Bacaan Yasin
Umat
Islam di Malaysia umumnya menyambut malam Nisfu Syaaban (15hb Syaaban)
dengan mengadakan majlis membaca surah Yasin sebanyak tiga kali selepas
solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin ini diselitkan dengan bacaan
doa seperti berikut; selepas bacaan Yasin pertama dengan doa untuk
diselamatkan dunia akhirat, selepas bacaan Yasin kedua doa supaya
dipanjangkan umur dalam keberkatan dan selepas bacaan Yasin ketiga doa
supaya dianugerahkan rezeki yang halal.
Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Syaaban yang kaifiatnya
sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh dunia. Tidak
hairanlah tiada fatwa yang dikeluarkan oleh ulama muktabar dunia
masakini tentang sahih atau batilnya amalan ini.
Kita
beramal dan beribadat adalah untuk mendapat pahala dan kebaikan. Amalan
ini hendaklah ada contohnya dari Rasulullah s.a.w. atau
sahabat-sahabat atau ada petunjuk yang jelas dari al-Quran dan
as-Sunnah. Amalan mengkhususkan bacaan dan doa tertentu pada sesuatu
masa tanpa nas yang sahih adalah amalan bidaah yang tertolak dan
dikhuatiri berdosa; setidak-tidaknya ia akan membazirkan masa dan
memenatkan badan.
Kita
boleh membaca surah Yasin sebanyak mungkin pada bila-bila masa untuk
mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan kepada malam Nisfu
Syabaan dan dengan bilangan tiga kali. Kita digalakkan berdoa apa saja
kepada Allah s.w.t untuk kebaikan dunia dan di akhirat tetapi tidak
perlu dikhususkan di celah-celah bacaan Yasin di malam Nisfu Syaaban.
Dan kita boleh membaca surah Yasin dan berdoa bersendirian, di mana-mana
dan bila-bila saja dan tidak perlu berkampung di masjid-masjid dengan
harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah s.w.t.
Berikut
adalah fatwa yang dikeluarkan oleh seorang ulama terkemuka di Timur
Tengah untuk menjelaskan tentang amalan bidaah di malam nisfu Syaaban.
Perhatikan bahawa beliau tidak menyebut amalan membaca Yasin dan
doa-doa yang mengiringinya kerana amalan tersebut tidak diamalkan oleh
penduduk di Timur Tengah atau di bahagian lain dunia Islam. Boleh
dikatakan bahawa amalan baca Yasin dan doa ini adalah sebahagian dari
sekian banyak amalan bidaah ciptaan rakyat tempatan khusus untuk amalan
penduduk nusantara ini!
'Solat Sunat' Nisfu Syaaban
Firman
Allah (mafhumnya): “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu
agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah
redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu." [al-Maa’idah 5:3].
“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana
bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan
oleh Allah?" [al-Syur.a 42:21]
Dalam
kitab al-Sahihain diriwayatkan daripada `Aisyah (r.a) bahawa Rasulullah
(s.a.w) pernah bersabda: "Barangsiapa mengada-adakan perkara baru dalam
urusan (agama) kita ini yang mana bukan sebahagian daripadanya, akan
tertolak.”
Dalam
Sahih Muslim diriwayatkan daripada Jabir r.a, Nabi (s.a.w) bersabda
dalam khutbah Baginda: "Tetaplah kamu dengan Sunnahku dan Sunnah para
Khulafa' Rasyidun, serta berpegang teguhlah padanya... Berwaspadalah
terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru
adalah bid'ah dan setiap perkara bid'ah itu adalah sesat.” Terdapat
banyak lagi ayat Qur'an dan hadis yang seumpamanya.
Ini
jelas sekali menunjukkan bahawa Allah telah sempurnakan agama umat ini,
dan mencukupkan nikmatNya ke atas mereka. Tuhan tidak mengambil nyawa
RasulNya sehinggalah Baginda selesai menyampaikan perutusan dengan
seterang-terangnya dan menghuraikan kepada ummah segala apa yang telah
diperintahkan Allah samada amalan perbuatan mahupun percakapan. Baginda
s.a.w telah menerangkan bahawa untuk ibadah yang direka selepas
kewafatan Baginda, segala bacaan dan amalan yang kononnya dilakukan
menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan kembali kepada orang yang
mencipta amalan tersebut, meskipun ia berniat baik.
Para
Sahabat Nabi s.a.w tahu tentang hakikat ini, begitu juga para salaf
selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan menegahnya, sebagaimana telah
dicatatkan dalam kitab-kitab yang menyanjung sunnah dan mengecam
bid’ah, ditulis oleh bin Waddah, al-Tartushi, bin Shamah dan lain-lain.
Antara
amalan bid’ah yang direka manusia ialah menyambut hari pertengahan
dalam bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), dan menganjurkan puasa pada hari
tersebut. Tidak ada nas (dalil) yang boleh dipercayai tentang puasa ini.
Ada beberapa hadis dhaif telah dirujuk tentang fadhilat puasa ini,
tetapi ianya tidak boleh dijadikan pegangan. Hadis-hadis diriwayatkan
mengenai fadhilat doa sempena Nisfu Syaaban kesemuanya adalah maudhu’
(rekaan semata-mata), sebagaimana telah diperjelaskan oleh sebahagian
besar alim ulama. Kita akan lihat beberapa petikan dari ulasan para alim
ulama ini.
Beberapa
riwayat tentang hal ini telah dinukilkan daripada sebahagian ulama
salaf di Syria dan lain-lain. Menurut jumhur ulama, menyambut Nisfu
Syaaban adalah bid’ah, dan hadis-hadis tentang fadhilat-fadhilat
berkenaan hari tersebut adalah dhaif (lemah), sebahagian besar yang lain
pula adalah maudhu’ (rekaan). Antara ulama yang memperjelaskan hal ini
adalah al-Haafiz bin Rejab, di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif, dan
lain-lain. Hadis-hadis dha`if berkenaan ibadah hanya boleh diterimapakai
untuk amalan ibadat yang terdapat menerusi nas-nas yang Sahih. Tidak
ada asas yang Sahih bagi sambutan Nisfu Syaaban, oleh itu hadis-hadis
dha`if tersebut tidak dapat digunapakai.
Prinsip
asas yang penting ini telah disebutkan oleh Imam Abu’l-‘Abbas Sheikh
al-Islam bin Taymiyah (rahimahullah). Para alim ulama (rahimahumullah)
telah sepakat bahawa apabila wujud perselisihan di kalangan umat, maka
wajiblah merujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Apa-apa
keputusan yang diperolehi daripada salah satu atau kedua-duanya adalah
syariat yang wajib ditaati, sebaliknya apa-apa yang didapati bercanggah
dengan kedua-duanya mestilah ditolak. Oleh itu sebarang amalan ibadat
yang tidak dinyatakan di dalam kedua-dua (Qur’an dan Sunnah) adalah
bid’ah dan tidak dibenarkan melakukannya, apatah lagi mengajak orang
lain melakukannya atau mengiktirafkannya.
Sebagaimana
Firman Allah (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu
kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri"
(orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu
berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah
kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah)
RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang
demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula
kesudahannya." [al-Nisa’ 4:59]
“Dan
(katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara
agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah
kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku;
kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam
segala keadaan).”[al-Shura 42:10]. “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika
benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi
kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Aal ‘Imr.an 3:31]
“Maka
demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga
mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul
di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka
sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka
menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [al-Nisa’ 4:65]
Banyak
lagi ayat-ayat lain yang serupa maksudnya seperti di atas, yang
menyatakan dengan jelas bahawa sebarang perselisihan wajib dirujuk
kepada Qur’an dan Sunnah, seterusnya wajib mentaati keputusan yang
diperolehi daripada kedua-dua Nas ini. Ini merupakan syarat iman, dan
inilah yang terbaik untuk manusia di dunia dan di akhirat: “Yang
demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”
[al-Nisa’ 4:59 – mafhumnya] maksudnya ialah Hari Akhirat.
Al-Hafiz
bin Rejab (R.A) menyebut di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif tentang
isu ini – setelah membincangkannya secara panjang lebar – “Malam Nisfu
Syaaban asalnya diutamakan oleh golongan tabi’in di kalangan penduduk
Sham, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan
lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada malam
tersebut. Orang awam menganggap bahawa malam tersebut adalah mulia
kerana perbuatan mereka ini. Disebutkan bahawa mereka telah mendengar
riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan kelebihan malam tersebut,
sedangkan jumhur ulama di Hijaz menolak kesahihan riwayat ini, antara
mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah. ‘Abdul Rahman bin Zaid bin
Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’ (Ulama Ahli Fiqh) di
Madinah, dan inilah pandangan ulama-ulama Maliki dan lain-lain. Kata
mereka: semua ini adalah bid’ah…
Imam
Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa pun tentang (adanya
sambutan) malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa sepanjang malam
Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih daripada Nabi (s.a.w)
ataupun daripada para sahabat Baginda …”
Inilah
apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin Rejab (R.A). Beliau
menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung riwayat sahih daripada
Rasulullah s.a.w mahupun daripada sahabat-sahabat Baginda (R.A)
mengenai malam Nisfu Shaaban (pertengahan bulan Syaaban).
Dalam
keadaan di mana tidak ada bukti shar’i bahawa apa-apa perkara itu
disuruh oleh Islam, tidak dibenarkan bagi umat Islam untuk mereka-reka
perkara baru dalam agama Allah, tidak kiralah ianya amalan perseorangan
ataupun berkumpulan, samada dilakukan secara terbuka mahupun tertutup,
berdasarkan maksud umum hadith Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa melakukan
apa sahaja amalan yang bukan sebahagian daripada urusan kita ini
[Islam], amalan itu akan tertolak.” Banyak lagi dalil yang menegaskan
bahawa bid’ah mesti ditegah dan memerintahkan agar menjauhinya.
Imam
Abu Bakr al-Tartushi (r.a) menyebut dalam kitabnya al-Hawadith
wa’l-Bida’: “Ibn Waddah meriwayatkan bahawa Zayd bin Aslam berkata: Kami
tidak pernah menemui seorang pun dari kalangan ulama dan and fuqaha’
kami yang memberi perhatian lebih kepada malam Nisfu Shaaban, tidak ada
juga yang memberi perhatian kepada hadith Makhul, atau yang beranggapan
bahawa malam tersebut adalah lebih istimewa daripada malam-malam lain.
Pernah ada orang mengadu kepada Ibnu Abi Maleekah bahawa Ziyad
an-Numairi mengatakan bahawa pahala di malam Nisfu Shaaban adalah
menyamai pahala Lailatul-Qadar. Beliau menjawab, “Sekiranya aku dengar
sendiri dia berkata begitu dan ada kayu di tanganku, pasti aku akan
memukulnya (dengan kayu itu). Ziyad seorang pereka cerita.”
Al-Shaukani
(r.a) berkata dalam al-Fawa’id al-Majmu’ah: “Hadith yang berbunyi:
‘Wahai ‘Ali, barangsiapa bersolat seratus rakaat di malam Nisfu Shaaban,
dengan membaca pada setiap rakaat Ummul Kitab [surah al-Fatihah] dan
Qul Huwallahu Ahad sepuluh kali, Allah akan memenuhi segala
keperluannya…’ Hadis ini maudhu’ (rekaan semata-mata). Susunan katanya
menyebut dengan jelas ganjaran yang akan diterima oleh orang yang
melakukannya, dan tidak ada orang yang waras yang boleh meragui bahawa
‘hadis’ ini adalah rekaan. Lebih-lebih lagi, perawi dalam isnad hadis
ini adalah majhul (tidak dikenali). ‘Hadis’ ini juga diriwayatkan
melalui sanad yang lain, yang mana kesemua adalah direka dan kesemua
perawinya adalah majhul (tidak diketahui asal-usulnya).
Di
dalam kitab al-Mukhtasar, beliau menukilkan: Hadith yang menyebut
tentang solat di tengah bulan Syaaban adalah hadis palsu, dan hadis Ali
yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban – “ Apabila tiba malam pertengahan
Syaaban, penuhilah malamnya dengan solat dan berpuasalah di siang
harinya” – adalah dhaif (lemah).
Di
dalam kitab al-La’aali’ beliau berkata, “Seratus rakaat di pertengahan
Syaaban, membaca (surah) al-Ikhlas sepuluh kali di setiap rakaat… (hadis
ini) adalah maudhu’ (direka), dan kesemua perawi dalam tiga isnadnya
adalah majhul (tidak dikenali) dan dhaif (lemah). Katanya lagi: dan dua
belas rakaat, membaca al-Ikhlaas tiga puluh kali setiap rakaat, ini juga
adalah maudhu’; dan empat belas (rakaat), juga adalah maudhu’.
Beberapa
orang fuqaha’ telah tertipu oleh hadis palsu ini, antaranya pengarang
al-Ihya’ dan lain-lain, dan juga sebahagian ulama mufassirin. Solat
khusus di malam ini – di pertengahan bulan Syaaban – telah diterangkan
dalam pelbagai bentuk, kesemuanya adalah palsu dan direka-reka.”
Al-Hafiz
al-‘Iraqi berkata: “Hadith tentang solat di malam pertengahan Syaaban
adalah maudhu’, dan disandarkan secara palsu terhadap Rasulullah s.a.w.”
Imam
al-Nawawi berkata di dalam bukunya al-Majmu’: “Sembahyang yang dikenali
sebagai solat al-raghaa’ib, didirikan sebanyak dua belas rakaat antara
Maghrib dan ‘Isyak pada malam Jumaat pertama di bulan Rejab, dan
sembahyang sunat malam Nisfu Shaaban, sebanyak seratus rakaat –
kedua-dua sembahyang ini adalah bid’ah yang tercela. Sepatutnya orang
ramai tidak tertipu disebabkan ianya disebut dalam Qut al-Qulub dan
Ihya’ ‘Ulum al-Din, atau oleh hadis-hadis yang disebutkan dalam
kedua-dua kitab ini. Kesemuanya adalah palsu. Orang ramai juga tidak
sepatutnya tertipu disebabkan kerana beberapa imam telah keliru dalam
hal ini dan menulis beberapa helaian yang menyebut bahawa sembahyang ini
adalah mustahabb (sunat), kerana dalam hal ini mereka tersilap.”
Sheikh
al-Imam Abu Muhammad ‘Abd al-Rahman bin Isma’il al-Maqdisi telah
menulis sebuah kitab yang amat berharga, yang membuktikan bahawa
riwayat-riwayat tersebut adalah palsu, dan jasa beliau sangatlah besar.
Alim `ulama telah membincangkan hal ini dengan panjang lebar, dan
sekiranya kami ingin memetik keseluruhan perbincangan tersebut untuk
dicatatkan di sini, tentu akan mengambil masa yang sangat panjang.
Mudah-mudahan apa yang telah disebutkan di atas sudah memadai bagi anda
yang mencari kebenaran.
Daripada
ayat-ayat Qur’an, hadis-hadis dan pendapat ulama yang dipetik di atas,
sudah jelas bagi kita bahawa menyambut pertengahan bulan Syaaban dengan
cara bersembahyang di malamnya atau dengan mana-mana cara yang lain,
atau dengan mengkhususkan puasa pada hari tersebut, adalah bid’ah yang
ditolak oleh jumhur ulama. Amalan tersebut tiada asas dalam syariat
Islam yang tulen; bahkan ianya hanyalah salah satu perkara yang
diada-adakan dalam Islam selepas berakhirnya zaman sahabat (radhiallahu
`anhum).
Amat
memadai, dalam hal ini, untuk kita fahami kalam Allah (mafhumnya):
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu untukmu..…”[al-Ma’idah
5:3]. dan beberapa ayat yang seumpamanya; dan kata-kata Nabi s.a.w:
“Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita
ini yang (pada hakikatnya) bukan sebahagian daripadanya, tidak akan
diterima” dan beberapa hadis yang serupa.
Dalam
Sahih Muslim diriwayatkan bahawa Abu Hurairah (r.a) berkata:
“Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Janganlah kamu khususkan malam Jumaat untuk
bersembahyang malam dan janganlah khususkan siang hari Jumaat untuk
berpuasa, melainkan jika puasa di hari itu adalah sebahagian daripada
puasa-puasa yang kamu amalkan berterusan berterusan.’”
Seandainya
dibenarkan untuk mengkhususkan mana-mana malam untuk amalan ibadah yang
istimewa, sudah tentu malam Jumaat adalah yang paling sesuai, kerana
siang hari Jumaat adalah hari yang paling baik bermula terbit
mataharinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis Sahih yang diriwayatkan
daripada Rasulullah s.a.w. Memandangkan Nabi s.a.w sendiri melarang dari
mengkhususkan malam tersebut untuk bertahajjud, itu menandakan bahawa
adalah lebih dilarang sekiranya dikhususkan malam-malam lain untuk
sebarang bentuk ibadat, kecuali di mana terdapat nas yang Sahih yang
mengkhususkan malam tertentu.
Oleh
kerana telah disyariatkan untuk memenuhi malam Lailatul-Qadr dan
malam-malam lain di bulan Ramadhan dengan bersolat, Rasulullah s.a.w
memberi perhatian kepadanya dan menyuruh umatnya bersolat malam
sepanjang tempoh tersebut. Baginda sendiri melaksanakannya, sebagaimana
disebut dalam al-Sahihain, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Barangsiapa bersolat qiyam di bulan Ramadan dengan penuh iman dan
mengharapkan pahala, Allah akan ampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”
dan “Barangsiapa memenuhi malam Lailatul Qadr dengan bersolat (sunat)
disebabkan iman dan mencari pahala, Allah ampunkan kesemua dosanya yang
telah lalu.”
Akan
tetapi sekiranya disyariatkan untuk mengkhususkan malam pertengahan
bulan Syaaban, atau malam Jumaat pertama di bulan Rejab, atau di malam
Isra’ dan Mi’raj, dengan meraikannya ataupun dengan melakukan amalan
ibadat yang khusus, maka sudah tentu Rasulullah s.a.w telah mengajar
umatnya melakukannya, dan Baginda sendiri melakukannya. Jika pernah
berlaku sedemikian, para sahabat Baginda (r.a) pasti akan memperturunkan
amalan amalan tersebut kepada umat terkemudian; tidak mungkin mereka
menyembunyikan amalan daripada umat terkemudian, kerana mereka adalah
generasi yang terbaik dan yang paling amanah selepas Rasulullah,
radhiallahu `anhum, dan semoga Allah merahmati kesemua sahabat
Rasulullah s.a.w.
Sekarang
kita telah membaca sendiri kata-kata ulama yang dipetik di atas bahawa
tidak ada riwayat daripada Rasulullah s.a.w mahupun para sahabat (r.a)
berkenaan kelebihan malam Jumaat pertama bulan Rejab, atau malam
pertengahan bulan Syaaban. Maka kita tahu bahawa menyambut hari tersebut
adalah satu perkara baru yang dimasukkan ke dalam Islam, dan
mengkhususkan waktu-waktu ini untuk amalan ibadat tertentu adalah bid’ah
yang tercela.
Samalah
juga dengan sambutan malam ke dua puluh tujuh bulan Rejab, yang mana
disangkakan oleh sesetengah orang sebagai malam Isra’ dan Mi’raj; tidak
dibenarkan mengkhususkan hari tersebut untuk amalan tertentu, atau
meraikan tarikh tersebut, berdasarkan dalil yang dipetik di atas. Ini
sekiranya tarikh sebenar Isra’ and Mi’raj telah diketahui, maka
bagaimana sekiranya pandangan ulama yang benar adalah tarikh sebanar
Isra’ and Mi’raj tidak diketahui! Pandangan yang mengatakan ianya
berlaku pada malam ke dua puluh tujuh di bulan Rejab adalah riwayat yang
palsu yang tiada asas dalam hadis-hadis sahih. Baik sekiranya seseorang
itu berkata: “Perkara paling baik adalah yang mengikut jalan para
salaf, dan perkara paling buruk adalah perkara yang diada-adakan.”
Kita
memohon agar Allah membantu kita dan seluruh umat Islam untuk berpegang
teguh kepada Sunnah dan menjauhi segala yang bertentangan dengannya,
kerana Dialah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Semoga Allah
merahmati Pesuruh dan UtusanNya, Nabi kita Muhammad s.a.w, serta kesemua
ahli keluarga dan Para Sahabat baginda.
Ulasan dan terjemahan : www.darulkautsar.net
[Dipetik daripada Majmu’ Fatawa Samahat al-Sheikh ‘Abdul-‘Aziz bin Baz, 2/882]
Jumaat : 10/10/2003
No comments:
Post a Comment