IMAN adalah kedua-dua : cahaya dan kekuatan ; dengannya manusia meningkat setinggi-tingginya sehingga mencapai nilai yang melayakkannya ke Syurga. Dengan kegelapan KUFUR, ia jatuh serendah-rendah darjat yang membawanya ke Neraka..
Tuesday, July 31, 2012
'ramainya' sesuatu golongan bukan bermakna mereka benar.
Ini ayat ak-Qur'an dan hadith yang menunjukkan 'ramainya' sesuatu golongan bukan bermakna mereka benar.
Firman Allah, maksudnya:
“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka; dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Surah al-An’am 6:116)
Firman-Nya lagi:
“Dan kebanyakan mereka tidak menuruti melainkan sangkaan sahaja; (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak (dalam) menentukan dari kebenaran” (Surah Yunus 10:36)
Lihatlah dalam ayat-ayat di atas, Allah s.w.t sendiri telah menerangkan kepada kita mengenai tabiat atau sikap manusia yang kebanyakan atau majoritinya hanya cenderung kepada sikap berprasangka dalam membuat penilaian terhadap sesuatu perkara – walhal persepakatan yang hanya didasarkan kepada sangkaan oleh majoriti itulah yang sering menyesatkan manusia dari jalan yang benar.
Seterusnya perhatikan pula hadith berikut Tsauban r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda :
يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا. فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ. فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ؟ قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ.
“Sebentar lagi akan datang umat-umat yang berkerumunan ke atas kalian seperti kerumunannya orang-orang yang makan pada satu pinggan.” Maka seorang bertanya: “Apakah jumlah kami pada ketika itu sedikit?” Baginda s.a.w menjawab: “Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai. Akan tetapi keadaan kamu seperti buih-buih di lautan. Dan sesunguhnya Allah akan mencabut dari (hati) musuh-musuh kamu rasa takut terhadap kamu serta akan ditimpakan (penyakit) al-Wahn di dalam hati-hati kamu.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah al-Wahn?” Baginda menjawab: “Cinta kepada dunia dan takut mati.”
Hadis di atas memaparkan perkhabaran baginda s.a.w mengenai keadaan umat Islam di akhir zaman. Menarik untuk diperkatakan di sini bahawa jika diamati hadis yang tertera di atas maka kita akan dapati Rasulullah s.a.w menyebut “... Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai ....” bagi menjawab soalan yang diajukan oleh salah seorang sahabatnya.
Sebenarnya, sahabat yang bertanya tersebut telah beranggapan bahawa kemungkinan punca utama yang menjadi penyebab kepada berlakunya situasi yang menimpa umat Islam sebagaimana yang dikhabarkan oleh baginda dalam sabdanya tersebut adalah disebabkan oleh jumlah atau bilangan mereka yang sedikit.
Walaubagaimanapun, sangkaan atau anggapan sahabat tersebut ternyata meleset kerana soal bilangan bukanlah sebab utama yang membawa kepada kelemahan umat Islam, akan tetapi - sebagaimana menurut penjelasan baginda s.a.w - ianya adalah disebabkan oleh sikap umat Islam sendiri yang tidak lagi berpegang teguh kepada jati diri Islam yang tulen, sebaliknya lebih cenderung kepada sifat terlalu cintakan dunia dan takutkan mati (al-Wahn). Maka dalam hadis ini ternyata kualiti umat Islam jauh lebih penting dari kuantiti mereka.
~ Mohd Hairi Nonchi
Labels:
kebenaran
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment