Tuesday, June 25, 2013

Malaikat Kiraman Katibin Mencatat Amal Manusia


Malaikat Kiraman Katibin Mencatat Amal Manusia
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Percaya pada para malaikat adalah salah satu daripada Rukun Iman. Malaikat di ciptakan oleh Allah SWT daripada cahaya sedangkan penciptaan jin di ciptakan daripada api.

Kiraman Katibin (Arab: كراماً كاتبين) adalah dua malaikat yang terletak di bahu kanan dan kiri setiap makhluk-Nya. Menurut syariat Islam, jika ada seseorang yang melakukan amal (perbuatan) yang lebih banyak, maka ia akan dikirim berdasarkan perbuatan semasa hidupnya di dunia, samaada ke syurga atau neraka. Para malaikat ini termasuk dalam golongan Hafazhah (Para Penjaga).

Di dalam al-Quran terdapat ayat yang menceritakan mengenai malaikat Kiraman Katibin. Kedua-dua malaikat ini disebutkan dalam al-Quran pada surah Qaaf, Al Infithaar, Ar-Ra’du dan Az-Zukhruf.

Gerak-gerik manusia dan perkataannya dicatat oleh para malaikat :

1. Firman Allah SWT maksudnya :"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya", "(iaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri". "Tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir". (Surah al-Qaaf (50) ayat 16 - 18.)

2. Firman Allah SWT maksudnya : "Padahal sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu), Yang mulia (di sisi Allah) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu). (Surah al-Infithaar ayat 10 - 11)

3. Firman Allah SWT maksudnya : "Apakah mereka mengira bahwa Kami tidak mendengar rahsia dan bisikan-bisikan mereka? Sebenarnya (Kami mendengar), dan utusan-utusan (malaikat-malaikat) Kami selalu mencatat di sisi mereka. (Surah az-Zukhruf ayat 80)

4. Firman Allah SWT masudnya : "Sama saja (bagi Tuhan), siapa di antaramu yang merahasiakan ucapannya, dan siapa yang berterus terang dengan ucapan itu, dan siapa yang bersembunyi di malam hari dan yang berjalan (menampakkan diri) di siang hari. Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. (Surah ar-Ra’du ayat 10-11)

Sahabat yang dimuliakan,
Apabila manusia dan jin dihimpunkan di Padang Mahsyar maka setiap manusia dan jin akan diberikan Kitab Amal masing-masing. Kitab ini adalah semua catatan yang dilakukan oleh dua malaikat pencatat amal iaitu malaikat Kiraman Katibin semasa mereka hidup di dunia.

Kedua malaikat ini terkenal juga sebagai "Pencatat Yang Mulia", mereka menjadi saksi dan telah menuliskan kitab amal manusia dan jin, kitab amal akan berterbangan dari 'Arsy kearah leher tiap-tiap makhluk pada "Hari Penghakiman" di Mahsyar. Sesuai dengan beberapa surah di dalam al-Quran, iaitu:

1. Firman Allah SWT maksudnya : “ Dan datanglah tiap-tiap diri, bersama dengan dia seorang malaikat penggiring dan seorang malaikat penyaksi. (Surah Qaaf ayat 21)

2. Firman Allah SWT maksudnya : “ Inilah Kitab (catatan) Kami, yang menuturkan kepadamu dengan benar; kerana sesungguhnya Kami telah menyuruh mencatat segala perbuatan yang pernah kamu kerjakan. (Surah al-Jaatsiah ayat 29)

3. Firman Allah SWT maksudnya : “ Dan tiap-tiap manusia itu, telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetap nya kalung) pada lehernya, dan Kami keluarkan baginya di hari kiamat satu kitab yang dijumpainya dengan terbuka. Bacalah kitabmu: cukuplah dirimu sen­diri pada hari ini sebagai penghisab terhadapmu. (Surah al-Israak ayat 13-14)

Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermak­sud:
"Tidaklah salah seorang daripada kamu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah dipertemankan den­gan seorang kawannya daripada jin dan seorang kawannya daripada kalangan malaikat. Sahabat bertanya: Adakah engkau juga wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Dan aku pun. Akan tetapi Allah menolong aku daripada gangguannya, maka tidak­lah ia mendorong saya, kecuali kepada kebaikan."

Malaikat yang menjadi pendamping manusia sentiasa mengajak kepada kebaikan. Jin pendamping manusia yang disebut sebagai Qarin adalah jenis jin yang sentiasa membisikkan kejahatan kepada manusia jika Qarin ini kafir. Tetapi jika Qarin ini Islam dan bertakwa maka Qarin ini akan membisikkan kebaikan dan sentiasa mengajak kepada beramal soleh. Seperti Qarin Rasulullah SAW yang telah masuk Islam dan sentaiasa mengajak kepada kebaikan.

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Tidak ada sesiapa diantara kamu melainkan baginya ditugaskan Qarin dari kalangan Jin, Mereka berkata : 'Walaupun kamu Ya Rasulullah?', Baginda menjawab : 'Walaupun Aku, akan tetapi Allah menolongku dan aku selamat darinya (atau - mengIslamkannya), maka dia hanya akan memerintahku melakukan perkara yang baik" (Hadis Riwayat Muslim)

Terdapat lima malaikat bersama manusia iaitu :

1. Dua malaikat menjaga pada malam hari.

2. Dua malaikat menjaga pada siang hari dan

3. Satu malaikat yang tidak pernah berpisah dengannya.

Hal tersebut dijelaskan dengan firman Allah SWT yang bermaksud : “ Baginya (manusia) ada malaikat-malaikat yang bergantian (menjaganya), dimuka dan dibelakangnya."
(Surah Ar-Ra'd ayat 11)

Yang dimaksud malaikat yang bergantian iaitu malaikat malam dan siang yang melindunginya dari syaitan dari golongan jin dan manusia. Kedua malaikat menulis amal kebaikan dan keburukan di antara kedua bahunya, lidahnya sebagai pena, mulutnya sebagai tempat tinta dan ludahnya sebagai tinta, keduanya menulis amal manusia sampai datang hari kematiannya.

Sahabat yang dihormati,
Semasa seseorang sedang nazak maka di utuskan 4 malaikat akan memberi salam :

1- Malaikat pemberi rezeki akan memberi salam dan berkata : ” Akulah yang ditugaskan memberi rezekimu, samada di timur atau di barat bumi ini. Maka sudah sampai saat aku tidak dapat memberi rezeki lagi kepadamu walau sesuap rezeki “.

2- Malaikat yang mengurus makan dan minum memberi salam dan berkata : Akulah yang menguruskan makan dan minummu dan sebagainya samada semasa kamu berada di timur atau barat di atas muka bumi ini. Pada masa ini aku tidak dapat memberi kamu minum walau seteguk air “.

3- Malaikat yang memberi nafas memberi salam dan berkata : ” Akulah yang mengurus segala pernafasanmu semasa kamu berada di timur atau di barat di atas muka bumi ini, kini aku tidak lagi dibenarkan memberi kepadamu walau satu nafas daripada nafas-nafasmu apabila ajalmu telah sampai “.

4- Malaikat ajal memberi salam dan berkata : ” Akulah yang mengurus ajalmu dan sentiasa bersamamu semasa kamu berada di timur atau di barat di atas muka bumi ini, kini aku akan mengambil ajalmu".

Apabila 4 Malaikat telah selesai bertemu dengan insan yang nazak, maka Kiraman Katibin akan membentang segala amalan yang telah diusahakan semasa hayat di dunia. Samada usaha bersungguh-sungguh ke arah melakukan kebaikan atau usaha bersungguh-sungguh untuk melakukan kemungkaran, semua Kiraman Katibin akan timbang dengan sebaik-baik timbangan agar serasi dengan sifat Allah SWT Yang Maha Adil. (Nota : Rumusan daripada kitab Himpunan Kisah-Kisah Malaikat. m/s : 155-156.)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuraqabah kepada Allah SWT dan yakinlah sepenuhnya bahawa Allah SWT sentiasa melihat dan memerhatikan setiap amal perbuatan yang kita lakukan. Dia telah mengutus dua malaikat sentiasa mencatat amal perbuatan kita samaada baik atau buruk. Maka perlulah kita merasa malu kepada Allah SWT dan malu kepada dua malaikat yang ada di kanan dan kiri jika kita sanggaup melakukan maksiat dan dosa kepada Allah SWT. Oleh itu bertaubatlah dan teruskan beramal soleh dan amal ibadah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT supaya Kitab Amal kita bermarkah CEMERLANG dan mendapat Gred Satu untuk layak masuk syurga dan terlepas daripada di masukkan ke dalam neraka.

2 comments:

  1. askom admin.saya sedikit musykil berkenaan post ini.yg saya tahu nama malaikat yg memcatat ini nama raqib dan atib.adakah kiraman katibin ini sama atau berlainan,adakah tugas mereka sama @berbeza walaupon sedikit?.mohon pencerahan.terima kasih.

    ReplyDelete
  2. minta admin reply terus ke email.terima kasih

    ReplyDelete