat mudallis tidak boleh
diterima apabila dia meriwayatkan secara ‘an’anah. Beliau tidak
mendengar daripada Yahya bin Abi Kathir.
2- Yahya bin Abi Kathir
Yahya bin Abi Kathir tidak mendengar hadis daripada ‘Urwah. Beliau juga seorang mudallis.
Setelah mengemukakan hadis ini dalam kitabnya, al-Tirmizi membuat
komentarnya: “Dalam bab ini ada diriwayatkan daripada Abu Bakar. Hadis
‘Aishah kami tidak mengetahuinya kecuali melalui jalan ini daripada
hadis al-Hajjaj. Saya mendengar Muhammad (yakni Imam al-Bukhari)
mendha’ifkan hadis ini dan mengatakan Yahya bin Abi Kathir tidak
mendengar daripada ‘Urwah dan al-Hajjaj pula tidak mendengar daripada
Yahya bin Abi Kathir.” (Jami’ al-Tirmizi, hadis no: 739)
Mengapa al-Tirmizi menyebutkan dalam Wa Fi al-Bab daripada Abu Bakar
sahaja sedangkan ada juga diriwayatkan daripada Abu Musa, Mu’az dan Abu
Hurairah?
Adakah beliau tidak mengetahui selain riwayat ‘Aishah atau Abu Bakar
sahaja. Hal ini tidak sesuai untuk diletakkan kepada beliau yang
merupakan seorang pengkaji dan pengkritik hadis. Alasan paling sesuai
untuk ditafsirkan maksud Imam al-Tirmizi itu ialah lemahnya hadis-hadis
lain dalam bab ini dan ia tidak boleh dijadikan hujah dan sandaran
bahawa malam tersebut mempunyai kelebihan khusus.
Penilaian dari sudut dirayah
Hadis-hadis tentang turunnya Allah s.w.t. ke langit dunia (nuzul Ilahi)
adalah sahih lagi sabit walaupun terdapat perbezaan pendapat dalam
mentakwilkannya. Akan tetapi apakah maksud Allah memerhatikan
hamba-hambanya? Ini agak mengelirukan kerana perbuatan memerhatikan dan
menjenguk tidak tersebut dalam hadis yang sahih.
يَنْزِلُ رَبُّنَا
تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ
يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ فَيَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي
فَأَسْتَجِيبَ لَهُ وَمَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ وَمَنْ
يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ
Tuhan kita yang Maha Tinggi dan Agung turun pada setiap malam ke langit
dunia ketika tinggal satu pertiga malam. Dia berfirman, adakah sesiapa
yang berdoa kepada-Ku? Aku pasti memperkenan untuknya, adakah sesiapa
yang meminta dari-Ku? Aku pasti berikan kepadanya dan adakah sesiapa
yang meminta keampunan dari-Ku? Aku pasti mengampuninya. (Sahih Muslim)
Dalam riwayat yang lain disebutkan
Allah s.w.t. turun pada setiap malam ke langit dunia ketika berlalu satu
pertiga malam dan berfirman: “Akulah raja, Akulah raja. Siapakah yang
berdoa kepada-Ku? Aku pasti akan memperkenankan untuknya. Siapakah yang
meminta daripada-Ku? Aku pasti akan memberikan kepadanya. Siapakah yang
memohon ampun daripada-Ku? Aku pasti akan mengampunkannya. Demikianlah
yang berlaku sehingga fajar menyinari.
Panggilan Allah akan hamba-hamba-Nya supaya mereka memohon keampunan dan
ini berlaku pada setiap hari. Tetapi riwayat yang menyebutkan Allah
menjenguk hamba-hamba-Nya itu khusus pada nisfu Sya’ban sahaja.
Nampaknya malam ini sangat istimewa berbanding dengan malam-malam lain kerana untuk mendapat keampunan tidak perlu sembahyang dan munajat kepada Allah kerana memadai hanya dengan tidak melakukan syirik dan dendam kepada orang lain. Kalau begitu alangkah mudahnya, cukup dengan tidur sahaja pada malam itu sudah mendapat keampunan. Apa yang penting ialah memastikan diri tidak melakukan syirik dan berbalah dengan orang lain!
Mengapa disebutkan Allah memerhatikan. Tidakkah bercanggah dengan
riwayat yang terdapat dalam Sahih Muslim bahawa Allah s.w.t. turun pada
setiap malam, bukan malam nisfu Sya’ban sahaja?
Sedangkan pengampunan itu perlu kepada taubat dan amal soleh.
أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنْكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum lagi
nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang
dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata
(wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam
perjuangan)? (Aali ‘Imran: 142)
عَنْ أَبِي
هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ
تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ
فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلَّا رَجُلًا
كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ أَنْظِرُوا
هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا
أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Pintu-pintu syurga dibuka pada setiap hari Isnin dan Khamis lalu
diampunkan semua hamba yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatupun
kecuali seseorang yang bermusuhan dengan saudaranya. Maka dikatakan,
tangguhkanlah kepada dua orang ini sehingga mereka berdamai,
tangguhkanlah kepada dua orang ini sehingga mereka berdamai,
tangguhkanlah kepada dua orang ini sehingga mereka berdamai. (Malik,
Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Majah)
Hadis ini bermaksud supaya orang yang berbalah dengan saudaranya itu
menyelesaikan dengan segera perbalahan mereka dan berdamai. Walaupun
dari satu sudut hadis ini mukhtasar, namun ia hendaklah difahami
berdasarkan kepada hadis nuzul Ilahi keampunan diberikan kepada sesiapa
yang bertaubat.
Orang yang berbalah tidak disebutkan di dalam hadis ini secara mutlak tidak diampunkan sebagaimana yang terdapat dalam hadis Allah memerhatikan hamba-hamba-Nya. Tetapi keampunan akan diberikan juga jika mereka berdua itu berdamai.
Perhatikan bagaimana lafaz hadis yang sahih telah diubah sehingga
memberi makna baru dengan mengkhususkan malam nisfu Sya’ban dengan
perhatian Allah s.w.t.
Ketidaktetapan pada matan
Dalam matan riwayat Allah memerhatikan hamba-hamba-Nya ini terdapat
lafaz “atau” yang tentunya mempunyai pelbagai tafsiran dari sudut bahasa
dan juga usul hadis. Menurut bahasa, ia bermaksud kepelbagaian,
pilihan, makna “bahkan” dan sebagainya. Dari segi usul hadis, boleh jadi
“atau” di sini, dipakai dengan pengertian bahasa atau digunakan oleh
perawi bagi menunjukkan beliau syak dalam menyebutkan lafaz yang asal.
Jika “atau” di sini dengan makna syak perawi, adakah perawi dalam setiap
sanad syak dalam periwayatan mereka. Hanya dalam hadis Abi Tha’labah
tidak ada syak manakala hadis ‘Aishah menyebutkan keampunan itu secara
mutlak. Ini bermakna syak berlaku dalam enam riwayat di mana dalam
setiap sanad ada sahaja perawi yang syak.
Jika kita menafikan syak perawi, adakah syak itu datang dari Rasulullah
s.a.w.? Andaian ini tidak mungkin diterima kerana amat jauh untuk
difikirkan baginda mengalami keraguan dalam penyampaian hadis.
Jika diandaikan “atau” di sini bukan dengan makna syak perawi, maka
boleh jadi ia mengandungi makna ‘bahkan”. Ini bererti bahawa hadis itu
bermaksud orang yang berbalah sama dengan orang musyrik. Mengapa pula
disamakan antara dosa orang yang suka berbalah dengan orang musyrik.
Bukankah dosa syirik sekali-kali tidak akan diampunkan Allah s.w.t.?
Dalam riwayat Abdullah bin ‘Amr pula menyebutkan orang yang membunuh
diri dan riwayat Abi Tha’labah menyebutkan orang kafir dibiarkan dan
ditangguhkan kedudukan mereka.
Sekiranya malam 15 Sya’ban mempunyai kelebihan tentu sekali memperbanyak
ibadat pada malam itu digalakkan kerana kelebihannya itu seperti malam
Lailatul Qadar. Apa makna melarang orang ramai beribadat pada malam
nisfu Sya’ban dalam masa sama disabitkan akan kelebihannya.
Setengah pihak mempercayai malam 15 Sya’ban sebagai malam yang mulia
kerana pada malam itulah al-Qur`an diturunkan. Sedangkan ahli tafsir
mengatakan itu adalah malam Lailatul Qadar bukan malam nisfu Sya’ban.
(lihat Tuhfah al-Ahwazi, jil. 3, hal. 504)
Jika diperhatikan, sebenarnya 15 Sya’ban adalah hari yang begitu penting
bagi golongan Syi’ah dan ditunggu oleh mereka. Menurut kepercayaan
mereka pada malam itu Imam kedua belas di sisi mereka telah dilahirkan.
Menurut mereka pada malam inilah, kononnya Imam Mahdi dilahirkan.
Al-Majlisi dalam kitabnya Bihar al-Anwar menukilkan riwayat daripada
salah seorang imam, katanya:
Diriwayatkan daripada Musa bin Muhammad bin al-Qasim bin Hamzah bin Musa
bin Ja’far katanya, Hakimah binti Muhammad bin Ali bin Musa bin Ja’far
bin Muhammad bin Ali bin Hasan bin Ali bin Abi Talib berkata, Abu
Muhammad, al-Hasan bin Ali telah mengutuskan seseorang kepadaku katanya,
wahai makcik, berbukalah di rumah kami pada malam ini kerana
sesungguhnya ia adalah malam nisfu Sya’ban. Sesungguhnya Allah s.w.t.
akan membangkitkan pada malam ini seorang hujah yakni hujah-Nya di muka
bumi. (Bihar al-Anwar, jil. 51, hal. 2)
Dalam keadaan tidak sedar orang yang mengkhususkan malam ini dengan amal
ibadat kerana menyakini adanya kelebihan, mereka merayakan satu malam
yang sangat istimewa di sisi Syi’ah Imamiyyah.
Janganlah kita menganggap sesuatu itu mempunyai kelebihan yang khusus
sedangkan ia tidak mempunyai asas dalam ajaran Islam. Lebih parah lagi,
keistimewaan itu sebenarnya berasal daripada tradisi kepercayaan luar
daripada Islam yang hanya mahu menonjolkan fahaman dan bid’ah mereka.
Apatah lagi salah seorang daripada perawi hadis ini seorang yang dituduh
mempunyai fahaman Syi’ah yang melampau, iaitu ‘Abdullah bin Lahi’ah.
(lihat Mizan al-I’tidal, jil. 4, hal. 167-174)
Dengan mereka-reka hadis kelebihan malam nisfu Sya’ban seolah-olah
membuka ruang maksiat sepanjang tahun dan apabila tibanya nisfu Sya’ban
baru tiba masanya untuk mendapatkan kelebihannya. Sedangkan untuk
mensabitkan kelebihan memerlukan kepada dalil yang sahih.
والله أعلم بالصواب
Disediakan oleh:
Muhammad Hanief bin Awang Yahaya
|
No comments:
Post a Comment