Friday, July 27, 2012

Mengapa wajib mendahulukan al-Quran dan Sunnah mengikut pandangan Salaf?


أَنْ الْحَمْدُ لِلَّهِ نَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوذُ بِهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا مَنْ يَهْدِ اللَّهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَ
ا هَادِيَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا
Amma Ba'du. Saudaraku yang dikasihi Allah sekalian, sahabat nabi tak sama seperti kita. Sahabat nabi menyaksikan wahyu, mereka diangkat dan dimuliakan oleh Allah dan Allah azza wajalla menceritakan perihal mereka di dalam al-Quran sebagai manusia yang paling mulia yang tidak akan menyamai dengan pengorbanan kita terhadap agama Islam. Mereka jujur dalam banyak perkara dan kerana mereka jugalah, Islam sampai kepada kita. Pengorbanan mereka yakni harta dan jiwa melebihi pengorbanan mana-mana manusia sejak zaman nabi Adam. Malah mereka tidak membelot dan tidak pula mempunyai kepentingan diri. Sahabat nabi diiktiraf oleh nabi sendiri. Kelebihan dan keistimewaan para sahabat lebih menyerlah dari matan hadis berikut:

لا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ
Jangan kamu cerca (caci dan maki) sahabat-sahabatku! Maka kalaulah seseorang di antara kamu membelanjakan emas seumpama bukit Uhud (banyaknya)tidaklah sampai (nilainya)menyamai seperti secupak atau setengah cupak yang mereka (sahabat-sahabatku) belanjakan. (Hadis Sahih Bukhari)

Jawapan ini bagi menyangkal dakwaan dari kita yang mempertikaikan mengapa ada sahabat melakukan bid’ah dibolehkan sedangkan kita tidak dibenarkan sama sekali melakukan bid’ah. Jadi, untuk mereka ini kita akan bertanya kembali, apa jenis bid’ah yang dilakukan oleh sahabat nabi? Adakah kamu maksudkan ia perihal solat tarawih? Atau mungkin juga Qunut? Atau mungkin juga membukukan al-Quran?
Ikhwan yang dimuliakan,  tidaklah layak bagi kita membandingkan diri kita dengan sahabat nabi. Mereka telah bersama-sama nabi malah ada yang di antaranya telah bersama nabi kita lebih 20 tahun, dan ada di antara darinya telah menyaksikan hampir keseluruhan bagaimana wahyu Allah diturunkan kepada nabi Muhammad shallallahu alaihi wasallam. Mereka yang mempertikai sahabat nabi ini bolehlah kita tafsirkan mereka sebagai golongan dari agama Syiah. Tarekat tasawuf juga dari kelompok Syiah.
Tuan-tuan, perkara bid’ah suatu perbahasan panjang yang pasti bakal/telah menyakiti hati manusia yang mempunyai penyakit hati. Mereka ini adalah pengamal tegar perkara bid’ah dan ahlul bid’ah ini sememangnya telah merosakkan kemurnian dan kesucian Islam. Mereka mencari dalil dan nas untuk memuaskan hati mereka, jika mereka tidak menjumpainya maka mereka akan menggunakan logik akal mereka dan jika mereka menjumpainya dari riwayat yang tidak sahih, maka ini akan membuatkan mereka semakin bertambah keras hati dan tetap berkekalan dengan bid’ahnya. Apatah lagi jika gurunya juga menyokong perkara bid’ah, maka mereka akan memperjuangkan pula nama guru mereka si fulan bin si fulan. Na’uzubillah.


Sanad Hadis Hanya Sehingga Perawi Kitab Itu Sahaja
Sebelum melanjutkan lai penulisan, saya cuba ringkaskan siapakah yang layak untuk sanad hadis di mana jawapannya hanyalah setakat perawi hadis itu sahaja. Jika hadis itu dari kitab sahih Bukhari, bermakna sanad itu sehingga Imam Bukhari. Jika Sahih Muslim bermakna sehingga Imam Muslim. Jika Kitab Sunan Abu Daud, bermakna sehingga Imam Abu Daud. Tiada sanad hadis selepas itu, ini adalah bertujuan bagi memelihara hadis itu sendiri. Walaupun ada ulama sekarang mendakwa mempunyai sanad hadis dari berbagai-bagai Imam ahlul hadis namun sebenarnya, bukanlah mereka ini bersanad dengan hadis ini, tetapi mereka hanyalah menerima ijazah sama ada melalui pengkhataman bersama-sama rakan di hadapan guru atau dikhatamkan oleh guru mereka. Mengapakah saya berkata demikian? Untuk lebih jelas lagi, kita ambil dua kes di bawah iaitu:

Kes 1. sesebuah hadis sahih tidak akan menjadi dhaif atau maudhu ketika saya meriwayatkan kepada makmum atau di dalam blog walaupun saya seorang majhul dan dhaif. Contohnya saya berkata,
“Nabi tidak melakukan doa qunut ketika solat fardu subuh sebagai amalan harian. Nabi hanya melakukan qunut ketika peperangan dan ketika umat Islam ditimpa bencana. Itu pun, bukan khususiah pada waktu subuh sahaja. Ini telah datang banyak keterangan yang jelas lagi sahih mengenainya (lalu saya melafazkan beberapa matan hadis mengenainya)”.
Dan mereka yang membantah akan hal ini mendakwa ianya palsu atau menggelarkan saya wahhabi atau sesat atau bodoh atau apa sahaja perkataan nista. Ini kerana, saya seorang majhul dan daif. Hakikatnya hadis tadi tidak akan menjadi daif sama sekali!
Kes 2. Sesebuah hadis palsu tidak akan menjadi sahih walaupun yang meriwayatkan kepada muridnya itu adalah ulama muhadditsin atau ustaz atau guru agama mereka. Contohnya seorang ulama yang terkenal berkata:
“Mari kita semua mengamalkan bacaan Yaasin dan tahlil pada setiap malam Jumaat secara konsisten dan jangan lupa menyebut nama wali (kaza wakaza..) dan bertawassul memohon berkat dan hajat kerana (lalu beliau melafazkan beberapa hadis daif jiddan atau hadis maudhu)
Dan masyarakat mula menganggap hadis ini sahih kerana ulama/ustaz/guru mereka yang melafazkannya dan mustahil gurunya jahil dalam ilmu hadis walhal hakikat sebenar, ia hadis maudhu dan batil!

Beza haddatsana (حَدَّثَنَا) dan akhbarana (أَخْبَرَنَا) di dalam riwayat hadis.
Haddatsana - Perawi menerima lafaz hadis dari syeikh mereka secara langsung sama ada melalui penceritaan hadis, pembacaan hadis, penyebutan hadis dan penyampaian hadis.
Akhbarana - Perawi menerima lafaz hadis melalui anak murid syeikh tersebut secara langsung sama ada ketika murid syeikh tersebut berada di hadapan syeikhnya atau sebaliknya.

Kita Jahil Mengenali Sunnah Nabi
Tuan-tuan, saya memasukkan pelajaran ringkas hadis ini kerana saya akan melanjutkan lagi penulisan saya berkaitan dengannya agar tuan-tuan dan puan-puan lebih faham apa yang akan saya sampaikan. Suka sekali saya petik kata-kata hikmah dari Imam Ahmad, seorang tabiut tabiin yang terkenal iaitu:
“Sekiranya engkau solat di dalam 100 buah masjid, engkau tidak akan melihat satu masjid pun di mana manusia mengerjakan solat dengan betul sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah shallallahu alaihi wasallam dan para sahabat. Ketahuilah olehmu, sekiranya ada seorang yang benar tatacara solatnya, lalu dia melihat orang lain yang salah dan mensia-siakan solatnya, lantas dia diam, tidak menegurnya atau memperbaiki akan kesalahan orang itu atau tidak menasihatinya, maka dia bersama-sama menanggung dosanya. Jadi orang yang betul tatacara solatnya tadi, samalah dengan orang yang melakukan kesalahan bila dia tidak menegur dan menasihati orang yang salah tadi”.

Kenapa saya petik kata-kata tadi? Ini kerana saya ingin fokuskan terlebih dahulu mengenai kegagalan atau kejahilan kita yang tidak mengetahui bagaimana cara solat mengikut petunjuk nabi kita. Bila ditanya, siapakah yang mengajar kamu bersolat atau kamu melakukan perbuatan solat ini dengan mengikuti siapa? Tentu apabila mendapat soalan sebegitu, akan membuatkan kita tersentak. Maka, penulisan kitab yang sangat tebal dan berjilid oleh Syeikh Albani berjudul “Kitab Sifat Solat Nabi” dilihat satu penulisan yang terbaik saya kira pada abad ini sebagai rujukan kita mengenainya bagi mentarbiahkan diri kita agar mempraktikkan sesuatu perkara berdasarkan apa yang dilakukan oleh Rasulullah dan sahabatnya dan bukan pada “menurut pandangan guru saya”. Selain itu, saya juga menyemak buku nipis mengenai solat, berilustrasi dan berbahasa Melayu yang terbaik ialah karangan Ustaz Zaharudin berjudul “Formula Solat Sempurna”.
Itu baru hal solat, belum lagi hal lain-lain berkaitan ibadah, pekerjaan dan amalan harian kita. Apakah kita yakin bahawa apa sahaja bentuk perbuatan kita ini, cenderung melakukan sesuatu berdasarkan keterangan yang jelas melalui al-Quran dan sunnah nabi?

Pegangan Sahabat Nabi Sebagai Asas Penyatuan Ummah
Apakah sifat kumpulan ahlu sunnah waljamaah hingga mereka terselamat dari seksaan azab neraka di padang mahsyar kelak? Ada 73 kumpulan dan hanya satu terselamat. Tuan-tuan, sesiapa sahaja manusia yang beragama Islam sudah pasti masuk syurga. Lalu mengapakah nabi hanya menyebut satu kumpulan sahaja? Mereka adalah kumpulan yang terpilih oleh Allah iaitu hanya mengikuti sunnah nabi dan para sahabat. Itulah ahlu sunnah waljamaah. Mereka terselamat dari azab neraka walaupun sekali celupan.
Ya, ada antara kita (yang mengikuti 72 golongan) akan merasai sekali celupan sebagai penyucian dosa dan ini adalah azab paling ringan dan ada yang sehingga beribu-ribu tahun dan ini adalah azab yang paling berat, sebelum kita mandi di air kehidupan dan masuk ke tempat yang bersih, suci dan mulia iaitu jannah (syurga). Mereka inilah yang tidak mengikuti sunnah dan sunnah para sahabat dan para khulafa ar-rasyidin.
Firman Allah Subhanahu Wa Taala:
“Dan barang siapa yang menyalahi Rasul itu sesudah jelas dan nyata baginya petunjuk dan mengikut orang-orang yang bukan jalan orang-orang yang beriman (tatkala ayat al-Quran diturun), nescaya Kami akan palingkan dia ke mana dia berpaling dan akan kami panggang dia di neraka Jahanam, padahal neraka itu seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah an-Nisaa: 115)
Lihatlah, Allah telah mengiktiraf jalan para sahabat (petikan tafsir bagi ayat 'jalan orang-orang yang beriman'). Mereka bersatu dalam satu aqidah. Mereka hanyalah berselisih dalam hal ijtihad tetapi tidaklah hingga mengkafirkan antara satu sama lain. Mereka akan terus rujuk kepada nabi sebagai contoh dalam kes ketika bermusafir dan hendak solat fardu dengan bertayamum dan adakah perlu mengerjakan solat tatkala apabila belum luput waktu, telah menjumpai air. Salah seorang tidak memperbaharui solat dan salah seorang memperbaharui solatnya semula. Maka rasulullah menyetujui tindakan kedua-dua mereka dan tidak membantah salah seorang pun dari mereka. Ini kerana para sahabat faham mengikut pengalaman mereka bersama rasulullah.
Sebaliknya keadaan kesemua umat Islam hari ini mengaku beriman, mengaku diri mereka Islam dan mengatakan mereka berpegang kepada al-Quran dan sunnah. Tidak ada seorang pun yang berkata, tidak mengikuti al-Quran dan sunnah. Apakah ini yang dimaksudkan dengan satu golongan yang dimaksudkan? Apakah mereka berijtihad dalam masalah furuk dengan mengikuti petunjuk para sahabat? Jawapannya sudah tentu tidak, mereka lebih cenderung dengan ‘pendapat guru mereka’.

Bolehkah kita menambahkan rakaat solat?
Sudah tentu tidak boleh dan terbatal jika solat fardu. Jadi, apakah salah untuk kita menambah rakaat solat sunat pula? Contohnya solat tahiyatul masjid dikerjakan 4 rakaat. Bukankah ini baik? Kenapa tidak kita tambahinya? Adakah rasulullah melarang? Tiada satu pun nas larangan yang spesifik dari rasulullah. “Kamu dilarang menambahkan rakaat solat”. Saya tidak menjumpainya.
Jadi kenapa tidak boleh tambah, sedangkan melakukan dengan lebih banyak itu kan lebih baik? Pahala juga berganda.
Jawapan mudah lagi ringkas ialah “Ini kerana ia tidak dilakukan oleh sahabat Nabi”.

Bolehkah mengerjakan solat sunat tahiyatul masjid secara berjemaah?
Seorang datang ke Masjid dan melihat orang Islam datang mengerjakan solat tahiyatul masjid secara sendirian. Lalu dia berkata, “Bukankah solat berjemaah itu mendapat pahala lebih, malah dalam hadis sahih Bukhari dan Muslim iaitu.
قَالَ صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلَاةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Solat berjemaah lebih utama dibandingkan solat sendirian dengan dua puluh tujuh darjat."
Malah dia memberi amaran lagi dengan memetik:
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَائِنًا مَنْ كَانَ فَاقْتُلُوهُ فَإِنَّ يَدَ اللَّهِ عَلَى الْجَمَاعَةِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ يَرْكُضُ
"Sesungguhnya akan terjadi setelahku fitnah dan fitnah, maka siapa yang kalian lihat telah memisahkan diri dari jemaah atau hendak memecah belah kesatuan umat Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam siapa pun dia maka bunuhlah dia. Sesungguhnya tangan Allah bersama jemaah dan syaitan bergerak bersama orang yang memisahkan diri dari jama'ah. (Hadis Riwayat Nasa’i dan Ahmad)
Wah, menggeletar juga bila ada yang berkata begini. Maka. kenapa kita tidak melakukannya secara berjemaah?
 Jawapan mudah lagi ringkas ialah “Ini kerana ia tidak dilakukan oleh sahabat Nabi”.

Bolehkah membaca al-Quran mengikut lagu cita rasa sendiri?
Di dalam sebuah hadis, nabi bersabda :
إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ نَزَلَ بِحُزْنٍ فَإِذَا قَرَأْتُمُوهُ فَابْكُوا فَإِنْ لَمْ تَبْكُوا فَتَبَاكَوْا وَتَغَنَّوْا بِهِ فَمَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِهِ فَلَيْسَ مِنَّا
"Sesungguhnya Al Quran turun dengan kesedihan, jika kalian membacanya maka bacalah dengan menangis, jika kalian tidak bisa menangis maka berpura-puralah untuk menangis. Dan lagukanlah dalam membaca, barang siapa tidak melagukannya maka ia bukan dari golongan kami. " (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Maka, bolehkah kita melagukan dengan lagu gaya sendiri? Lagu rock? Pop? Thrash? Lagu artis korea? Atau lagu nasyid dari kumpulan Raihan, atau rentak lagu Maher Zain? Bukankah jika tidak melagukan bacaan al-Quran itu bukan dari golongan nabi berdasarkan hadis di atas? Jawapannya tidak boleh wahai saudaraku yang dikasihi Allah.
Jawapan mudah lagi ringkas ialah “Ini kerana ia tidak dilakukan oleh sahabat Nabi”.

Surah Yaasin Malam Jumaat
Apa keterangan yang sampai kepada kita ialah, membaca surah al-Kahfi pada malam dan hari Jumaat adalah sunnah nabi dan para sahabat. Namun begitu, melalui guru agama kita, mereka mengamalkan pula bacaan Yaasin pada malam Jumaat. Ini adalah perbuatan yang baik, malah tidak ada dosa membaca surah Yaasin pada setiap malam Jumaat. Malah, ada juga menambahkan lagi hizib dari tarekat tasawuf dan membacanya sebagai amalan setiap malam Jumaat. Bukankah ini baik? Malah tiada larangan dari nabi. Jika dipersoalkan kepada mereka, mereka mengejek pula dengan berkata, “apa kata kalau saya hendak membaca seluruh surah al-Quran pada malam Jumaat?”. Mereka masih tidak mahu mengalah dengan apa yang mereka peroleh dari guru mereka

 Di Malaysia, sebahagian besar mengaku bermazhab Syafii, tetapi apakah kata Imam Syafii?
يُستحبّ أن يُكْثرَ في يومها وليلتها من قراءة القرآن والأذكار والدعوات، والصلاة على رسول اللّه‏(‏ صلى اللّه عليه وسلم‏)‏ ويقرأ سورة الكهف في يومها‏.‏ قال الشافعي رحمه اللّه في كتاب ‏"‏الأمّ‏"‏‏:‏ وأستحبُّ قراءتَها أيضاً في ليلة الجمعة‏.‏
Disunnahkan untuk memperbanyak membaca al-Quran pada siang dan malam jum’at, memperbanyak zikir, doa-doa dan selawat atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam serta membaca surah al-Kahfi pada siang harinya. Imam asy-Syafi’i –rahimahullah- berkata di dalam kitab al-Umm : “aku juga mensunnahkan (menganjurkan) membaca surah al-Kahfi pada malam Jum’at”.
Jadi persoalannya, salahkah membaca Yaasin dan tahlil setiap malam Jumaat secara konsisten?
Jawapan mudah lagi ringkas ialah “Ini kerana ia tidak dilakukan oleh sahabat Nabi”.

Umat Islam Berpecah Kerana Apa?
Kita lihat berbagai-bagai kumpulan mendakwa berpegang kepada Al-Quran dan sunnah tetapi mereka berpecah kepada kumpulan tertentu dan fanatik dengan kumpulan mereka. Mazhab Maliki, Hanbali, Syafii, Hanafi. Juga aliran asya’irah, muktazilah, al-baghdadi, al-ghazali, tarekat tasawuf dan lain-lain lagi. 

Mereka tidak bersatu dalam hal furuk dan lebih teruk dan malang lagi, ada juga tidak bersatu dalam aqidah. Ini kerana mereka memahami al-Quran dan sunnah mengikut kefahaman masing-masing. Mereka berijtihad melakukan sesuatu perkara yang tidak diajar oleh nabi dan tidak meneladani petunjuk para sahabat nabi.
Ada pula yang berkata, “walaupun tiada petunjuk dalam hadis (walhal hakikatnya mereka tidak tahu bahawa telah ada petunjuk), kami melakukan perkara baik.”
Saya membantah mereka ini. Kerana secara tidak langsung, mereka tidak menyedari bahawa mereka mencanggahi firman Allah bahawa:
“pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu”. (Surah al-Maidah, ayat 3).
Mereka menggambarkan ciri mereka sendiri seolah-olah menganggap Islam tidak lengkap lagi. Mereka menganggap ada amalan yang baik yang tidak diajar oleh Rasulullah.
Tuan-tuan, tiada satu amalan baik yang tidak diajar dan disuruh oleh Rasulullah, dan tidak ada satu perbuatan jahat yang tidak ditegah dan dilarang oleh Rasulullah melainkan baginda telah melarangnya.

 Benar tuan-tuan, persoalan kita di sini adalah bagaimana kita mengiktiraf perbuatan yang kita anggap baik itu sebagai baik ketika kita masih terkial-kial tidak menjumpai nas naqli? Ya.. kita telah menggunakan akal. Secara tidak langsung, kita menyamai kumpulan Muktazilah. Muktazilah mendahului akal di atas naqal (wahyu).
Tuan-tuan, akal seseorang berbeza dengan akal yang lain. Akal saya melihat perkara itu baik, tetapi akal orang lain berkata, yang itu lebih baik. Akal bukan faktor penentu, akal hanyalah pembantu. Yang menentukan baik dan buruk ialah wahyu dari al-Quran dan as-sunnah.

Dahulukan al-Quran dan Sunnah
Apa yang bercanggah dengan al-Quran dan sunnah itu tidaklah menjadi perkara baik walaupun akal kita menganggap ia baik. Dahulukan al-Quran dan sunnah.
Setiap kumpulan berbangga dengan kumpulannya. Mereka menjadi taksub lalu mereka menjadi seorang takfir iaitu mengkafirkan orang lain, atau mengatakan orang itu sesat kerana tidak menyamai dengan kumpulan mereka dalam bab ibadah dan amalan harian yang mereka lakukan.
Fahami hakikat ini bersama-sama, saya menasihati diri saya dan juga seluruh umat Islam agar kembalilah kepada ahlu sunnah wal jamaah mengikut pegangan nabi, para sahabat nabi yang dimuliakan Allah dan khulafa ar-rasyidin. Inilah yang dimaksudkan dengan ahlu sunnah wal jamaah dan bersatulah kita dalam satu aqidah dan fiqh, nescaya kita mampu menjadi kuat dan hebat sebagaimana zaman nabi. Genggamlah dengan tangan, cengkamlah dengan geraham, biar bara dan api singgah di badan, tetaplah kita dengan al-quran dan sunnah dan jauhi bid’ah. Sunnah itu wajib, sunnah juga sunat. Wallahu a’lam

No comments:

Post a Comment