Pertama: I’tiqad kepercayaan yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam, iaitu;
1) I’tiqad bahawa alam ini qadim,tidak ada penciptanya atau alam ini kekal selama-lamanya.
2) I’tiqad
bahawa pencipta alam ini baru atau menyerupai mana-mana makhluk atau
bersifat dengan sifat-sifat baharu ataupun mempunyai anak isteri atau
berbilang-bilang ataupun menerima mati.
3) I’tiqad
menafikan kebenaran apa yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W atau
I’tiqad bahawa Nabi Muhammad yang sebenar ialah yang disebutkan Muhammad
yang batin bukan Muhammad yang zahir atau I’tiqad bahawa kerasulan Nabi
Muhammad S.A.W untuk orang-orang Arab sahaja atau I’tiqad bahawa
hukum-hukum Islam yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W adalah hukum yang
lapuk yang tidak sesuai dengan keadaan zaman atau I’tiqad mengingkari
mana-mana rasul Tuhan atau I’tiqad bahawa ada lagi nabi dan rasul
selepas Nabi Muhammad S.A.W yang diutuskan Allah swt membawa Syariat.
4) I’tiqad
bahawa tidak ada dosa dan pahala,tidak ada Syurga dan Neraka,tidak ada
bangkit hidup semula sesudah mati,tidak ada Hari Kiamat dan segala
perkara yang berlaku padanya.
5) I’tiqad bahawa roh orang mati berpindah dari satu tubuh ke tubuh yang lain.
6) I’tiqad agama kafir lebih baik dari agama Islam.
7) Perasaan ragu-ragu terhadap mana-mana satu daripada perkara di atas.
8) Berbalik-balik
hati di antara hendak menjadi kafir atau tidak. Atau bercita-cita
hendak menjadi kafir pada masa yang akan datang.
Kedua: Perkataan.
Iaitu tiap-tiap
perkataan yang mencaci atau menghina,merendahkan,mengejek-ngejek dan
mempermainkan nama Allah swt, sifat-sifat-Nya,malaikat-malaikat-Nya,
hukum-hukum-Nya,ayat-ayat-Nya serta hukum-hukum yang diterangkan oleh
rasul-Nya.
Juga perkataan yang
menolak, menafi dan mengingkari segala perkara yang sekata alim ulama’
mensabitkannya atau menafikannya, serta diketahui oleh orang ramai
bahawa perkataan itu dari agama.
Misalnya seperti katanya mengenai mana-mana hukum Islam:
1) “Hukum apa ini?”
2) “Hukum ini sudah lapuk.”
3) “Zaman sekarang tak patut mengharamkan riba kerana menghalang kemajuan.”
4) “Dalam zaman yang serba maju ini kaum wanita tak perlu berbungkus-bungkus.”
5) “Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya.”
6) “Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadah apa salahnya?”
7) “Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung rugi apa salahnya?”
8) “Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam sampai kiamat kita tidak akan maju.”
9) Berkata:
“Perbuatan demikian tidak beradab” - apabila diceritakan bahawa Nabi
Muhammad S.A.W menjilat sisa makanan di jarinya selepas makan.
10) Berkata “Aku tidak mahu memotong kuku walaupun sunat” - apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunat.
11) Berkata: “Si anu sudah menyalak” - semasa ia mendengar azan.
12) Membaca
ayat-ayat suci al-Quran, hadis-hadis Nabi Muhammad dan nama-nama Allah
swt dengan cara mempersendakan dan mempermain-mainkannya.
13) Kata-kata
mengkafirkan orang Islam, padahal orang itu tidak diyakini ada padanya
sebab untuk menjadikannya kafir, sebagaimana yang diterangkan oleh hadis
Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.
14) Kata-kata yang menggantungkan jadi kafir dengan sesuatu keadaan, misalnya:
i. Seseorang
dituduh melakukan sesuatu perkara, lalu ia berkata: “Kalau aku lakukan
perkara itu maka jadilah aku kafir.” Sekiranya ia berdusta, yakni ia
sebenarnya telah melakukan perkara tersebut,maka jadilah ia kafir,
kecuali kata-katanya itu dituturkan dengan tujuan hendak melepaskan diri
daripada tuduhan itu sahaja, bukan redha menjadi lafir.
Sungguhpun
demikian, ia telah menjadi dosa besar dengan kata-kata tersebut. Dan
sekiranya ia benar, yakni tidak melakukan perkara tersebut, tidaklah ia
menjadi kafir,tetapi ia berdosa kerana perkataannya itu memberi erti
ketiadaan tetap keazamannya berpegang teguh kepada agama Islam.
ii. Seseorang
diingatkan supaya jangan berzina umpamanya lalu ia berkata “Kalau aku
berzina maka kafirlah aku”. Sekiranya kata-kata itu dilemparkan dengan
tujuan tidak redha mencemarkan dirinya dengan perbuatan berzina seperti
tidak redha menjerumuskan dirinya menjadi kafir maka tidaklah ia menjadi
kafir. Tetapi ia berdosa dengan menggunakan perkataan tersebut dengan
alasan tersebut, dan sekiranya kata-katanya itu dituturkan dengan tujuan
redha menjadi kafir kalau ia melakukan zina,maka ia menjadi kafir.
Kerana apabila seseorang Islam redhakan kufur, ia kafir [murtad].
Wal‘iyaazu billah.
Ketiga: Perbuatan
1) Tiap-tiap
perbuatan yang dilakukan untuk menghormati dan mengagungkan mana-mana
makhluk dengan cara yang ditentukan hanya untuk membesar dan
mengagungkan Allah swt, seperi sujud kepada makhluk walaupun dengan niat
tidak menghormatinya sama seperti Tuhan, atau tunduknya kepada
mana-mana makhluk sehingga sampai kepada had sekurang-kurangnya ruku’
sembahyang dengan tujuan menghormatinya sama seperti Allah swt. Kalau
bukan dengan tujuan tersebut ia tidak menjadi murtad tetapi hukumnya
tetap haram.
2) Melakukan upacara ibadat terhadap sesuatu makhluk yang disembah oleh orang-orang kafir menurut upacara yang mereka lakukan.
3) Melakukan mana-mana cara ibadat terhadap yang lain dari Allah Azza Wajalla.
4) Meletakkan
ayat-ayat suci, hadis-hadis, nama-nama Tuhan ,
Rasul-rasul,Malaikat-malaikat, ilmu agama di tempat yang kotor dengan
tujuan menghina, kalau tidak dengan tujuan tersebut ia tetap HARAM.
Demikian juga haramnya menggunakan kertas-kertas yang megandungi
ayat-ayat suci, hadis-hadis, nama-nama Tuhan, rasul-rasul,
malaikat-malaikat dan ilmu agama untuk membungkus dan mengesat serta
menyapu sesuatu. Kalau dengan tujuan mempersenda maka orang tersebut
menjadi murtad.
5) Meninggalkan sembahyang
Orang yang
meninggalkan sembahyang fardhu jika ia ingkar wajibnya, jadilah ia kafir
keluar dari agama Islam, kerana ia mengingkari satu daripada perkara
yang memang diketahui oleh orang ramai bahawa perkara tersebut adalah
wajib atas setiap orang-orang Islam yang sihat akalnya dan cukup
syaratnya.
Kalau ditinggalkan
dengan sebab malas sahaja, padahal ia I’tiqadkan wajibnya, maka mengenai
orang ini, alim ulama berselisih kepada tiga pendapat:
I. Orang
itu tidak menjadi kafir tetapi ia menjadi fasik yang wajib atas pihak
berkuasa bertindak menyuruhnya bertaubat kembali mengerjakan sembahyang,
dan sekiranya ia tidak mahu melakukan taubat, maka kenalah dilakukan ke
atasnya ‘hukuman had’ iaitu dibunuh dengan pedang.
II. Orang itu menjadi kafir juga, sama seperti dengan keadaan yang mengingkari wajibnya.
III. Orang itu tidak menjadi kafir dan tidak pula dibunuh, tetapi dita’zirkan dengan dipenjarakan sehingga ia megerjakan sembahyang.
Dengan
keterangan yang tersebut hendaklah diingatkan bahawa seseorang yang
cintakan keselamatan dan kebahagiaan dirinya dan agamanya, jangan
sesekali mendekati, apalagi melakukan perkara yang hukumnya berkisar di
antara murtad dan dosa besar. Semoga Allah swt selamatkan kita dengan
Taufiq dan Hidayah-nya.
~Petikan dari Kitab “Mestika Hadis Rasulullah SAW”, Jilid 1, Bab 7. Keluaran JAKIM.
Kata Alu-aluan Oleh: YAB Tun Abdul Razak Dato’ Husin, Pada 03 Sep 1973.
No comments:
Post a Comment